Khamis, 3 Jun 2021 | 11:03am
Siti Rafiah menunggang motosikal menghantar barang dipesan pelanggan setiap hari.- Foto/ Syaherah Mustafa
Siti Rafiah menunggang motosikal menghantar barang dipesan pelanggan setiap hari.- Foto/ Syaherah Mustafa

'Minah runner' gigih cari rezeki sepanjang PKP

KOTA BHARU: Habis kapak berganti beliung, begitulah gambaran kerajinan seorang wanita gigih bekerja sebagai penghantar barangan atau 'runner' untuk mencari rezeki sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Siti Rafiah Ab Rashid, 29, yakin dan berani menunggang motosikal jenis Honda RS 150R miliknya, di jalanan hampir setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempercayainya untuk membeli pelbagai jenis barangan keperluan atau runcit, menu makanan segera selain menghantar dokumen penting ke agensi kerajaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kejuruteraan Komputer) daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), ini tidak menyangka, pada awalnya hanya membantu rakan untuk membeli barangan keperluan, kini menjadi 'kerjaya' yang menyeronokkan dan beri pulangan lumayan.

"Saya mengambil upah serendah RM5 sehingga RM70 bergantung kepada jarak perjalanan pergi balik serta beban barangan, selain kini memiliki pelanggan dari pelbagai daerah seperti di Rantau Panjang, Tumpat, Tanah Merah dan Machang.

"Penghantaran bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang kerana bimbang keselamatan diri jika mahu diteruskan pada sebelah malam.

Kerjaya sebagai penghantar barang memberikan pendapatan lumayan.- Foto/ Syaherah Mustafa
Kerjaya sebagai penghantar barang memberikan pendapatan lumayan.- Foto/ Syaherah Mustafa

Tempahan banyak juga biasanya diambil bergantung kepada lokasi agar pelanggan menerima barangan pada waktu dijanjikan.

"Sepanjang wabak pandemik COVID-19 ini, saya menitik beratkan prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan diri, malah turut meminta pelanggan membuat bayaran secara dalam talian," katanya ketika ditemui selepas membeli barangan tempahan pelanggan di Kota Bharu (KB) Mall, di sini.

Siti Rafiah anak kedua daripada lima adik beradik berkata, beliau memulakan kerjaya sebagai 'runner' sejak 2018, dan tidak menyangka permintaan pelanggan semakin rancak dua kali ganda selepas pelaksanaan PKP 1.0 sehingga hari ini.

"Selain diperkenalkan pelanggan tetap kepada orang ramai, saya juga turut mempromosikan khidmat menghantar barang ini di laman Facebook.

"Hasil menjadi 'runner' juga saya mampu melangsaikan puluhan ribu ringgit hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan membantu ibu, Azizah Ag Samat, 64, serta keluarga lain.

"Sejujurnya, memang ada sahaja 'suara' yang mempertikaikan kerjaya saya yang banyak menghabiskan masa menunggang motosikal di jalanan, memandangkan saya wanita, namun setiap kali keluar bekerja saya sentiasa berdoa semoga dilindungi-Nya selain sentiasa berhati-hati," katanya.

Menurut Siti Rafiah, ada sahaja 'runner' dalam kalangan wanita, namun tidak seramai lelaki dan baginya, apa sahaja kerja boleh dilakukan, asalkan halal serta tidak memudaratkan diri.

Katanya, keadaan semasa kini mendorong beliau berfikir di luar kotak bagi mencari rezeki, tambahan pula, peluang pekerjaan agak sukar untuk diperoleh.

Berita Harian X