Khamis, 12 Januari 2023 | 11:11am
Lebih ramai wanita diperlukan di negara ini terutama dalam sektor pendidikan, kemahiran dan kesihatan. - Foto hiasan
Lebih ramai wanita diperlukan di negara ini terutama dalam sektor pendidikan, kemahiran dan kesihatan. - Foto hiasan

Harapan wanita ekonomi lebih terjamin pada 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan ekonomi wanita yang mana golongan itu bakal berdepan pelbagai cabaran khususnya dari segi jurang gender peluang, hak, akses, pekerjaan, pendapatan dan keselamatan.

Tahun ini diramal menjadi lebih mencabar dari segi ekonomi berbanding tahun sebelum ini yang turut memberi kesan terhadap wanita.

Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut meramalkan ekonomi dunia dan Malaysia akan tumbuh lebih perlahan.

Malah, kajian juga menunjukkan penularan COVID-19, akan terus meninggalkan kesan yang lebih terutama terhadap wanita berbanding lelaki.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma, berkata konflik Russia-Ukraine yang berlaku juga menyebabkan peningkatan harga makanan dan tenaga di seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Selain itu, konflik itu turut memperluaskan jurang gender daripada segi perwakilan, peluang, hak, akses, pekerjaan, pendapatan dan keselamatan.

"Justeru, pada 2023, banyak perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dalam isu membabitkan wanita," katanya kepada BH.

Madeline berkata, memandangkan COVID-19 menyebabkan pelbagai ekonomi lumpuh, namun pada tahun ini ia perlu dibangunkan semula.

Kerajaan boleh membantu dengan membangunkan semula ekonomi supaya dapat memperkasa dan melindungi daya ketahanan wanita.

Madeline Berma
Madeline Berma

Katanya, kerajaan boleh melabur atau meletakkan lebih ramai golongan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini.

"Saya yakin lebih ramai wanita diperlukan di negara ini terutama dalam sektor pendidikan, kemahiran dan kesihatan," katanya.

Wanita perlu perlindungan insurans

Dari segi perlindungan sosial, wanita terutama suri rumah atau yang terbabit dalam ekonomi gig dan sektor tidak formal perlu disediakan perlindungan sewajarnya.

Katanya, perlindungan seperti insurans atau takaful adalah keperluan ketika ini dan kerajaan perlu membantu dengan berusaha menyediakannya kepada golongan yang layak menerimanya.

"Kerajaan juga boleh terus membantu golongan wanita dengan memberikan lebih banyak insentif yang bersesuaian dalam usaha meningkatkan produktiviti golongan itu.

"Ia juga sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan pelbagai kemahiran yang ada terutama dalam bidang teknologi terkehadapan," katanya.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), V Sumitra, berharap semua wanita di Malaysia boleh mengalami kehidupan yang bebas daripada keganasan dan penindasan.

Justeru, permulaan tahun baharu ini membawa harapan kepada wanita mencapai keadilan, kesamarataan dan kesejahteraan dalam kehidupan harian.

Namun katanya, kerajaan masih perlu memainkan peranan dalam membantu golongan wanita di negara ini dalam pelbagai aspek.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, saya mahu kerajaan terus menunjukkan komitmen untuk menegakkan kesaksamaan jantina dan antidiskriminasi dalam Perlembagaan.

"Kerajaan perlu juga menunjukkan komitmen untuk menamatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan," katanya.

Sumitra berkata, beliau juga mahu kerajaan

memastikan penyertaan dan perwakilan wanita sama rata dalam semua sektor awam.

"Saya amat berharap kerajaan dapat menunjukkan komitmen kepada masa depan ekonomi yang terjamin bagi daya saing dan produktiviti wanita untuk menempa kejayaan lebih baik," katanya

Berita Harian X