Rabu, 11 March 2015 | 5:43pm

Apple Watch lubuk rezeki baharu pembangun aplikasi

NEW YORK: Pembangun perisian mengakui berhadapan laluan sukar untuk membangunkan 'aplikasi terhebat' bagi Apple Watch keluaran Apple Inc, tambahan pula tidak ramai yang sudah melihat peranti itu dan perisiannya pula masih dalam peringkat uji guna.

Walaupun pengeluar aplikasi teruja membangunkan aplikasi untuk Apple Watch, ramai antara mereka yang ragu dapat mencetuskan idea terhebat untuk komputer kecil di lengan itu yang akan dilancarkan pada 24 April ini, kata Markiyan Matsekh, pengurus produk di firma kejuruteraan perisian, Eleks.

Aplikasi terhebat atau 'killer app' sehingga menarik perhatian pengguna adalah kunci kejayaan Apple Watch, peranti komputer boleh dipakai terbaharu diperkenalkan sekali gus boleh melahirkan beberapa syarikat baharu seperti yang terjadi daripada iPhone.

Aplikasi kongsi gambar, Instagram umpamanya menjadi perniagaan bernilai AS$1 bilion ketika dibeli Facebook Inc manakala Snapchat sudah berkembang daripada aplikasi mesej mudah alih kepada sebuah syarikat bernilai AS$19 bilion.

Apple menyekat beberapa ciri seperti 'gyroscope' dan 'accelerometer' dalam kit pembangun dan simulator jam itu tidak dapat menguji semua fungsi, kata para pembangun aplikasi. Apple tidak mengulas kenapa pembangun tidak dapat akses beberapa ciri tertentu berkenaan.

"Mengehadkan akses ini tidak begitu menggalakkan," kata Matsekh yang membantu membangunkan aplikasi Jam untuk mengawal Tesla Model S tanpa pembabitan langsung daripada pengeluar kereta elektrik itu.

Bagaimanapun, pereka aplikasi Mark Rabo pula berpendapat Apple menggalakkan kreativiti menerusi sekatan tertentu berkenaan.

Apple pada pelancaran Apple Watch awal pagi semalam mengumumkan lebih 40 aplikasi tersedia dan 'beribu' lagi sedang dibangunkan. - Foto AP
Apple pada pelancaran Apple Watch awal pagi semalam mengumumkan lebih 40 aplikasi tersedia dan 'beribu' lagi sedang dibangunkan. - Foto AP

"Cabarannya adalah bukannya membuat aplikasi telefon dan memuatkannya ke dalam jam," katanya sambil menambah Rabo sedang membangunkan aplikasi dipanggil 'Revere' yang memadankan nota dengan kalendar. Apple Watch akan sedar pemakainya sedang berjalan memasuki sebuah mesyuarat dan mengeluarkan isyarat berserta nota dan maklumat yang disediakan lebih awal pemakainya.

Apple pada pelancaran Apple Watch awal pagi semalam mengumumkan lebih 40 aplikasi tersedia dan 'beribu' lagi sedang dibangunkan.

Aplikasi Watch yang diumumkan Apple setakat ini adalah lanjutan daripada beberapa servis sedia ada termasuk Uber, American Airlines dan Twitter.

Apple Watch adalah perkara besar terbaru syarikat itu selepas iPad. Peranti itu akan ditawarkan di sembilan negara AS, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun dan United Kingdom mulai 24 April ini pada harga dari AS$349 (RM1,273) manakala varian dengan kemasan emas pada AS$10,000 (RM36,468) seunit.

"Apple Watch adalah peranti paling peribadi pernah dikeluarkan syarikat itu," kata Tim Cook, pada pelancaran peranti itu di San Francisco.

Disambungkan secara langsung dengan iPhone pemiliknya, jam itu direka sebagai peranti untuk mesej dari lengan, menguruskan panggilan dan pelbagai aplikasi istimewa terutama untuk mereka yang aktif menjaga kesihatan dan kecergasan.

Pada majlis Spring Forward awal pagi semalam, Apple memperkenalkan laptop baharu Macbook Retina 12-inci dan Apple Watch.

Apple membuat rekaan semula Macbook 12 Retina dengan papan induk yang tidak perlukan kipas untuk penyejukan, sekali gus peranti itu mempunyai lebih ruang untuk bateri. Dengan itu, Macbook 12 Retina hanya setebal 13.1mm dan berat kurang 1 kilogram.

Apple turut mengumumkan penurunan harga peranti media, Apple TV kepada AS$69. Rakyat Malaysia boleh mendapatkan Apple TV terus dari stor Apple dengan harga baharu, RM279 berbanding RM349 sebelum ini.

Berita Harian X