Rabu, 17 Ogos 2022 | 6:13pm
Pengasas KLFW, Andrew Tan (dua dari kanan) bersama pemenang pereka fashion pada pembukaan minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 yang berlangsung di Pavillion Kuala Lumpur. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pengasas KLFW, Andrew Tan (dua dari kanan) bersama pemenang pereka fashion pada pembukaan minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 yang berlangsung di Pavillion Kuala Lumpur. - NSTP/Hazreen Mohamad

KLFW bermula hari ini, tampil 40 pereka fesyen tempatan

KUALA LUMPUR: Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) secara fizikal yang dinantikan selepas tertangguh tahun lalu akibat COVID-19, bermula hari ini di Pavilion Kuala Lumpur, di sini.

Acara berprestij yang meraikan ulang tahun ke-10 KLFW itu akan diadakan sehingga Ahad ini dengan menampilkan rekaan fesyen sedia dipakai atau ready to wear (RTW) daripada 40 pereka hebat tempatan.

Acara pembukaan KFLW dimulakan dengan 'The KL 10 Designer Search' dan 'The Perfect 10 Model Search' diikuti persembahan khas oleh Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA).

Acara pertama KFLW 2022 dimulakan dengan persembahan oleh pereka Bent, Zuusaha, Taguwaruwa, Khatreena, Innai Red dan Farah Khan The Melium Group.

Esok acara akan dimulakan dengan persembahan oleh pereka fesyen Andy Bandy, Raw Denim, Dissyco, Maglifestyle, Matin Shaker, Arunsayfull, Romyda_KL, Kit Woo, Atelier Fitton, Phyn Studio, Ezuwan Ismail, Variente, Afiq M, Nelissa Hilman dan Fizowoo.

Acara pada Jumaat akan dimulakan dengan persembahan fesyen oleh Private Stitch, Dickson M, Eversince, Zero To Ten, Glancez, Bev C, Totomi, Ivoncraft X, Syomirizwa, Gupta dan Rizman Ruzaini.

Peragaan koleksi busana pada Sabtu pula dimulakan dengan persembahan fesyen oleh Nerd Unit X, WTP, Villiam Ooi, Hatta Dolmat, Maarimaia, Jimmy Lim, Cassey Gan, Laguna, Sydney dan Alia Bastaman.

Hari terakhir acara dimulakan dengan persembahan fesyen oleh Super Sunday, Behati, Mimpikita dan Nurita Harith.

Tahun lalu, penggemar fesyen hanya berpeluang melihat koleksi fesyen secara dalam talian berikutan kehadiran di pentas peragaan hanya membabitkan kelompok terhad.

Acara dianjurkan sejak 2013, menjadi platform terbaik kepada penggiat fesyen tempatan mengetengahkan seni rekaan masing-masing dan menerusinya juga ramai bakat muda berjaya menembusi fesyen di peringkat antarabangsa.

Masing-masing menonjolkan identiti tersendiri sama ada menerusi koleksi RTW, avant-garde, couture atau athleisure, tampil yakin untuk diperagakan.

Terdahulu, Pengasas KLFW, Andrew Tan, berkata KLFW tahun ini mengetengahkan kempen #iAmMalaysian oleh institusi perbankan, AmBank, pencarian pereka fesyen dan model oleh Samsung, yang seterusnya akan dipersembahkan dalam 'The KL 10 Designer Search' dengan kerjasama jenama fesyen Mimpikita.

Katanya, pihaknya menetapkan tiga paramater iaitu menciptakan minat luar biasa dalam fesyen tempatan, meningkatkan kesedaran RTW adalah tambahan kepada Model Perniagaan 'Made-to-Measure' pereka.

"Seterusnya, dengan rangkaian dan perkongsian KLFW, kita harap ia akan mengekalkan daya maju dan kelestarian peminat industri fesyen.

"Saya bangga kami sudah mencapai kesemua tiga parameter dan kini meraikan ulang tahun ke-10 serta merealisasikan impian acara fesyen yang menakjubkan," katanya.

Turut diadakan sepanjang KLFW adalah peraduan 'Doodle' oleh Vespa Malaysia yang akan memeriahkan lagi acara itu, di samping Poh Kong yang bekerjasama dengan Jimmy Liml; Super Sunday dan Moccona Coffee bergandingan dengan Khatreena serta usaha sama AirAsia Academy.

KLFW kali ini akan ditaja Pavilion KL, AmBank, Samsung, Vespa, Isuzu, Poh Kong, Moccona Coffee dan TIMEdotCom.

Ia juga akan disokong AirAsia, Brandavision, Shu Uemura, Oribe/Miko, Nobel dan lain-lain lagi.

Berita Harian X