Khamis, 6 Januari 2022 | 11:18am
Inisiatif NGO bekalkan tuala wanita bagi membantu golongan berisiko ini perlu dihargai - Gambar hiasan
Inisiatif NGO bekalkan tuala wanita bagi membantu golongan berisiko ini perlu dihargai - Gambar hiasan

Ramai masih 'terperangkap' isu kemiskinan haid

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai kemiskinan haid (period poverty) tidak seharusnya dijadikan polemik dan dianggap sebagai tabu atau 'larangan' dalam masyarakat kerana ia membabitkan hak asasi kanak-kanak perempuan serta wanita.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rojanah Kahar, berkata ada yang masih menganggap haid sebagai isu peribadi dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

Sedangkan haid katanya, bertepatan dengan maqasid syariah bagi memelihara jiwa dan kesihatan kanak-kanak serta wanita.

Dalam perspektif kesihatan dan perubatan, kitaran haid turut diterima sebagai kaedah perancangan keluarga.

"Amalan dan budaya sebahagian masyarakat dunia atau di negara ini masih menganggapnya sebagai isu peribadi dan tidak harus dibincangkan sedangkan ia membabitkan kelangsungan hidup.

"Sehingga kini, masih ada kelompok yang terperangkap dalam isu kemiskinan haid," katanya.

Beliau mengulas bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja wanita B40 yang dibentangkan dalam Bajet 2022.

Inisiatif itu bagi memberi perhatian terhadap isu kemiskinan haid yang berada pada tahap membimbangkan di negara ini.

Menurut Rojanah, isu ini turut merujuk kepada kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi bagi menguruskan haid, antara lain wujud disebabkan masalah kemiskinan yang masih belum selesai.

Kemiskinan menyebabkan seseorang tinggal dalam persekitaran tidak kondusif, tiada bekalan air bersih dan tempat pelupusan sampah serta tandas sesuai bagi pengurusan diri.

"Jika haid, mereka perlukan produk yang dapat menyerap atau menakung darah dengan selamat dan bersih, malah fasiliti tandas yang cukup dengan air bersih, sabun pencuci serta tempat pembuangan sesuai.

Dr Rojanah Kahar
Dr Rojanah Kahar

"Ambil contoh gelandangan, mereka tiada tempat tinggal sempurna dan kurang akses kepada kemudahan api serta air. Bagaimanakah mungkin mereka mampu mendapatkan bekalan tuala wanita?

"Justeru, inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membekalkan tuala wanita bagi membantu golongan berisiko ini perlu dihargai," katanya.

Rojanah turut memberi penekanan mengenai akses kepada pendidikan bagi menangani isu kemiskinan haid.

Katanya, meskipun kurikulum pendidikan rendah dan menengah menyebut mengenai haid, tetapi isu kemiskinan haid, mungkin turut dialami pelajar, kurang diberi penekanan.

"Adakah kanak-kanak di negara ini mendapat hak pendidikan yang cukup mengenai kesihatan reproduktif dan pengurusan haid?

"Disebabkan itu kita dapati terdapat kanak-kanak perempuan tidak hadir ke sekolah disebabkan tidak mampu membeli tuala wanita dan ia memang satu isu yang serius

"Masih ramai terpinggir dan perlukan pembelaan. Meskipun banyak pihak tampil membantu golongan ini, tetapi modus operandi digunakan masih boleh ditambah baik," katanya.

Mengenai mentaliti membabitkan disiplin, tahap kebersihan dan penjagaan kesihatan, Rojanah berkata, perubahan pendekatan perlu dilakukan pada peringkat akar umbi termasuk melalui penekanan terhadap pendidikan keibubapaan.

Katanya, pendidikan keibubapaan mesti diterapkan sejak awal memandangkan sikap atau mentaliti seseorang banyak dipengaruhi persekitaran terutama keluarga.

"Perubahan minda sangat penting. Jika guru mendidik disiplin anak mengenai kebersihan tetapi apabila pulang ke rumah, tiada sokongan daripada ibu bapa, usaha itu mungkin akan gagal," katanya.

Berita Harian X