Khamis, 10 Jun 2021 | 1:16pm
Nurul Azwa turut membantu di kedai runcit milik suaminya, di Jalan Raja Alang.- Foto/NSTP
Nurul Azwa turut membantu di kedai runcit milik suaminya, di Jalan Raja Alang.- Foto/NSTP

Suri rumah berniaga tambah pendapatan

KUALA LUMPUR: Hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 akibat COVID-19, pada Mac tahun lalu membuatkan tiga suri rumah memulakan perniagaan sampingan bagi membantu suami mereka.

Bagi Zanariah Zakaria, 35, dia memulakan perniagaan menjual pelbagai jenis kek dan pencuci mulut dari rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, dekat sini.

Katanya, dia sudah lama berhasrat menjalankan perniagaan itu kerana minat yang mendalam sejak sekian lama, namun tidak berkesempatan.

"Pada Mac tahun lalu selepas melihat perniagaan menjual air milik suami tidak dapat beroperasi dan kami mula hilang punca pendapatan, saya mula berniaga.

Antara kek dihasilkan Zanariah untuk menambah pendapatan keluarga.- Foto/NSTP
Antara kek dihasilkan Zanariah untuk menambah pendapatan keluarga.- Foto/NSTP

"Suami Hairul Hazly Khairudin, 37, bersetuju dan menyokong dan membantu bagi meringankan beban," katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia pernah mengikuti kelas membuat kek dan pencuci mulut walaupun ketika itu tiada hasrat berniaga lagi.

Selepas melihatkan keadaan semakin mendesak, dia merasakan ini masa dan peluang sesuai mengasah bakat itu.

"Untuk menambah ilmu, saya turut belajar menerusi Facebook, menonton dan mengikut sesi belajar jarak jauh dari rakaman video.

Zanariah Zakaria
Zanariah Zakaria

"Apabila buat sesuatu benda yang minat ia akan mudah dan kini, perniagaan sampingan ini mampu menambah pendapatan kami sekeluarga," katanya.

Dia mempromosikan perniagaannya dengan membuat hantaran menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Pada mulanya perniagaan agak perlahan kerana masih baharu, lama-kelamaan banyak tempahan dan kini sudah ada pelanggan tetap," katanya.

Bagaimanapun, dia terpaksa mengehadkan jumlah tempahan setiap hari kerana masalah kesihatan dialami sejak tiga tahun lalu iaitu penyakit jantung berlubang.

"Saya dinasihatkan supaya tidak melakukan kerja sehingga terlalu penat, namun syukur kini saya masih boleh aktif dan melakukan kerja seperti biasa," katanya.

Hazwani Abd Wahab, 28, berkata dia mula membantu suaminya, Mohd Hasnizam Ishak, 47, menambah pendapatan sejak PKP 1.0 dengan menjual 'choco jar' diletakkan di kedai milik rakan, ibu dan mak cik.

Hazwani Abd Wahab
Hazwani Abd Wahab

Ibu kepada dua anak itu berkata, pada mulanya dia suka-suka membuat manisan itu namun tidak sangka mendapat permintaan orang, dan sehingga kini mampu menjual 60 balang seminggu.

"Namun, memandangkan baru-baru ini PKP 3.0 pula, perniagaan makanan suami terjejas teruk kerana orang ramai tidak boleh makan di kedai dan saya mencari inisiatif lain dengan menjual tudung pula.

"Saya menjual tudung secara siaran langsung di Facebook selama sejam pada setiap malam, dan syukur kerana perniagaan ini turut memberi pulangan sekali gus membantu meringankan beban suami," katanya.

Katanya, sebelum ini suaminya menjalankan perniagaan menjual baju di Danau Kota selama 15 tahun, namun terpaksa ditutup tahun lalu dan meneruskan dengan perniagaan kedai makan di Jalan Genting-Klang.

"Perniagaan itu juga tidak berjalan lancar

kerana PKP dan kini suami menjalankan perniagaan menjual burger dan masakan barat di kedai makan milik ibu di PPR Bukit Jalil.

"Sejak PKP 3.0 perniagaan terjejas teruk. Sebab itu saya perlu terus membantu suami dan gembira kerana dapat membantunya menambah pendapatan kami sekeluarga," katanya.

Nurul Azwa Omar, 28, pula berkata dia memulakan perniagaan menjual mi celup sejak Ramadan lalu bagi membantu menambah pendapatan keluarga selepas perniagaan kedai runcit milik suaminya, Jufri Masril, 32, terjejas.

Katanya, dia mendapat idea membuat mi celup kerana mendapati banyak barangan untuk membuat makanan itu berasal dari Thailand, dijual di kedai runcit milik mereka.

"Saya sediakan modal RM2,000 untuk memulakan perniagaan ini dengan menumpang gerai di kedai makan milik adik di Kampung Baru.

"Perniagaan ini mendapat sambutan, tetapi kerana PKP, kami terpaksa tutup semula. Kini dalam proses mendaftar di syarikat penghantaran makanan untuk memulakan semula perniagaan dari rumah," katanya.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, jika berlaku lagi PKP selepas ini, dia dan suami pasti akan lebih terkesan kerana wang simpanan banyak dihabiskan sejak PKP tahun lalu kerana perniagaan kedai runcit tidak mendapat pulangan.

Mereka juga tidak mendapat sebarang bantuan sepanjang PKP untuk membantu kewangan perniagaan kedai runcitnya.

"Saya berharap perniagaan mi celup diusahakan berjalan lancar kerana saya hanya mahu membantu suami menambah pendapatan," katanya.

Berita Harian X