Khamis, 13 Januari 2022 | 10:59am
Native anjurkan program kemahiran seni kraf tangan menggunakan daun mengkuang dikendalikan komuniti Orang Asli kepada masyarakat. - Foto ihsan Native
Native anjurkan program kemahiran seni kraf tangan menggunakan daun mengkuang dikendalikan komuniti Orang Asli kepada masyarakat. - Foto ihsan Native

Bantu bangunkan sosioekonomi Orang Asli

KUALA LUMPUR: Kehidupan unik masyarakat Orang Asli di negara ini berpotensi untuk diketengahkan termasuk dari segi nilai pelancongan, pendidikan, budaya dan hospitaliti golongan itu.

Justeru, pengasas tunggal Native, Daniel Teoh, 27, membulatkan tekad untuk membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dari segi sektor pelancongan, selain meningkatkan keyakinan diri dan mengembangkan potensi golongan sejajar dengan pemodenan negara.

Anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang ini bermula menjadi sukarelawan membantu membina sebuah rumah di perkampungan Orang Asli di Semenyih, Selangor pada 2018 sekali gus mahu berbakti kepada masyarakat pribumi ini.

Usaha itu juga dilakukan untuk golongan wanita masyarakat Orang Asli, dengan menganjurkan program kemahiran mengajar seni kraf tangan menggunakan daun mengkuang yang dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti itu untuk orang ramai.

"Dari sudut lain, Orang Asli mempunyai 'watak' istimewa jika didekati. Sudah tiba masanya komuniti membantu meningkatkan sosioekonomi, sektor pelancongan, kemahiran dan yakin diri," katanya.

Usaha lulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam University of Nottingham, Semenyih membantu masyarakat Orang Asli juga sudah menerima pengiktirafan daripada Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) dan Deutsche Bank iaitu Anugerah SIF-Deutsche Bank Made for Good.

Anugerah itu bertujuan menyokong dan menggalakkan perusahaan sosial yang menunjukkan kecekalan dan inovasi hebat mereka dalam menyesuaikan perniagaan bagi menyampaikan impak sosial walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.

Sebagai alumni program Usahawan Sosial Muda (YSE) SIF, Daniel berkata pihaknya adalah sebuah perusahaan sosial pengembaraan impak di Malaysia yang memperkasakan komuniti Orang Asli untuk menjadi tuan rumah kepada pengalaman budaya mendalam sebagai satu bentuk mata pencarian.

"Dengan terhentinya sektor pelancongan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mula memikirkan cara terbaik untuk Orang Asli seperti menjual durian yang diperoleh terus daripada komuniti rakan kongsinya (masyarakat Orang Asli).

"Perusahaan sosial ini menjadi jenama durian sebagai sumber asli pertama di Malaysia, dengan 40 peratus daripada penjualan itu disalurkan kepada benefisiari.

Daniel (kiri) membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli termasuk di Semenyih. - Foto ihsan Native
Daniel (kiri) membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat Orang Asli termasuk di Semenyih. - Foto ihsan Native

"Kami turut melengkapkan rakan kongsinya dengan kemahiran dan alatan digital asas serta menawarkan pengalaman perjalanan maya, mewujudkan aliran hasil baharu untuk mereka," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, beliau tidak akan menoleh belakang dan terus membina jaringan bersama-sama masyarakat Orang Asli untuk menjana pendapatan mereka sendiri.

"Secara terus terangnya, saya bukanlah membesar dalam suasana masyarakat itu malah tidak pernah terfikir untuk bekerjasama dengan mereka apabila dewasa.

"Namun, mendekati Orang Asli adalah anugerah terindah buat saya kerana di sebalik apa yang disangka orang luar tidak sama jika sudah mengenali satu sama lain. Personaliti menarik dan mesra apabila orang luar mendekati masyarakat itu.

"Mereka akan mula bercerita dan berkongsi pengalaman. Dari situ saya percaya segala usaha kami dapat membantu meningkatkan sosioekonomi, selain khazanah hutan yang dekat dengan dunia mereka akan meninggalkan pengalaman berbeza kepada orang luar," katanya.

Berita Harian X