Khamis, 24 Jun 2021 | 11:20am
Selama 29 tahun bersama Agensi Nuklear Malaysia Chantara melakukan pelbagai penyelidikan hingga dinobatkan sebagai Saintis Penyelidik Terkemuka Malaysia pada 2013 dan 2019.- Foto Ihsan ANM
Selama 29 tahun bersama Agensi Nuklear Malaysia Chantara melakukan pelbagai penyelidikan hingga dinobatkan sebagai Saintis Penyelidik Terkemuka Malaysia pada 2013 dan 2019.- Foto Ihsan ANM

'Dunia penyelidikan sebahagian darah daging saya'

KUALA LUMPUR: Penyertaan wanita dalam dunia penyelidikan sains dan teknologi memerlukan individu yang mempunyai semangat juang tinggi untuk memastikan mereka terus relevan dalam industri itu.

Pengarah Kanan Pengurusan dan Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Dr Chantara Thevy Ratnam, berkata tidak semua penyelidikan berhasil dan tanpa semangat juang yang tinggi, ia mungkin hanya mampu dilakukan separuh jalan

Beliau pernah berhadapan pengalaman mengecewakan apabila kajian bahan polimer dilakukannya selama lima tahun digunakan pesakit buah pinggang untuk dialisis tidak berjaya dikomersilkan.

"Formulasi dihasilkan serasi dengan sinaran mengion membolehkan bahan polimer digunakan tidak berubah sifat apabila dinyahkuman melalui teknik penyinaran dan ujian ketoksikan sudah dilakukan

"Tetapi ujian klinikal tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan peruntukan sedangkan bagi kajian perubatan, sampel perlu dihasilkan dengan banyak seperti dilakukan pihak industri bagi membolehkan digunakan ke atas pesakit bagi tujuan klinikal.

"Meskipun bertungkus-lumus menghasilkan formula dan melakukan pelbagai ujian makmal tetapi ketiadaan peruntukan ia tidak dapat dikomersialkan walaupun permintaan ada dalam bidang perubatan.

Di sini perlu ampuh semangat dan tidak mustahil dengan adanya sifat itu, Chantara Thevy dinamakan sebagai Saintis Penyelidik Terkemuka Malaysia pada 2013 dan 2019.

Dedikasinya juga terbalas apabila kajian bahan polimer yang boleh dinyahkuman itu dinobatkan sebagai penerima hadiah Hadiah Grand Prix pada Pameran dan Reka Cipta Antarabangsa ke-34 di Geneva, Switzerland pada 2006.

Penyelidikan bertajuk Radiatian Sterilizable PVC Compounds for Medical Applications itu dipilih antara ribuan inovasi yang dihasilkan oleh 70 negara peserta.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata, beliau sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak berhenti membuat penyelidikan untuk pencapaian diri sendiri dan menyumbang kepada komuniti.

Setakat ini, sebanyak 12 hasil penyelidikannya sudah dipatenkan, selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) diterbitkan sebagai jurnal dan pembentangan di pelbagai persidangan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Mengkhusus dalam kajian polimer dan kitaran semula dalam perubatan, katanya

budaya pengkomersialan masih rendah di negara ini. Penyelidik perlu bersedia berdepan kesukaran mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka.

"Antara faktornya disebabkan kurang bersedia dalam kalangan pihak industri untuk membuat perubahan.

"Industri multinasional misalnya, mungkin terbiasa dengan produk hasil penyelidikan luar negara berbanding penyelidikan tempatan," katanya.

Meskipun kini berada dalam barisan pengurusan tertinggi Agensi Nuklear Malaysia, namun penyelidikan yang sudah sebati dengan dirinya menyebabkan beliau tidak mungkin dapat meninggalkannya.

Chantara Thevy Ratnam.
Chantara Thevy Ratnam.

Ibu kepada dua cahaya mata itu kini sedang mengusahakan penyelidikan antarabangsa bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkaitan penggunaan teknologi nuklear untuk pengitaran semula bahan polimer.

"Projek dicadangkan pada 2018 dan dipersetujui IAEA, tahun lalu, turut ditetapkan dalam 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

"Saya terbabit sebagai ketua projek dan berharap ia dikomersialkan dan memberi impak besar dalam aspek pengitaran semula bahan dan teknik penyinaran," katanya.

Mengulas mengenai cabaran pembabitan wanita dalam penyelidikan, beliau berkata mereka perlu menyeimbangkan di antara penyelidikan berbentuk intelektual dengan pengkomersialan.

Wanita katanya, mempunyai potensi mencapai tahap tinggi dalam penyelidikan dan kerjaya dan sentiasa bersedia berdepan cabaran.

"Dunia penyelidikan bukan hanya dalam makmal, ruang lingkupnya lebih luas justeru bersedia untuk meneroka dunia luar untuk lebih berjaya dalam penyelidikan.

"Sekarang lebih ramai wanita menceburi bidang ini. Bagi wanita berkerjaya, mengimbangi keluarga dan kerjaya adalah cabaran besar, justeru perlu bijak mengurus kedua-duanya," katanya.

Selepas 29 tahun bersama agensi ini, Chantara Chevy, beliau akan bersara wajib pada 1 Julai ini.

Meskipun selepas menamatkan perkhidmatan, beliau mengakui tidak mungkin mudah untuk melupakan bidang penyelidikan sains dan teknologi yang sudah sebati sebagai sebahagian darah dagingnya.

"Saya akan terus menyumbang kepakaran termasuk segi pementoran, latihan dan khidmat pakar dalam bidang ini.

"Selepas lebih tiga dekad, tidak mungkin saya berpisah sepenuhnya walaupun selepas bersara," katanya.

Berita Harian X