Selasa, 6 Julai 2021 | 10:41am
Mazlina sedang membuat kerja manakala anaknya Muhammad Danial Harith Mohd Zamri, 15, sedang mengikuti PdPR. Foto NSTP
Mazlina sedang membuat kerja manakala anaknya Muhammad Danial Harith Mohd Zamri, 15, sedang mengikuti PdPR. Foto NSTP

Bekerja dari rumah lebih mencabar

KUALA LUMPUR: Wanita yang bekerja dari rumah (BDR) sepanjang sekatan pergerakan penuh ketika pandemik perlu mempunyai mental dan fizikal yang kuat.

Pakar Psikologi, Dr Fauziah Hanim Abd Jalal, berkata, tugas dipikul mereka bukan sekadar bekerja untuk majikan, tetapi juga sebagai ibu dan isteri.

"Jadi mental golongan ini perlu kuat dan sentiasa positif untuk melakukan yang terbaik demi serta berfikiran positif," katanya.

Dr Fauziah berkata, wanita terutama mempunyai anak perlu lebih bijak mengurus tekanan antara kerja dan anak yang sentiasa memerlukan perhatian.

Katanya, jika rasa dalam keadaan tekanan, mereka perlu membuat sesuatu yang dapat menggembirakan mereka sekali gus membantu memulihkan emosi.

"Banyak cara untuk menggembirakan diri sendiri seperti bersembang dengan kawan-kawan seketika atau luahkan perasaan kepada mereka, menonton drama kegemaran atau bercucuk tanam.

"Semua ini terpulang kepada cara sendiri untuk mengalihkan perasaan tertekan supaya tidak menjadi lebih teruk seperti kemurungan sehingga perlu mendapatkan rawatan pakar," katanya.

Mariani Md Nor (kiri) dan Fauziah Hanim Abd Jalal.
Mariani Md Nor (kiri) dan Fauziah Hanim Abd Jalal.

Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, menyifatkan sebagai wanita yang memegang banyak peranan, cabaran dihadapi mereka tidak akan berkesudahan.

Justeru, wanita perlu bijak mengatur masa mereka sebagai ibu, isteri dan pekerja untuk memastikan tugasan berjalan lancar.

"Buat perancangan rapi bermula dari pagi sehingga malam sebagai contoh selepas solat Subuh boleh mula masak sarapan untuk anak dan suami, kemudian pastikan persediaan anak-anak untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kemas rumah dan diikuti tugas kita sebagai pekerja pula.

"Dengan ada perancangan itu mudah untuk melaksanakan sesuatu perkara dan sedia alternatif lain jika ada sesuatu masalah berlaku tiba-tiba," katanya.

Cabaran dihadapi wanita ketika pandemik ini, membuatkan wanita lebih kreatif dan bijak kerana mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

Katanya, cabaran dihadapi mampu mematangkan wanita, lebih berkemahiran dan tahu membezakan keutamaan.

"Cabaran itu juga tidak sama bagi mereka yang bujang, berkeluarga dan mempunyai ibu bapa untuk dijaga.

"Yang penting bijak membuat perancangan dan saling faham-memahami antara ahli keluarga," katanya," katanya.

Bagi Pembantu kewangan, Nor Haslinda Rusli, 41, berkata rutin hariannya bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sehingga jam 12 tengah malam kerana perlu menguruskan rumah tangga.

Beliau bangun awal bagi memulakan kerja dengan mengemas rumah dan menyiapkan makanan untuk empat anak, selain memastikan tiga daripada mereka bersedia untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Selesai semuanya, saya akan mula beralih untuk bekerja pula. Berkhidmat di bahagian kewangan sebuah syarikat memerlukan saya memberi tumpuan kepada kerja membabitkan dokumentasi.

"Ada masanya saya terpaksa menyambung kerja sehingga ke malam yang tidak pernah saya buat sepanjang 10 tahun bekerja," katanya.

Walaupun banyak gangguan ketika bekerja terutama daripada anak bongsu, Nur Anggun Irdina, 4, tetapi beliau tiada pilihan dan perlu meneruskan kerja.

"Kadang-kadang ada tugasan diberikan saya terlepas pandang tapi syukur kerana majikan memahami," katanya yang menetap di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Nor Haslinda yang sedang membuat kerja sambal memangku ana bongsunya, Nur Anggun Irdina, 4.- Foto NSTP
Nor Haslinda yang sedang membuat kerja sambal memangku ana bongsunya, Nur Anggun Irdina, 4.- Foto NSTP

Nor Haslinda berkata, walaupun bebannya semakin berat kerana terpaksa berjauhan dengan suami yang bertugas sebagai pegawai bomba di Kuala Lumpur, namun beliau bersyukur kerana rakan dan keluarga sering memberi kata-kata semangat.

"Saya sentiasa merancang apa yang mahu dibuat setiap hari sebagai ibu dan pekerja bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Eksekutif akaun, Mazlina Ismail, 44, berkata sejak perlu bekerja dari rumah bermula tahun lalu, beliau perlu berkongsi komputer riba dengan anak yang mengikuti PdPR.

Beliau dan anaknya berusia 15 tahun akan menggunakan komputer riba secara bergilir-gilir bergantung kepada keperluan mata pelajaran anak atau keperluan dirinya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, beliau berkongsi komputer riba kerana tiada keperluan membeli baharu kerana hanya perlu menggunakan sepanjang BDR.

"Namun, menjadi cabaran, jika saya guna komputer bimbit, anak terpaksa guna telefon bimbit miliknya, tetapi ia leceh kerana saiznya kecil.

"Kami juga perlu berkongsi alat pencetak dan ruang sama untuk kedua-dua keperluan.

"Suami saya pun perlu bekerja di rumah dan menggunakan bilik kerana tugasnya sebagai penolong pengurus besar lebih padat dan memerlukan selalu mengadakan mesyuarat secara maya," katanya.

Tugasnya sebagai eksekutif akaun bukan mudah kerana banyak tugasan perlu dilaksanakan, namun banyak tergendala dan hanya dapat diselesaikan di pejabat.

"Suami tak sempat membantu pada hari biasa. Tetapi setiap Sabtu dan Ahad, dia akan ambil alih semua tugas termasuk mengemas rumah dan masak," katanya.

Berita Harian X