Selasa, 2 Mei 2017 | 1:18pm

Berbaloi gunting rambut - Fasha Sandha

Fasha Sandha. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Fasha Sandha. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Babak gunting rambut yang ditonton hampir 700,000 pengikut Instagram membuktikan aktres jelita, Fasha Sandha masih berbisa.

Aksi dipetik daripada filem Badang yang masih dalam pembikinan, membuktikan pengorbanan Fasha memotong rambut, berbaloi.

Berkongsi pengalamannya, Fasha memberitahu, dia sepatutnya membotakkan kepala untuk memenuhi tuntutan watak.

"Namun, pihak pengurusan tidak benarkan kerana ia membabitkan soal sensitiviti masyarakat.

"Jadi, saya hanya memotong rambut pendek untuk keperluan watak berkenaan," katanya kepada BH Online.

Dalam adegan itu, Fasha yang menghidupkan watak Tisha iaitu isteri Badang, dianiaya abang kandung, Tai lakonan Fauzi Nawawi.

Tisha didera dengan kejam apabila dipukul, direntap dan dipotong sebahagian rambutnya oleh Tai.

Aksi itu dimuat naik Fasha yang berstatus ibu tunggal dengan dua anak, di laman Instagram, baru-baru ini hingga mendapat perhatian netizen.

Berita Harian X