Jumaat, 9 September 2016 | 5:52pm

Altimet jayakan program amal bantu pesakit kanser lelaki

 PENYANYI, Altimet pada Showcase Muzik-Muzik 31 di Hard Rock Cafe. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Altimet pada Showcase Muzik-Muzik 31 di Hard Rock Cafe. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi rap terkenal, Altimet, bakal menyerikan program amal, Over Ride Cancer, yang diadakan dengan matlamat memungut dana bagi membantu pesakit kanser lelaki.

Selain penyanyi yang juga pasangan duet Awi Rafael menerusi lagu Kalau Aku Kaya itu, program anjuran SueGros Barber berkenaan turut menampilkan penyanyi daripada Hikayat Record, Sue dan Aqil, serta pemuzik jalanan, Tam & D'Geng.

Mengulas penganjuran acara itu, penganjur, Mazwim Md Merezukhi, berkata konsep yang diketengahkan lebih kepada berhibur sambil beramal.

"Selain berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan, pengunjung yang hadir ke acara itu akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis jemputan. Pengunjung juga akan didedahkan dengan kesedaran mengenai kanser yang sering menyerang penyakit lelaki seperti kanser prostat oleh wakil daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

"Kami memilih untuk membantu pesakit kanser lelaki kerana aktiviti mencari bantuan untuk golongan penghidap kanser wanita sudah banyak diadakan sebelum ini," katanya kepada BH Online.

Kata Mazwim, idea dan inspirasi bagi membantu pesakit lelaki itu juga diperoleh daripada kumpulan penunggang bermotosikal berkuasa tinggi, naked13, yang melakukan perkara sama di Australia.

Over Ride Cancer bakal berlangsung di The Port, Bandar Utama, Petaling Jaya, malam esok (10 September) pada jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Berita Harian X