X
Jumaat, 12 April 2019 | 10:03am
(Dari kiri) Hashim sebagai moderator bersama Young Syefura, Halimah dan Fatimi pada Forum Pembabitan Wanita Dalam Politik anjuran Akademi Pengajian Melayu, UM, semalam. - Foto NSTP
(Dari kiri) Hashim sebagai moderator bersama Young Syefura, Halimah dan Fatimi pada Forum Pembabitan Wanita Dalam Politik anjuran Akademi Pengajian Melayu, UM, semalam. - Foto NSTP

Sumbangan wanita perkasa politik tanah air

Kuala Lumpur: Pembabitan wanita dalam arena politik amat besar kerana golongan itu menyumbang 60 peratus perayu undi yang mampu mengubah landskap dalam menentukan pembentukan kepemimpinan negara ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITra), Universiti Malaya (UM), Dr Fatimi Hanafi, berkata kajian menunjukkan wanita semakin diterima dan diberi peluang sama rata sama ada sebagai perayu undi dan calon dalam pilihan raya.

Katanya, setiap tahun jumlah wanita yang terbabit dalam politik juga semakin meningkat, termasuk dilantik sebagai wakil rakyat mahupun sebagai menteri dalam barisan Kabinet, sekali gus mewakili golongan itu secara keseluruhannya.

“Pembabitan wanita dalam politik semakin ketara selepas reformasi pada 1999 berkaitan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Kita boleh lihat kebangkitan wanita dalam konteks politik apabila Dr Wan Azizah bertanding dalam pilihan raya. Selepas itu, kemunculan ramai wanita muda menjadi calon untuk pilihan raya hingga ke hari ini,” katanya ketika Forum Pembabitan Wanita Dalam Politik anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), di sini, semalam.

Yang turut menjadi panel ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali. Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Hashim Ismail bertindak sebagai moderator.

Golongan muda dinilai

Fatimi berkata, keterbukaan parti lain menerima orang muda khususnya wanita sebagai calon semakin menyerlah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita juga dapat melihat perubahan besar dalam PRU14 apabila ramai calon wanita yang menjadi wakil rakyat sehingga menjadi Ahli Parlimen.

“Pada 2013, 23 Ahli Parlimen wanita meningkat kepada 33 orang sekarang,” katanya.

Sementara itu, Young Syefura, berkata penerimaan wanita dalam politik masih konservatif dalam kalangan masyarakat berbanding lelaki meskipun pembabitan golongan itu semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, untuk menjadi wakil rakyat wanita, terutama orang muda bukan perkara mudah kerana mereka sentiasa dinilai dalam pelbagai aspek berbanding lelaki.

“Mental dan fizikal perlu kuat kerana setiap hari ada saja isu berbangkit yang perlu ditangani seolah-olah mahu menguji keupayaan wakil rakyat wanita.

“Malah, golongan ini sering kali menjadi mangsa serangan pelbagai isu mahupun peribadi. Jadi jika tidak kuat mental dan fizikal kita akan mengalah dan akhirnya mudah mengundurkan diri arena politik,” katanya.

Young Syefura menegaskan, wanita adalah golongan yang istimewa kerana peranan mereka sangat besar dalam arena politik bermula dari peringkat bawah sehingga jawatan tertinggi.

Pada peringkat bawah, wanita diperlukan sebagai perayu undi dan mengenalkan parti diwakili. Yang mewakili peringkat tertinggi mereka tergolong dalam kalangan pembuat dasar, iaitu dilantik dalam barisan Kabinet sebagai menteri dan timbalan Perdana Menteri.

Berani nyata pendirian

Bagaimanapun, wanita berdepan dengan cabaran dalam pelbagai aspek sehingga membuatkan golongan itu yakin serta ampuh dalam setiap tindakan dilakukan.

“Saya berharap wanita muda yang mahu menceburi arena ini supaya memilih politik matang dan menolak kepada politik kebencian yang melampau khususnya terhadap agama dan perkauman.

“Kita harus fokus kepada isu politik semasa, dasar dan polisi yang memberi kesan positif demi kepentingan rakyat. Berani menyatakan pendirian kita tidak kiralah apa saja parti,” katanya.

Dr Halimah berkata, negara ini memerlukan lebih ramai pemimpin wanita yang berani, lantang memperjuangkan prinsip dan perjuangan untuk menjaga kepentingan rakyat.

Berita Harian X