Khamis, 24 November 2022 | 11:29am
Individu perlu lebih berwaspada janji temu menerusi aplikasi cari jodoh untuk elak penipuan. - Foto hiasan
Individu perlu lebih berwaspada janji temu menerusi aplikasi cari jodoh untuk elak penipuan. - Foto hiasan

Aplikasi cari jodoh didekati calon suami penipu

KUALA LUMPUR: Pelbagai aplikasi mencari jodoh dalam talian wujud, namun tidak boleh dipercayai sepenuhnya selepas membuat janji temu yang akhirnya mereka menjadi mangsa penipuan.

Berdasarkan Tinjauan Janji Temu Golongan Bujang 2022 syarikat janji temu terbesar, di Asia iaitu Lunch Actuall membabitkan penyertaan seramai 2,300 orang termasuk dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Taiwan, mendedahkan ada kalangan kecewa jodoh tidak menjadi.

Tinjauan itu menunjukkan 45 peratus daripada golongan bujang lebih kecewa apabila menggunakan aplikasi temu janji.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actuall, Violet Lim, berkata berdasarkan tinjauan golongan bujang dari negara ini, mendapati 64 peratus daripada mereka didekati atau dihubungi oleh penipu.

Malah, ada didekati atau dihubungi dengan cara yang membuatkan mereka berasa tidak selesa (58 peratus), ditipu (41 peratus) dan menghilangkan diri daripada aplikasi temu janji (61).

"Janji temu dalam talian mungkin mudah, tetapi boleh mengecewakan kerana pengguna tidak tahu sama ada yang bercakap dalam talian orang sebenar.

"Kami adalah perkhidmatan luar talian sepenuhnya dan pengguna akan berasa selamat serta terjamin kerana setiap ahli disaring, disahkan identiti sebelum didaftarkan untuk janji temu," katanya dalam satu kenyataannya.

Tinjauan bertujuan memberi pandangan itu janji temu orang bujang, tingkah laku, situasi kewangan dan keutamaan kehidupan golongan berkenaan tahun ini.

Selain itu, Violet berkata, tinjauan juga mendedahkan sebanyak 74 peratus golongan bujang di Malaysia menganggap diri mereka stabil dari segi kewangan dan bersedia mencari cinta sekali gus menjadikan mereka pasangan sehidup semati.

Daripada seramai 300 golongan bujang di negara ini yang menyertai tinjauan itu, pihaknya mendapati selain 74 peratus menganggap diri stabil dari segi kewangan, namun sebanyak 26 peratus, sebaliknya.

"Penemuan menarik ini juga menunjukkan 62 peratus golongan bujang masih percaya lelaki perlu membayar setiap kali keluar bertemu janji, manakala 22 peratus bersetuju untuk membahagikan bil," katanya.

Violet berkata, tinjauan itu turut menunjukkan kebanyakan orang bujang di Malaysia, kenaikan harga barang tidak banyak memberi kesan kepada kehidupan janji temu mereka.

Ini kerana ramai daripada mereka stabil dari segi kewangan dan bersedia mencari pasangan hidup walaupun negara dikhabarkan berisiko berdepan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

"Dengan ketidaktentuan kewangan semasa, 48 peratus golongan bujang menyatakan penting untuk mengetahui keadaan kewangan pasangan mereka sebaik sahaja menjalinkan hubungan.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna orang bujang hanya menumpukan pada pasangan yang stabil dari segi kewangan.

"Tinjauan itu, membuktikan 55 peratus mereka masih mempertimbangkan pergi ke janji temu kedua berdasarkan sejauh mana bergaul ketika janji temu pertama.

"Malah, sebanyak 28 peratus mengatakan perwatakan pasangan temu janji lebih penting daripada status pekerjaan mereka," katanya.

Violet berkata, tinjauan juga mendedahkan mengenai jangka masa apabila perseorangan ingin meneruskan hubungan mereka ke peringkat seterusnya.

Katanya, sebanyak 38 peratus golongan bujang menyatakan akan memutuskan bertemu seseorang secara eksklusif selepas tiga hingga empat janji temu.

"Sebanyak 48 peratus golongan bujang percaya mereka perlu janji temu sekurang-kurangnya dengan dua sehingga empat orang, sebelum mencari pasangan hidup.

"Sebanyak 60 peratus akan berkahwin selepas setahun atau dua tahun menjalinkan hubungan," katanya.

"Bagaimanapun, di sebalik keinginan mencari cinta, orang bujang di Malaysia masih menghadapi banyak cabaran ketika janji temu kerana, tinjauan mendapati sebanyak 64 peratus tidak bertemu janji dalam tempoh 12 bulan.

"Peratusan ini yang kedua tertinggi antara semua negara yang menjalankan tinjauan sama," katanya.

"Kita membantu memilih sendiri padanan yang paling sesuai untuk setiap pengguna supaya tidak perlu membuang masa dan usaha mendapatkan pasangan," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa mengambil berat keselamatan golongan bujang dan mereka lebih bertanggungjawab mencipta platform dalam persekitaran selamat dan kondusif.

"Kami sering berkongsi petua untuk mengesan penipu di aplikasi temu janji melalui webinar, blog dan Instagram, selain menambah baik tawaran produk serta perkhidmatan pengguna yang mencari pasangan," katanya.

Berita Harian X