Khamis, 4 March 2021 | 1:02pm
Hasil tanaman anak autisme yang menggunakan kaedah hidroponik di kebun dalam taman dikendalikan NASOM Kuantan.- Foto Asrol Awang
Hasil tanaman anak autisme yang menggunakan kaedah hidroponik di kebun dalam taman dikendalikan NASOM Kuantan.- Foto Asrol Awang

Anak autisme dilatih berkebun

KUANTAN: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Kuantan menyediakan kebun dalam taman serba lengkap sebagai platform melatih lebih 30 golongan autisme di daerah ini mengenai kemahiran hidup.

Justeru, NASOM Kuantan mengambil inisiatif itu untuk membantu golongan itu terbabit mendalami asas pertanian menggunakan kaedah tanaman hidroponik dan aquaponik.

Penasihat NASOM Kuantan, Zuairiyah Mohd Noor, berkata, sejumlah RM140,000 diperuntukkan untuk membina kebun itu yang bukan sahaja menumpukan kepada tanaman sayuran, malah penternakan ikan.

Katanya, pada peringkat awal, ia diusahakan secara kecil-kecilan sebelum penambahbaikan dengan menyediakan kebun yang serba lengkap.

"Aktiviti berkebun yang diperkenalkan lebih kepada terapi untuk kanak-kanak autisme di NASOM Kuantan sebelum diperluaskan sehingga menjana sumber pendapatan.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kebun ini memberi sumber pendapatan kepada NASOM dan anak istimewa di sini sejak diperkenalkan November 2019.

"Anak istimewa ini diberi pendedahan dan kemahiran dalam bidang tanaman melalui kaedah hidroponik dan aquaponik.

Anak istimewa diberi pendedahan dan kemahiran berkebun untuk tingkatkan keyakinan diri.
Anak istimewa diberi pendedahan dan kemahiran berkebun untuk tingkatkan keyakinan diri.

"Ia juga sebagai kemahiran hidup kepada mereka yang boleh melakukan pelbagai bidang termasuk pertanian.

"Kami gembira kerana 34 golongan istimewa berusia antara empat hingga 19 tahun menyertai aktiviti ini teruja apabila diberi peluang menanam sayur dan menternak ikan melalui dua kaedah ini yang memberi kemahiran baharu buat mereka," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya sebagai persediaan mengusahakan kebun berkenaan, 10 guru menghadiri kursus tanaman untuk memastikan kebun diusahakan menjadi realiti.

Setakat ini, antara sayuran yang ditanam ialah sawi, bayam brazil, pegaga, pudina, kesum, rozel, markisa serta ikan tilapia.

"Kami berbesar hati kerana sayur, ulam serta ikan tilapia mendapat permintaan orang luar yang sudi membeli.

"Sebenarnya, tujuan utama ialah untuk memberi kemahiran kepada anak istimewa sebagai terapi, selain mereka boleh menanamnya di rumah.

"Dengan kemahiran ini juga mereka boleh melakukan kerja sekiranya tidak lagi berada di NASOM Kuantan.

"Anak istimewa ini juga membuat sendiri jus dan jem daripada rozel yang ditanam sekali gus memberi pendedahan dan keyakinan kepada mereka.

"Dalam tempoh terdekat, kami bercadang menanam cendawan pula," katanya.

Berita Harian X