X
Sabtu, 19 Jun 2021 | 6:28pm
Chong Mei Sze, seorang pelari rekreasi sejak 2016, muncul pemenang MCIS Life MWM 2021 sekali gus meraih hadiah tajaan perjalanan untuk menyertai Maraton Antarabangsa Shenzen 2021.
Chong Mei Sze, seorang pelari rekreasi sejak 2016, muncul pemenang MCIS Life MWM 2021 sekali gus meraih hadiah tajaan perjalanan untuk menyertai Maraton Antarabangsa Shenzen 2021.

Larian maya tarik perhatian terhadap misi kecergasan

PETALING JAYA: Acara larian MCIS Life-Malaysia Women Marathon 2021 (MCIS Life MWM 2021) yang berakhir baru-baru ini telah menarik perhatian ramai peserta kali pertama yang cuba untuk menjadikan aktiviti berjalan, joging, berlari dan berbasikal sebagai sebahagian daripada rejim kecergasan harian mereka.

Acara tahun ini yang dilaksanakan secara maya, sejajar dengan seruan kerajaan bagi mengelakkan perhimpunan besar, telah menyaksikan penyertaan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai usia dalam usaha untuk mencapai matlamat kecergasan individu di era pandemik.

"Berdasarkan data selepas acara berkenaan, kami begitu terharu apabila mendapati keputusan kami untuk melaksanakan perlumbaan tahun ini secara maya dan membuka kategori untuk mereka yang mahu berjalan, berlari, joging dan berbasikal selain daripada maraton penuh, diterima dengan begitu baik sekali," kata Pengerusi Program MCIS Life MWM 2021, Karen Loh.

MCIS Life MWM 2021 menarik perhatian peserta baru selain peminat setianya menerusi acara bertemakan pemerkasaan wanita ini memandangkan acara berkenaan tidak bersifat persaingan sekali gus menarik perhatian segmen masyarakat yang lebih luas.

"Perkembangan positif ini ternyata berita yang memberangsangkan dengan kesedaran yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat terhadap keperluan untuk mengekalkan kesihatan yang baik menerusi pemakanan seimbang, senaman fizikal dan mempertingkatkan imuniti bagi mengurangkan ancaman pelbagai penyakit," tambah CEO dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran yang turut merakamkan penghargaan kepada pejabat Menteri Besar Selangor atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap acara berkenaan.

Dilancarkan secara rasmi pada 8 Mac 2021, peserta bagi acara berkenaan diberikan tempoh lebih daripada sebulan untuk menyempurnakan jarak yang dijanjikan menerusi jadual kecergasan yang konsisten dan pada masa yang sama memastikan pematuhan sepenuhnya kepada peraturan dari segi penjarakan fizikal, mengelak lokasi berisiko tinggi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas COVID-19 dan seumpamanya.

"Menerusi versi maya acara berkenaan yang baharu saja diperkenalkan tahun ini, kami tidak melupakan peserta setia kami yang berminat dengan acara maraton penuh, justeru itu kami menyediakan kategori untuk mereka juga," jelas Loh.

Pada hari kiraan terakhir MCIS Life MWM 2021, Chong Mei Sze, seorang pelari rekreasi sejak 2016, muncul pemenang yang meraih hadiah tajaan perjalanan untuk menyertai Maraton Antarabangsa Shenzen 2021.

"Maraton Antarabangsa Shenzen dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini. Akan tetapi berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia, kami turut menawarkan pilihan kepada Chong untuk menyertai acara antarabangsa itu pada tahun hadapan (2022) kerana keselamatan peserta sememangnya menjadi keutamaan pihak kami," kata Prasheem.

Di samping acara sukan maya tahun ini, beberapa inisiatif dan aktiviti yang bertemakan 'kesihatan, kesejahteraan dan kecergasan' turut dijalankan.

Kempen 'Norma Baharu, Saya Yang Baharu (New Norm New Me)' yang telah dilancarkan bersama-sama MCIS Life MWM 2021 menyaksikan Deborah Fiona Nonis dari Bandar Utama, berkongsi perjalanan beliau dalam mengubah dirinya bermula daripada pendaftaran untuk menyertai acara berkenaan – beliau pada mulanya menjanjikan jarak 150km namun meningkatkan jarak berkenaan kepada 250km selepas mencapai separuh daripada jarak asalnya.

Ketabahan Deborah dan hantaran media sosial yang konsisten untuk memberikan insipirasi kepada orang lain untuk menyertai MCIS Life MWM 2021 sebagai satu kaedah untuk terus konsisten dengan rejim kecergasan meraih ganjaran apabila beliau menerima jam tangan Garmin FR235 sebagai sokongan kepada usaha berterusannya itu.

Antara kisah benar yang mencetuskan inspirasi daripada acara tahun ini termasuklah Crystal Cheam yang hamil 34 minggu (pada 8 Mac 2021) menyelesaikan larian 10km sebagai sebahagian daripada ikrarnya untuk memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2021 yang bertemakan #ChooseToChallenge serta keazaman yang dipamerkan oleh Ainaa Amira, yang meskipun masih menerima rawatan pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan sukan, mampu menyempurnakan acara jalan kaki pada jarak 100km!

Berita Harian X