Khamis, 22 Julai 2021 | 11:18am
MAKNA untuk terus membantu golongan terjejas.- Foto hiasan
MAKNA untuk terus membantu golongan terjejas.- Foto hiasan

MAKNA tumpu bantu pesakit miskin, B40

KUALA LUMPUR: Majlis Kanser Nasional (MAKNA) terus menumpukan kepada pendekatan membantu pesakit kanser dari hospital kerajaan yang juga tergolong dalam kategori miskin termasuk kumpulan B40.

Pengurus Besarnya, Farahida Mohd Farid, berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia sejak tahun lalu, cukup memberikan cabaran terutama apabila kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Katanya, cuma Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang sedang berkuat kuasa sekarang ini, memberikan sedikit pengalaman kepada MAKNA untuk terus membantu golongan terjejas.

"Pesakit kami kami antara yang paling teruk terjejas apabila terdapat sekatan pergerakan, iaitu tiada akses untuk mendapatkan makanan serta menghadapi kesukaran memenuhi keperluan perubatan.

"Jadi soal makanan menjadi keutamaan yang mana kami menghubungi pesakit bagi mengetahui keadaan mereka dan janji temu rawatan berikutan kesukaran mereka untuk bergerak," katanya ketika dihubungi BH.

Terdahulu, MAKNA dianugerahkan Merdeka Award 2020 bagi Kategori Pendidikan dan Komuniti di atas sumbangan luar biasanya dalam memberikan sokongan kewangan, perubatan, emosi dan sosial kepada pesakit kanser selain organisasi yang menyokong dan melanjutkan penyelidikan kanser lebih daripada 26 tahun.

Menerusinya MAKNA memperoleh trofi, sijil pengiktirafan dan penghargaan tunai.

Farahida berkata, meskipun MAKNA sudah 26 tahun ditubuhkan, ramai masih tidak tahu dan sering menganggap MAKNA membantu sesiapa sahaja.

"Skop perkhidmatan kami memang luas, bermula daripada program kesedaran, saringan, rawatan, bantu dari segi pengangkutan kepada golongan disasarkan.

"Kami membiaya kos pengangkutan mengikut kekerapan sama ada secara bulanan, mingguan atau setahun serta ada hingga seumur hidup.

Farahida Mohd Farid
Farahida Mohd Farid

"Malah, bantuan peralatan juga diberikan untuk membantu pesakit teruskan 'survival' mereka, misalnya pembiayaan ubat-ubatan, peralatan bagi tiap tahun, yang mana data untuk permohonan itu dibuat dalam talian," katanya.

Pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Sosial yang ada di kebanyakan hospital iaitu membangunkan sistem dalam talian bermula dengan permohonan, butiran serta bantuan diperlukan.

"Sehingga kini, MAKNA sudah membantu kira-kira 50,000 orang yang menerima bantuan berkala daripada awal penubuhan pada 1996.

"Setiap pesakit kita bantu secara purata sebanyak RM1,500 untuk bantuan setahun dan ia adalah mengikut keperluan pesakit yang khusus, berbeza setiap orang.

"Paling tinggi hingga RM200,000 yang merangkumi bantuan pembelian ubat yang tiada ditanggung kerajaan, iaitu pola bantuan kita ada secara 'personalized' dan tiada had siling," katanya sambil memaklumkan kira-kira 80 peratus penerima bantuannya adalah golongan dewasa dan daripada golongan B40, susah serta daif.

Berikutan komitmen untuk memberikan sokongan kepada ramai, Farahida berkata, sejak 26 tahun lalu pihaknya melakukan pelbagai cara untuk memastikan dananya stabil.

"Misalnya dari 1995 hingga 2002, pendekatan dana adalah menerusi penganjuran aktiviti amal seperti penganjuran golf, makan malam dan larian serta sumbangan korporat.

"Namun, sejak 2002 bagi memastikan kelangsungan dan kesinambungan kutipan dana, kaedah lain perlu diperluaskan supaya kutipan berkembang.

"Jadi kita menukar strategi iaitu mengalu-alukan sumbangan kecil tetapi berpanjangan, misalnya membuka ruang menderma serendah RM1, RM10 iaitu jumlah tidak membebankan dan berpanjangan," katanya memaklumkan MAKNA kini mempunyai kira-kira 100,000 penderma setiap bulan, selepas 2002) dan setiap penderma berpotensi menderma selama enam tahun.

"Ini sekali gus memperlihatkan kelangsungan dan kesinambungan kutipan dana, yang terus berkembang untuk kita membantu masyarakat dan pesakit menerusi program hingga ke kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak," katanya yang memberitahu MAKNA memiliki empat treler bergerak untuk melaksanakan mamogram digital," katanya.

Berita Harian X