X
Rabu, 4 Ogos 2021 | 9:07am

'Hidupkan pagi' bersama TV3 bermula 1 Ogos

BERMULA 1 Ogos lalu, saluran TV3 menampilkan program baharu yang lebih segar menerusi slot pagi dengan tagline 'Hidupkan Pagi'.

Perubahan yang telah dilakukan adalah bagi mengukuhkan lagi kandungan program yang pasti dapat menceriakan hari anda dengan semangat yang lebih positif!

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof, berkata strategi penjadualan baharu ini bermula pada 1 Ogos lalu, dengan mengukuhkan slot waktu pagi untuk memberi kepuasan kepada penonton setia kami.

"Menerusi TV3, ada beberapa program yang disingkatkan waktu siaran supaya ia menjadi lebih padat di samping penampilan selebriti berbakat besar seperti Nabila Huda, Sissy Imann dan Amyra Rosli sebagai hos program TV3,"katanya.

Mulakan rutin harian anda dengan program ilmiah, Tanyalah Ustaz yang disiarkan pada setiap hari, jam 6.30 pagi.

Seterusnya, berita terkini dalam Buletin Pagi yang akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi dan bersiaran pada hari Sabtu dan Ahad, jam 9.30 pagi.

Slot Cempaka yang menyiarkan seleksi drama bersiri popular akan menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 8.00 pagi.

Drama bersiri pertama yang mengisi slot Cempaka ialah 'Lelakimu Yang Dulu' lakonan Sharnaaz Ahmad, Nelydia Senrose, Redza Rosli dan Reen Rahim.

Perubahan waktu siaran

Tidak ketinggalan, program bual bicara popular iaitu Malaysia Hari Ini dan Borak Kopitiam terus komited dalam berkongsi info menarik, isu semasa serta topik yang berkait rapat dengan soal kepentingan masyarakat.

Sementara itu, Malaysia Hari Ini mulai 2 Ogos akan bertukar waktu siaran jam 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Bagi program Borak Kopitiam pula akan bersiaran setiap hari Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 pagi hingga 9.30 pagi.

Program Muzik Muzik pula akan ditukar waktu siaran pada hari Ahad, jam 11.30 pagi yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sissy Imann.

Tentunya keletah kedua-dua hos ini menceriakan pagi anda dan sama-sama kita mengikuti Carta Mingguan Muzik Muzik untuk mengetahui kedudukan terkini lagu yang dicalonkan.

Antara yang paling ditunggu penonton setia TV3 pastilah program sensasi Melodi yang akan menampilkan Nabila Huda selaku hos terbaharu bermula Ogos ini dengan waktu siaran baharu iaitu jam 12.30 tengah hari selama satu jam.

Beliau mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang seni dan pernah menyandang Pelakon Wanita Terbaik di beberapa anugerah yang berprestij.

Akhir sekali, Amyra Rosli, pelakon wanita yang popular dengan drama bersiri Nur, Sang Pewaris dan Sabarlah Duhai Hati akan menggalas tugas sebagai hos program Nona mulai 8 Ogos 2021 pada jam 2.00 petang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi TV3 Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter.

Berita Harian X