Sabtu, 29 Oktober 2022 | 12:10pm
Shah Haiza (tiga dari kanan) aktif menyantuni dan prihatin golongan memerlukan. - NSTP/Rosman Shamsudin
Shah Haiza (tiga dari kanan) aktif menyantuni dan prihatin golongan memerlukan. - NSTP/Rosman Shamsudin

Aktif jadi sukarelawan sejak remaja

SLIM RIVER: Sifat prihatin menyantuni orang miskin dan gelandangan yang dipupuk oleh keluarga sejak kecil, mendorong ibu lima anak aktif menjalankan kerja sukarelawan bagi membantu golongan berkenaan.

Shah Haiza Md Khir, 52, mula membabitkan diri secara aktif dalam bidang kesukarelawan sejak berusia 16 tahun.

Justeru, untuk memastikan kelangsungan itu, beliau menubuhkan kumpulan kelab sukarelawan, iaitu Nawaitu terdiri pelbagai bangsa, agama dan latar belakang pendidikan serta pekerjaan di daerah Muallim, menerusi aplikasi WhatsApp.

Dengan adanya kumpulan itu, memudahkan mereka menjalankan misinya membantu golongan sasar, selain beliau dilantik sebagai Pengerusi Kelab Amal Suri Bomba (KASB) daerah Muallim.

Kelab itu berfungsi menyampaikan bantuan disumbangkan ahli Nawaitu, badan amal, orang perseorangan, agensi kerajaan berkaitan atau swasta termasuk Baitulmal daerah menjadi tulang belakang di sebalik kerja sukarelawan terbabit.

Beliau mendapat maklumat golongan yang memerlukan daripada ahli Nawaitu yang tinggal di pelosok daerah terbabit.

Katanya, beliau akan mengunjungi rumah atau kediaman orang memerlukan bantuan terlebih dahulu dengan ahli KASB bersama barangan keperluan disumbangkan ahli Nawaitu.

"Di samping menyampaikan bantuan awal kepada golongan memerlukan, saya dan ahli KASB akan melihat keperluan lain untuk meringankan beban individu atau keluarga terbabit kemudian disalurkan kepada pihak Baitulmal dan kepada agensi kebajikan lain.

"Dari situ wujudnya jaringan dan jalinan antara Nawaitu, KASB dengan pihak lain untuk kerja kesukarelawan.

"Kami akan turun padang termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang ekonomi dan pegangan politik," katanya.

Ahli KASB dianggotai wanita pelbagai latar belakang termasuk suri rumah.

Shah Haiza Md Khir (kiri) sedang memeriksa katil boleh laras sebelum diserahkan kepada mereka yang memerlukan. - NSTP/Rosman Shamsudin
Shah Haiza Md Khir (kiri) sedang memeriksa katil boleh laras sebelum diserahkan kepada mereka yang memerlukan. - NSTP/Rosman Shamsudin

Menariknya, walaupun jerih-perih mereka tidak dibayar untuk menjalankan misi bantuan itu, namun tetapi gembira dan ikhlas membantu mereka.

Shah Haiza berkata, tidak dinafikan kadangkala memang terasa letih kerana saban hari tanpa mengira waktu turun padang menyantuni golongan itu, tetapi selepas melihat kegembiraan bantuan itu membuatkan hilang rasa kepenatan.

Berkongsi mengenai kerja kesukarelawan ia mula wujud, selepas arwah ayahnya, Md Khir Saad yang bekerja sebagai penjual kereta sering menerapkan sifat itu seperti menyuruhnya dan adik-beradik lain membungkus barang keperluan asas setiap kali berjaya menjual kereta kepada kepada pelanggan.

"Barang keperluan asas itu akan diagihkan kepada golongan memerlukan kerana arwah ayah percaya setiap rezeki diperoleh bukan semuanya hak mereka, tetapi sebahagian perlu dikongsi dengan orang lain.

"Dahulu arwah juga mempunyai lesen dan senjata api dan kerap pergi berburu bersama rakan dan kami sekeluarga akan masak hasil pemburuan itu untuk dikongsi golongan miskin.

"Arwah emak, Rohmah Othman akan memasak hasil buruan itu, kemudian meminta kami adik beradik menghantar masakan kepada orang susah dan jiran berdekatan bagi berkongsi rezeki.

"Hasil didikan itu sudah sebati dalam jiwa dan saya terus menyantuni dan berbakti untuk membantu golongan memerlukan," katanya.

Berita Harian X