Selasa, 29 Jun 2021 | 12:01pm

PKP jimat belanja dapur, erat kekeluargaan

KUALA LUMPUR: Norma baharu bekerja dari rumah (BDR) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun lalu, membuatkan ramai wanita memilih memasak sendiri sambil membahagikan masa dengan tugas pejabat, selain dapat menjimatkan belanja dapur.

Guru sekolah rendah di Sentul, Idayu Suraya Salleh, 37, berkata kesempatan memasak sendiri di rumah sepanjang PKP dan dapat menjimatkan belanja.

Sebelum BDR, beliau dan suami kebiasaannya membelanjakan hampir RM60 sehari bagi hidangan makan pagi, tengah hari dan malam.

"Tetapi sejak PKP dan banyak memasak di rumah, perbelanjaan barang dapur dapat dijimatkan.

"Untuk seminggu kini, kami hanya membelanjakan RM150 untuk membeli ikan, udang, ayam dan sotong," katanya.

Meskipun sibuk membuat persiapan kelas dalam talian setiap hari, tetapi Idayu Suraya yang mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab akan memastikan kerja memasak lauk-pauk, diselesaikan sebelum jam 10 pagi.

"Selepas jam 10 pagi, saya akan sibuk dengan kelas dalam talian bersama pelajar sehingga ke petang.

"Ada masanya jika terlalu sibuk, suami akan membantu saya membuat persiapan memasak. Sebaik lepas kelas dalam talian dengan pelajar, saya akan selesaikan.

"Memasak sepanjang BDR beginilah. Ada masanya kerja terlalu banyak jadi suami juga ringan tulang membantu di dapur," katanya.

Beliau pernah membuat pesanan penghantaran makanan tetapi tidak menjadikannya kebiasaan memandangkan satu hidangan untuk dua orang dengan caj penghantaran mencecah RM40 ke RM50.

"Lagipun memasak sendiri lebih kena dengan selera dan terjamin kebersihannya," katanya.

Pembantu tadbir, Angilia Josline Anak Tren, 38, berkata, sejak BDR, beliau dapat dapat menjimatkan perbelanjaan dapur dengan masak sendiri yang hanya mengambil masa kurang sejam menyediakan hidangan tengah hari.

Katanya, sebelum ini, kesibukan bekerja di pejabat menyebabkannya hanya berpeluang memasak untuk makan malam keluarga atau pada hujung minggu saja.

Lebih menggembirakan, selain dapat mengisi perut ahli keluarga dengan 'air tangan' sendiri, aktiviti memasak di dapur sepanjang BDR, turut disertai anak-anaknya.

"Kalau menu, biasanya saya fikir secara spontan saja. Tetapi seronoknya ialah, kerja saya di dapur kini semakin mudah.

"Anak-anak terutama yang sulung rajin membantu di dapur. Daripada kerja mengupas bawang, memasak nasi hingga kepada menumbuk daun ubi untuk digoreng semuanya dibuat dengan bantuannya.

"Selain memasak bersama, kami juga dapat meluangkan lebih banyak masa di meja makan memandangkan anak turut menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Kini beliau menetap di Bau, Sarawak, berkata memasak di rumah sepanjang PKP, membolehkannya merancang hidangan bersesuaian untuk empat anak berusia antara lima hingga 14 tahun.

"Makanan dimasak lebih berkhasiat berbanding dibeli kerana saya memilih

perencah dan menu.

"Disebabkan BDR, saya boleh memasak aneka hidangan kegemaran mereka yang biasanya kami nikmati ketika makan di luar seperti laksa Sarawak atau nasi ayam." katanya bersama ibu dan datuknya.

Memasak sepanjang BDR turut menjadi pilihan kalangan yang masih bujang termasuk pereka grafik, Aziqa Tatar, 32.

Aziqa menyewa bersama tiga lagi rakan serumahnya di Semenyih, berkata mereka biasanya akan berkongsi membeli barang dapur dan barangan basah.

"Selalunya saya dan seorang lagi rakan serumah yang sering berada di dapur. Ada masanya kami bergilir-gilir, bergantung kepada kesibukan kerja masing-masing.

"Disebabkan bebanan kerja agak kurang sepanjang PKP, sayalah yang kerap berada di dapur dan akan mengajak rakan serumah untuk makan hidangan yang dimasak," katanya.

Selain memasak lauk kampung dan hidangan Melayu seperti laksa Johor dan rendang, anak jati Johor ini gemar mencuba resipi baru terutama yang viral.

"Ada masanya saya spontan saja tetapi disebabkan suka mencuba masakan baru, biasanya saya akan mencari dulu resipi di internet tambahan lagi kalau resipi viral, pasti akan saya cuba.

"Kalau dah ada rancangan apa yang mahu dimasak, biasanya saya akan keluar rumah awal pagi membeli barang barang dan terus memasak," katanya.

Aziqa berkata, antara sebab beliau memasak sendiri hidangan di rumah ialah kerana ia lebih menjimatkan.

"Tetapi saya akui ada masanya, terpaksa juga membuat pesanan penghantaran makanan terutamanya apabila terlalu sibuk bekerja kerana ia lebih memudahkan tetapi tidaklah setiap hari.

"Jika kami berempat membuat pesanan penghantaran makanan, seorang mungkin RM10 dan jumlahnya sudah RM40.

"Dengan jumlah sama, kami boleh membeli bahan masakan bagi hidangan dua ke tiga hari dan ia jauh lebih menjimatkan," katanya

Berita Harian X