KUALA LUMPUR: Sharifah Sakinah mengaku kehadiran anak perempuan sulungnya, Anais Adha, sejak akhir Mei lalu mengubah karakter dirinya yang kini tidak lagi seaktif dulu.
Biarpun mendakwa dirinya masih 'gila-gila', Sakinah memberitahu, hidupnya sekarang tertumpu kepada anak.
"Saya rasa mungkin diri ini sudah tidak lagi 'hyper' macam dulu. Iyalah, seluruh tenaga diserahkan kepada anak. Tapi itu tak bererti sikap saya seperti yang orang tahu dulu sudah tiada. Saya masih 'gila-gila'.
"Namun, saya harap jadi hyper dan aktif semula kerana akan menjalani penggambaran drama Girlfriend Dari Neraka musim kedua, bulan depan," katanya yang memberi susu badan dan formula untuk anak tersayang.
Kehadiran Anais yang menjadi cucu ke-17 dalam keluarga turut membahagiakan ibu dan bapa mentua termasuk suaminya, Aliff Adha.
"Suami yang bekerja sebagai juruterbangpun sampai berseloroh tak mahu 'terbang' kerana nak habiskan masa dengan anak. Kalau dengan anak, telefon bimbitpun dia abaikan. Tak macam saya, tetap aktif di laman sosial dan tak berenggang dengan telefon bimbit," katanya.
Mengenai anak, adik kepada Sharifah Shahirah dan Sharifah Haslinda itu mengakui anaknya sangat aktif.
"Bayangkan baru saja lahir beberapa hari dia sudah boleh meniarap. Tulangnya memang kuat. Ia mungkin kerana faktor pemakanan yang saya jaga ketika hamil.
"Anak sayapun 'melayan' sikap 'gila-gila' saya apabila ketawa setiap kali saya membuat lucu," katanya.
Bakal habis pantang tak lama lagi, Sakinah akan ke lokasi penggambaran filem Lekir di Melaka, sebelum projek Girlfriend Dari Neraka musim kedua bermula.
"Saya akan memegang watak wanita dari Indonesia," katanya.
Sakinah dan Aliff berkahwin pada 28 Mac 2015.