Selasa, 1 March 2022 | 10:58am
Mohamad Ariff Rasydan tak kekok menyiang ikan untuk penuhi permintaan pelanggan. - Foto/Ihsan Mohamad Ariff Rasydan
Mohamad Ariff Rasydan tak kekok menyiang ikan untuk penuhi permintaan pelanggan. - Foto/Ihsan Mohamad Ariff Rasydan
Mohamad Ariff Rasydan ketika pernah merangkul emas dalam acara ais luncur dalam Kejohanan Sukan SEA, sebelum ini. - Foto/Ihsan Mohamad Ariff Rasydan
Mohamad Ariff Rasydan ketika pernah merangkul emas dalam acara ais luncur dalam Kejohanan Sukan SEA, sebelum ini. - Foto/Ihsan Mohamad Ariff Rasydan
Kini terpaksa menggantung dulu kasut luncur ais dan tumpu kepada perniagaan membekalkan bahan basah.
Kini terpaksa menggantung dulu kasut luncur ais dan tumpu kepada perniagaan membekalkan bahan basah.
Arif (kiri) mendapat pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menewaskan peserta Indonesia.
Arif (kiri) mendapat pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, menewaskan peserta Indonesia.
Mohamad Ariff Rasydan (kanan) bersama rakan di depan premis perniagaannya.
Mohamad Ariff Rasydan (kanan) bersama rakan di depan premis perniagaannya.

Peluncur ais negara sarung 'boot' jadi penjual ikan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jika dahulu, beliau menyarung kasut luncur ais dengan mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat Asia, kini jejaka ini tidak segan bergaya dengan 'boot' memasuki pasar borong dan mencium bau hanyir bagi membeli pelbagai barangan basah untuk dijual di kedai miliknya.

Mohamad Ariff Rasydan Mohamad Fadzli, 23, yang pernah menyapu bersih pingat emas perseorangan dan berkumpulan ketika Sukan SEA sebelum ini, yakin bidang diceburi ini memberi banyak manfaat kepada semua peringkat usia, terutama suri rumah yang cari bahan itu untuk masakan bagi hidangan seisi keluarga.

Lantas, beliau tidak kekok juga melakukan kerja yang kerap dilakukan wanita seperti menyiang ikan serta ayam yang dibeli atau dipesan pelanggan selepas latihan dan kejohanan untuk sukan luncur ais itu digantung sementara berikutan pandemik COVID-19.

Malah, bidang itu juga dapat membantu rakan seperjuangan lain untuk sama-sama menjana pendapatan apabila mengambil bahan basah yang dibekalkan beliau.

Kini beliau memiliki dua cawangan kedai di Kajang dan Subang Jaya bagi menjual bahan mentah basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.

"Kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu cukup memberi tamparan hebat kepada semua atlet sukan termasuk saya.

"Namun, saya tidak menjadikan ia sebagai halangan sebaliknya perlu mengorak langkah untuk meneruskan kehidupan biarpun saya masih bergelar pelajar dan atlet ketika itu dengan memulakan perniagaan di tepi jalan untuk menjual bahan mentah basah seperti makanan laut," katanya.

Tidak pernah terlintas untuknya berkecimpung dalam bidang itu, walaupun mempunyai minat untuk berniaga, mendorong beliau menempuh cabaran itu dengan sokongan padu daripada keluarganya.

Pemuda berasal dari Selangor itu, turut berkongsi cabaran utama menjadi 'saudagar muda' bahan mentah basah.

"Berniaga adalah Sunnah Nabi SAW. Pastinya setiap bidang yang diceburi mempunyai cabaran termasuk perancangan teliti.

"Masa adalah emas bagi seorang peniaga ikan seperti saya. Disiplin masa seperti perlu berada di pasar borong di merata Lembah Klang dan lazimnya ke Pasar Borong Selangor seawal pagi bagi mendapatkan stok makanan basah untuk diletakkan di kedai dan juga untuk diedarkan kepada rakan niaga lain.

"Jika anak muda lain yang saya lihat tekun mencari rezeki ditambah lagi cabaran pandemik COVID-19 mendorong ramai yang kehilangan pekerjaan, saya tidak boleh menoleh ke belakang sebaliknya ini masa terbaik saya memperbaiki diri serta membantu insan lain yang memerlukan," katanya yang bersengkang mata bermula 12 tengah malam sehingga 5 pagi untuk melakukan kerja berkenaan.

Menggalas tugas sebagai Pegawai Operasi FMR Fresh Mart, Mohamad Ariff Rasydan berkata, rutin kehidupannya bertukar 360 darjah dengan hanya berehat hanya dua jam bagi memastikan operasi kedai dan pengedar di bawahnya dapat menjual bahan mentah basah dengan lancar.

"Saya perlu memastikan pengedar yang juga rakan-rakan seperjuangan mendapat stok yang mencukupi. Alhamdulillah sambutan setakat ini amat menggalakkan.

"Dua bulan ini, kita dapat menambah 100 kilogram (kg) setiap jenis ikan. Sebelum ini, purata 500 kg ke 1,000 kg setiap minggu.

"Kini naik 1,100 kg ke 1,300 kg seminggu," katanya yang tidak pernah malu bermula dengan menjual ikan di tepi jalan sewaktu PKP tempoh hari," katanya yang tinggal di Bandar Hussein Onn, Cheras.

Beliau akan menjalani latihan selepas semuanya kembali normal, selain meneruskan perniagaan yang diceburi ini.

Berita Harian X