Selasa, 24 Januari 2023 | 11:05am
Dr Zafarina pernah diuji hidap tumor, kini pulih selepas jalani pembedahan buang tumor di otak kiri. - Foto/Ihsan Dr Zafarina
Dr Zafarina pernah diuji hidap tumor, kini pulih selepas jalani pembedahan buang tumor di otak kiri. - Foto/Ihsan Dr Zafarina
Dr Zafarina meskipun sibuk dengan pelbagai kajian mengenai kes DNA forensik dan lain-lain, kebajikan keluarga tetap diberi keutamaan.- Foto/Ihsan Dr Zafarina
Dr Zafarina meskipun sibuk dengan pelbagai kajian mengenai kes DNA forensik dan lain-lain, kebajikan keluarga tetap diberi keutamaan.- Foto/Ihsan Dr Zafarina
Prof Dr Zafarina Zainuddin.
Prof Dr Zafarina Zainuddin.

Pakar DNA Forensik pernah diuji tumor, kini bebas penyakit itu

GEORGETOWN: Di sebalik kisah kejayaan dan pencapaian cemerlang pakar asid deoksiribonukleik (DNA) Forensik, Prof Dr Zafarina Zainuddin, siapa menduga beliau pernah diuji dengan penyakit ketumbuhan tumor otak.

Pensyarah pertama negara yang memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang DNA Forensik, bercerita pada peringkat awal beliau mengalami sakit kepala yang disifatkan sebagai aneh sehingga tidak boleh disentuh.

"Ketika sakit itu menyerang, kepala saya terasa begitu panas sehingga suami bantu tuam dengan ais serta tuala sejuk. Secara luaran, tiada pula sebarang kesan seperti bengkak dapat dilihat.

"Jadi apabila rasa sakit itu berlaku secara berturutan selama beberapa hari saya memutuskan untuk bertemu doktor," kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Dr Zafarina, berkata hasil ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) mengesahkan terdapat tumor bersaiz tiga sentimeter (sm) yang hampir mencapai 4 sm pada bahagian otak di sebelah kiri iaitu kira-kira sebesar bola ping pong.

Ketika itu tiada ubat khusus diberikan doktor melainkan ubat penahan sakit dengan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa operasi pembedahan menyingkirkan tumor itu dikhuatiri terlalu berisiko.

Dalam tahun itu, beliau telah selesai melengkapkan penyelidikan 11 subetnik Melayu yang dijalankan bermula dari 2000 hingga 2015 menerusi geran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengkaji bagi mengkaji genetik dan asal-usul kaum berkenaan.

Memasuki tahun ketiga iaitu sekitar September atau Oktober 2017 Dr Zafarina mengalami sawan dan perkembangan itu memberi isyarat bahawa tumor itu sudah mula bertindak agresif dan mengganggu saraf di bahagian berkenaan.

Buang tumor di otak kiri, menyebabkan hilang keupayaan

"Pada November 2017 saya menjalani operasi pembedahan di sebuah hospital di Damansara, di Petaling Jaya. Selepas tumor yang berada di bahagian kiri otak itu dibuang saya hilang keupayaan tubuh sebelah kanan.

"Disebabkan perkara itu, saya juga kehilangan keupayaan melakukan rutin seharian seperti menulis menyuap makanan, duduk, menaiki tangga. Jadi saya kembali belajar semuanya seperti kanak-kanak termasuk belajar semula menulis abjad A,B,C," katanya.

Selepas sebulan Dr Zafarina kembali pulih dan tidak lagi berjalan menggunakan tongkat, namun masih perlu meneruskan rutin fisioterapi di rumah.

"Sekarang, Alhamdulillah selepas empat kali melakukan ujian MRI saya sekarang sudah bebas daripada tumor Insya-Allah," ujarnya.

Mengikut rekod, Dr Zafarina adalah ahli akademik dalam bidang DNA Forensik yang pertama di Malaysia dilantik ke jawatan Profesor pada 2018.

Sepanjang terbabit dalam bidang itu, antara pencapaian terbesar adalah berjaya menubuh dan membangunkan Unit Human Identification/DNA di Pusat Pengajian Sains Kesihatan iaitu sebuah makmal bebas yang pertama di Malaysia yang memperoleh akreditasi ISO 17025 untuk ujian DNA paterniti.

Atas kepakaran yang dimiliki, beliau diberi tanggungjawab untuk mengetuai Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Berita Harian X