Isnin, 10 Mei 2021 | 1:00pm
 Nur Dalila mewarisi perniagaan keluarga bersama Zahedy menunjukkan koleksi songkok tinggi buatan tangan dihasilkan di butik mereka.- Foto/Essa Abu Yamin
Nur Dalila mewarisi perniagaan keluarga bersama Zahedy menunjukkan koleksi songkok tinggi buatan tangan dihasilkan di butik mereka.- Foto/Essa Abu Yamin

Songkok tinggi terus jadi pilihan

MUAR: Songkok Tinggi begitu popular dengan masyarakat Melayu Johor yang kebiasaannya dipadankan dengan busana baju Melayu Teluk Belanga sinonim di negeri selatan tanah air itu bagi melengkapkan gaya pada Aidilfitri.

Songkok tinggi yang sering menjadi aksesori kepala memberi daya tarikan dan identiti tersendiri dipakai ketika majlis rasmi dan persembahan kebudayaan tradisional itu sering menjadi pilihan ketika menyambut lebaran.

Bagi pemilik Butik Songkok Masood Hussin Muar, Nur Dalila Abd Ghani yang mengusahakan perniagaan butik songkok buatan tangan sejak Ramadan, dia tidak menang tangan apabila menjadi tumpuan pelanggan untuk songkok tinggi.

"Di Muar khususnya permintaan songkok tinggi begitu memberangsangkan lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Aidilfitri.

"Kami pernah menerima hampir 30,000 pasang songkok biasa termasuk songkok tinggi menjelang Syawal dan ada kalanya terpaksa menutup tempahan dua minggu sebelum Aidilfitri kerana tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.

"Pembuatan songkok yang kami usahakan sepenuhnya buatan tangan dan kami membuatnya dengan penuh fokus dan berhati-hati kerana mahu mengekalkan kualiti tinggi pada songkok berkenaan," katanya kepada BH.

Butik Songkok Masood Hussin Muar hasilkan songkok buatan tangan sejak 1945.- Foto/Essa Abu Yamin
Butik Songkok Masood Hussin Muar hasilkan songkok buatan tangan sejak 1945.- Foto/Essa Abu Yamin

Beliau kagum kerana permintaan songkok tinggi masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana mempunyai nilai estetika yang begitu bernilai.

"Banyak tempahan diterima di Muar dan daerah lain di Johor. Malah ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh seperti Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak semata-mata untuk mendapatkan songkok kami yang berkualiti tinggi.

"Pembuatan songkok biasa dan songkok tinggi sebenarnya dihasilkan tidak sahaja ketika pada musim perayaan, malah setiap masa. Kami juga menjadi pembekal utama songkok untuk butik terkenal serta beberapa pusat beli-belah di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, pelanggan yang berkunjung ke butik songkoknya boleh memilih rekaan mengikut cita rasa mereka.

Nur Dalila tidak menang tangan menyiapkan tempahan songkok tinggi yang mendapat permintaan tinggi terutama pada musim perayaan.- Foto/Essa Abu Yamin
Nur Dalila tidak menang tangan menyiapkan tempahan songkok tinggi yang mendapat permintaan tinggi terutama pada musim perayaan.- Foto/Essa Abu Yamin

"Rekaan dihasilkan eksklusif, selain pelanggan boleh mendapatkan pelbagai reka bentuk atau warna songkok diingini kerana kami bersedia membuatnya untuk semua pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan lebih suka datang ke butik kerana dapat mencuba dulu mengikut saiz kepala kerana lebih selesa berbanding songkok siap jual," katanya.

Katanya, Songkok Masood Hussin sentiasa mengutamakan keselesaan dan kepuasan pelanggan kerana setiap songkok dihasilkan dijamin bermutu kerana menggunakan bahan seperti kain baldu yang berkualiti tinggi.

"Kami hanya menggunakan bahan asas termasuk fabrik yang bermutu tinggi. Malah, bagi keselesaan pemakai songkok, kita turut meletakkan fabrik lembut dalam songkok bagi memastikan pelanggan berasa lebih selesa dan yakin dengan menggunakan songkok keluaran kami.

"Selain ditempah, pelanggan juga boleh memilih songkok yang sudah disiapkan pada ukuran ketinggian bermula tiga hingga lima inci bagi ukuran standard yang kebanyakan disediakan pada warna hitam dan biru gelap.

"Ketinggian songkok tinggi bermula berukuran standard empat inci, empat setengah inci, lima inci dan ada pelanggan yang menempah enam hingga tujuh inci bergantung pada permintaan masing-masing serta harga songkok bermula dari RM18 hingga RM400 bergantung jenis fabrik dan baldu yang dipilih untuk digunakan," katanya.

Dalila berkata, berkata kemahiran beliau membuat songkok adalah mewarisi bakat sejak turun-temurun daripada datuknya, Allahyarham Masood Hussin.

"Saya mula mengambil alih perniagaan keluarga berkenaan pada 2002 selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Kedai songkok datuk saya ini diwujudkan pada 1945 dengan nama asalnya dikenali sebagai 'Toko Harmuni' sebelum saya mengambil alih perniagaannya dan menukar kepada Butik Songkok Masood Hussin Muar sempena nama datuk saya," katanya.

Selepas mengambil alih perniagaan itu, beliau turut dibantu suami, Zahedy Zakariah, 43, yang sering bertukar-tukar idea dan pendapat untuk mengangkat martabat aksesori itu tidak ditelan zaman.

"Saya juga mahu pemakaian songkok ini diterima oleh generasi muda dan dijadikan aksesori wajib sebagai pelengkap gaya.

"Saya bersyukur suami juga berminat dan berbakat membuat songkok buatan tangan. Saya saya juga berniat untuk menurunkan ilmu pembuatan songkok ini kepada anak supaya warisan pembuatan songkok terus berada di tempat sepatutnya meskipun dalam kepesatan arus pemodenan," katanya.

Pernah menerima hampir 30,000 tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.- Foto/Essa Abu Yamin
Pernah menerima hampir 30,000 tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.- Foto/Essa Abu Yamin

Berita Harian X