Selasa, 20 Julai 2021 | 10:30am
Chia Wei berkongsi dengan pengikutnya di Instagram mengenai bidang minyak dan gas. Foto/Ihsan Chia Wei
Chia Wei berkongsi dengan pengikutnya di Instagram mengenai bidang minyak dan gas. Foto/Ihsan Chia Wei
Pelbagai tugas berkaitan telaga dasar laut digalas dengan baik meskipun dikelilingi rakan sekerja berusia.
Pelbagai tugas berkaitan telaga dasar laut digalas dengan baik meskipun dikelilingi rakan sekerja berusia.
Kejelitaan Chia Wei tetap terserlah, namun lasak di lapangan.
Kejelitaan Chia Wei tetap terserlah, namun lasak di lapangan.

'Lihat' daratan selepas sebulan bertugas di tengah lautan

KUALA LUMPUR: Bangun seawal 6 pagi dengan rutin bekerja 12 jam setiap hari, selain berada lama di tengah lautan dan hanya 'melihat' daratan selepas sebulan tugasan, bukan calang-calang kerjaya, terutama membabitkan wanita.

Tetapi itulah antara cabaran dilalui individu bergelar Jurutera Produksi Petroleum yang perlu membuat kajian bagi mengesan zon bersesuaian sebagai telaga minyak baharu dan menjaga fasiliti berkaitan di tengah lautan.

Bagi Lim Chia Wei yang kini berkhidmat di syarikat peralatan telaga minyak terbesar di dunia, Schlumberger, beliau perlu memiliki semangat juang tinggi bagi menempatkan diri dalam industri ini meskipun berhadapan pelbagai risiko dan cabaran.

Gadis manis berusia 29 tahun ini memulakan kerjaya dengan Schlumberger lima tahun lalu sebagai Jurutera Produksi Petroleum dan kini berkhidmat di syarikat sama sebagai Jurutera Jualan Teknikal Schlumberger.

Sebagai Jurutera Produksi Petroleum, Chia Wei bertanggungjawab menyelenggara, memperbaiki dan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan telaga minyak dasar laut yang kebanyakannya berusia melebihi 40 tahun dan mengalami pelbagai isu teknikal serta komplikasi.

"Telaga yang sudah lama digerudi biasanya akan menghadapi masalah tidak mengeluarkan minyak jadi ujian simulasi perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca ia berlaku.

"Tugas saya membuat kajian bagi mengesan zon bersesuaian sebagai telaga minyak baharu dan menjaga fasiliti berkenaan," katanya.

Chia Wei mengakui, bekerja di luar pesisir pantai (offshore), menuntut kekuatan dari segi fizikal dan mental, malah memerlukan sikap berdikari yang tinggi.

Malah, komunikasi mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dibuat dengan mudah melalui telefon apabila berada di daratan terpaksa sekadar bergantung kepada walkie talkie memandangkan tiada bekalan elektrik di lapangan satelit.

"Saya pernah di hantar Oman selama empat bulan untuk bekerja di platform penggerudian tanpa henti selama enam minggu.

"Jadual kerja di sana sangat intensif, tetapi saya sudah tetapkan dalam diri untuk berusaha bersungguh-sungguh.

"Sejak bersekolah memang saya mahu bekerja di luar pesisir pantai," katanya.

Graduan Sarjana Kejuruteraan Petroleum Universiti Teknologi PETRONAS akur bidang ini lazimnya didominasi lelaki, tetapi itu yang membanggakannya kerana mampu setanding dengan golongan itu.

Justeru, tidak hairan, di sebalik susuk yang kecil dan wajah lemah lembutnya, Chia Wei yang pernah menyertai swimathon sejauh 7.5 kilometer (km) dari Pulau Kapas hingga ke daratan Marang, membesar lasak dan kental.

"Saya sudah diajar mengenai disiplin sejak kecil lagi dan itulah sebabnya saya cekal dan mempunyai jiwa kental," katanya yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Jualan Teknikal Schlumberger sebaik tamat projeknya.

Bagaimanapun, gadis yang sering menyifatkan dirinya sebagai anak kampung ini, tidak mensia-siakan waktu di 'daratan'.

Kini melalui Instagram @cempaka.l, beliau giat berkongsi ilmu dengan lebih 43,000 pengikutnya mengenai pembangunan karier dalam bidang minyak dan gas.

Beliau mahu berkongsi ilmu dan memberi pendedahan kepada wanita mengenai salah persepsi dalam bidang minyak dan gas yang sering dianggap sebagai sukar serta tidak sesuai untuk wanita.

"Memang mudah berasa rendah diri apabila dikelilingi ramai lelaki dalam bidang ini, tetapi saya sendiri bertemu ramai wanita hebat dalam bidang ini.

"Ketenangan, karisma, keyakinan dan kehebatan mereka menyebabkan saya berasa sangat bersemangat untuk terus berada dalam bidang ini," katanya.

Paling utama wanita perlu mempunyai semangat tinggi dalam apa juga dilakukan.

"Semangat kental dalam diri akan membina kekuatan seseorang dalam saat sukar. Jika jatuh, saya akan bangkit semula. Tiada alasan untuk gagal," katanya.

Berita Harian X