Sabtu, 29 Ogos 2020 | 12:03pm
Sakit pada sendi lutut antara tanda awal osteoartritis
Sakit pada sendi lutut antara tanda awal osteoartritis

Derita sakit sendi

RAMAI individu tidak menyedari mereka mempunyai simptom awal penyakit osteoartritis dan menganggap ia hanya sekadar masalah lenguh sendi atau otot yang akan hilang selepas berehat dan mengambil paracetamol.

Perunding Pembedahan Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi Hospital Gleneagles Medini, Dr Masjudin Tumin, berkata untuk memahami osteoartritis, individu perlu memahami dahulu apakah itu artritis.

Katanya, artritis adalah istilah perubatan untuk penyakit radang sendi yang menyakitkan disebabkan beberapa penyakit termasuk rheumatoid, gout, jangkitan bakteria dan osteoarthritis.

Osteoartritis merujuk kepada keadaan klinikal apabila pesakit mengalami sakit sendi membengkak yang mengakibatkan pergerakan sendi terbatas.

"Ciri-ciri struktur pada sendi penderita osteoarthritis adalah kemerosotan tulang rawan yang menyelaputi permukaan sendi sehingga ruang sendi menjadi sempit. Ia sekali gus membentuk benjolan tulang tidak normal di kawasan pinggir sendi dan mengakibatkan keradangan tisu lembut di dalam sendi.

"Osteoartritis adalah artritis paling kerap dihidapi oleh masyarakat dan menjadi penyebab utama kesakitan dan kecacatan sendi di seluruh dunia. Sendi paling kerap terjejas adalah lutut, pinggul dan sendi kecil di tangan.

"Ia juga boleh diklasifikasikan mengikut penyebab iaitu osteoartritis primer dan sekunder. Osteoartritis primer tiada punca secara langsung yang menyebabkan penyakit ini, manakala sekunder disebabkan penyakit artritis lain atau akibat kecederaan sendi ketika bersukan dan kemalangan," katanya.

Punca osteoartritis

Dr Masjudin berkata, beberapa faktor dikaitkan dengan risiko penyakit ini sejajar dengan peningkatan usia individu dan kerap dihidapi wanita.

"Faktor berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko berikutan tekanan pada sendi yang menanggung berat badan, seperti lutut dan pinggul.

"Kecederaan sendi ketika bersukan, kemalangan meningkatkan risiko osteoarthritis, selain pekerjaan yang memberi tekanan berulang pada sendi, penyakit lain termasuk rheumatoid dan gout, " katanya.

Osteoartritis akan menyebabkan kesakitan pada sendi apabila kemerosotan lapisan tulang rawan mengakibatkan permukaannya menjadi kasar dan ada bahagian tulang kehilangan tulang rawan akan terdedah dan bergesel antara satu sama lain.

Kesan osteoartritis

Tisu lembut sendi yang mengalami keradangan menyebabkan pengurangan penghasilan cecair sendi oleh sampul sendi sekali gus mengakibatkan geseran dalam sendi akan meningkat dan hujung tulang menjadi haus.

Katanya, apabila tulang rawan sudah tiada, ia akan terdedah dan menyebabkan kesakitan kerana rangsangan akibat tekanan, geseran pada hujung saraf ketika berdiri serta berjalan.

Selain itu, otot, tendon dan ligamen (tisu lembut) di sekitar sendi yang mengalami keradangan akan membengkak dan juga menyebabkan rasa sakit.

"Pesakit juga akan merasa sakit ketika atau selepas melakukan pergerakan, selain sendi juga akan kelihatan bengkak dan terasa panas.

"Kekejangan otot di sekitar sendi mungkin akan berlaku ketika atau selepas pergerakan menyebabkan pesakit tidak boleh menggerakkan sendi mereka sepenuhnya.

"Pesakit mungkin terdengar atau merasai sensasi geseran apabila sendi bergerak manakala benjolan keras mungkin terbentuk di sekeliling sendi yang sakit di peringkat akhir osteoartritis, tulang rawan akan merosot sepenuhnya," katanya.

Simptom osteoartritis

Dr Masjudin berkata, pada peringkat awal osteoartritis, pesakit akan mengalami serangan sakit pada sendi yang membengkak dan mengakibatkan pergerakan sendi terbatas disertai pengurangan fungsi sendi yang berlaku secara bermusim.

"Apabila kerosakan sendi akibat osteoartritis mencapai tahap teruk dengan bentuk sendi membengkok dan ruang sendi menjadi sangat sempit, ia akan menyebabkan sakit sendi berterusan serta mengakibatkan kecacatan disebabkan keterbatasan dalam pergerakan sendi dan akhirnya fungsi sendi merosot secara kekal," katanya.

Rawatan osteoartiritis

Rawatan osteoartiritis boleh dibahagikan kepada rawatan tanpa pembedahan secara farmakologikal, bukan farmakologikal dan rawatan secara pembedahan.

Rawatan tanpa pembedahan secara bukan farmakologikal selalunya diberikan kepada pesakit berada di peringkat awal penyakit.

Pesakit osterartritis boleh melakukan rawatan seperti

Fisioterapi, senaman aerobik, mengawal berat badan dan pendidikan pesakit.

Rawatan tanpa pembedahan secara farmakologikal pula, pesakit yang berada pada peringkat pertengahan atau akhir doktor akan mengesyorkan ubat dimakan, sapu atau suntikan bagi menghilangkan kesakitan.

Ia meliputi, analgesik (ubat hilangkan rasa sakit), Opiod, bukan opiod dan NSAID (ubat antiradang bukan steroid)

Selain ubatan analgesic, pesakit boleh mendapatkan Glukokortikoid (steroid) yang disuntik sendi yang mampu menghilangkan rasa sakit, radang dan bengkak sendi.

"Namun, ia tidak boleh diamalkan dengan kerap kerana kesan sampingan negatif kepada tulang rawan," katanya.

Suplemen nutrisi tambahan

Suplemen nutrisi tambahan seperti glucosamine dan chondroitin dan terapi suntikan 'gel and Hyaluronik', sebagai rawatan baharu boleh diambil.

"Rawatan ini masih dikaji dan keputusan awal menunjukkan sebahagian pesakit peringkat awal osteoartritis mendapat manfaat dengan sakit sendi berkurangan," katanya.

Walaupun bukan semua penghidap osteoartritis memerlukan pembedahan, namun ia bermanfaat kepada pesakit osteoarthritis peringkat akhir mengalami kerosakan sendi teruk.

Ada tiga jenis pembedahan boleh dilakukan, iaitu Osteotomi (memotong dan menyusun semula tulang), Artroscopi (kamera khas dimasukkan ke dalam sendi bagi membuang tulang rawan dan tisu lembut sendi yang rosak dan mengganggu pergerakan) dan Artroplasti (menganti sendi rosak dengan sendi buatan daripada logam dan plastik).

Namun, biasanya dijalankan ke atas pesakit berumur melebihi 60 tahun dan sendi paling kerap terbabit untuk pesakit di Malaysia dan Asia ialah sendi lutut.

"Selain itu, pakar bedah juga boleh menggantikan permukaan sendi yang rosak dengan sendi buatan daripada logam dan plastik," katanya.

Berita Harian X