Khamis, 27 Mei 2021 | 11:28am
Sarimah bersama suami dan anaknya yang memberi sokongan menyokong dan sentiasa berada di sisi.- Foto/Ihsan Sarimah
Sarimah bersama suami dan anaknya yang memberi sokongan menyokong dan sentiasa berada di sisi.- Foto/Ihsan Sarimah

'Saya hilang selera makan, tubuh menggeletar '- Sarimah

KUALA LUMPUR: Pernah mengalami episod kemurungan yang teruk selepas melahirkan anak sulung memberi kesedaran kepada selebriti, Che Puan Sarimah Ibrahim mengenai isu kesihatan mental bukan perkara remeh.

 

Sarimah yang baru dilantik sebagai penaung kepada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), berkata pengalaman dilalui membuatkan dirinya memahami lebih menyeluruh mengenai simptom kemurungan.

Katanya, walaupun kelihatan normal ia tidak bererti seseorang itu bebas daripada kemurungan.     

Isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang juga cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, berkata masalah kesihatan mental seperti kemurungan perlu diberi perhatian termasuk dalam situasi COVID-19, ramai yang terkesan.

Bagi Sarimah, kehidupannya lebih mencabar dengan kehadiran permata sulung, Tunku Sofia Najihah, 2, pada 2019 yang sekali gus menjadi detik mencabar buat dirinya untuk menggalas tugas baharu sebagai ibu.

"Macam kebanyakan ibu lain, tak cukup tidur itu perkara biasa. Masalah itu kemudian berlanjutan selepas habis berpantang. Doktor beritahu itu berlaku mungkin berkaitan masalah hormon.

"Cuma apabila semakin resah dan lemah semangat, saya jadi pelik. Ia bukan rasa biasa. Mujur saya dapat kesan kemurungan itu pada fasa awal," katanya ditemui baru-baru ini.

Sarimah berkongsi pengalaman ketika berhadapan masalah kemurungan selepas melahirkan anak sulung.- Foto Ihsan Sarimah
Sarimah berkongsi pengalaman ketika berhadapan masalah kemurungan selepas melahirkan anak sulung.- Foto Ihsan Sarimah

Wanita kelahiran Ireland menjelaskan,  pengetahuan selama 10 tahun mempelajari bidang psikologi banyak membantunya  untuk lebih peka dan sedar masalah dialami.

Beliau berkata, ada individu yang tidak sedar mereka menghidapi kemurungan.

Sama sepertinya yang ada simptom kemurungan yang akhirnya mencari pakar untuk berkongsi masalah.

"Ketika itu, berat badan saya mula turun. Kehidupan seperti normal, tersedar awal pagi, solat, makan dan sebagainya serba cukup, tetapi macam ada tak kena.

"Saya hilang selera makan, sikit-sikit menangis dan apabila keluar rumah tubuh menggeletar.

"Rasa Sarimah yang dulu sudah tiada. Selepas bertemu pakar, saya dinasihatkan menjalani terapi. Benar saya disahkan ada kemurungan selepas bersalin.

"Saya juga pelik dan terkejut. Saya seorang yang ceria, positif, suka bersenam, jaga makan dan sebagainya, tetapi tetap juga mendapat kemurungan.

"Saya bersyukur selepas menjalani terapi, secara beransur saya pulih seperti biasa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah  kesihatan mental wajar dijadikan mata pelajaran utama di sekolah.

"Cara dibesarkan termasuk persekitaran, status hidup, pemakanan dan sudut biologi beri kesan. Saya pernah membaca kajian menyatakan anak dibesarkan tak cukup nutrisi berpotensi mendapat kemurungan.

"Ada kes kemurungan disebabkan kes keganasan rumah tangga sehingga mendorong membunuh diri," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat yang mempunyai simptom kemurungan supaya segera berjumpa pakar untuk pemeriksaan.

Katanya, individu itu tidak seharusnya berkongsi cerita tak tentu hala, marah dan memberontak, sebaliknya cegah sebelum melarat.

"Kita patut beri sokongan kepada mereka.

Hentikan stigma negatif atau pandang prejudis kepada insan yang menghidapi kemurungan. Jangan fikir sakit mental hanya perlu makan ubat dan akan baik sendiri," katanya.

Sarimah (kanan) sebagai penaung MIASA ketika menghadiri sidang akhbar berkaitan isu kesihatan mental, baru-baru ini. - Foto Ihsan Sarimah
Sarimah (kanan) sebagai penaung MIASA ketika menghadiri sidang akhbar berkaitan isu kesihatan mental, baru-baru ini. - Foto Ihsan Sarimah

Beliau juga bangga kerana dilantik sebagai penaung dan akan memberi sokongan padu dan mendapat menarik perhatian MIASA.

"Ini peluang terbaik untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Saya juga percaya dan optimis dalam pertubuhan ini.

"Sejak dua tahun lalu, saya diundang berkongsi pengalaman, beri ceramah, jadi perantara, hos, ahli panel membabitkan isu kesihatan mental," katanya," katanya bersyukur kerana ketika berdepan kemurungan suami memberikan sokongan dan sentiasa berada di sisi.

Info

MIASA

* Menyediakan talian untuk membantu masalah emosi, perasan stres dan sebagainya.

* Mempunyai rumah kelab menjadi tenaga sokongan golongan senasib.

* Malah ada kaunseling membabitkan ustaz yang menyuntik aspek kerohanian

*  Menyediakan perkhidmatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah dan B40.

* Untuk bantuan hubungi talian hotline MIASA di 03-7932 1409 dan 019-232 2423 atau e-emel di alamat info.malaysia@gmail.com.

Berita Harian X