Jumaat, 1 Julai 2016 | 4:33pm

AIM 22 perkenal lima kategori baharu

Pengurus Besar Parkroyal Kuala Lumpur, Mark Losi (kanan), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim (dua kanan), Pengerusi SNA Wellness, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dan Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim (kiri) di Majlis Iftar dan sidang media pengumuman Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22). - Foto Zunnur Al Shafiq
Pengurus Besar Parkroyal Kuala Lumpur, Mark Losi (kanan), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim (dua kanan), Pengerusi SNA Wellness, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dan Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim (kiri) di Majlis Iftar dan sidang media pengumuman Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22). - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik (AIM) memperkenalkan lima kategori baharu dalam penganjuran edisi ke-22 yang bakal diadakan pada 11 Disember nanti.

Lima kategori itu ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube, Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Malaysia Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Rosmin Hashim, berkata penambahan membabitkan empat kategori dengan bersandarkan jualan, manakala Penyanyi Malaysia Terbaik dibuka untuk penjurian awam.

"Seiring kematangan majlis pengiktirafan kepada karyawan seni muzik ini, kami mahu ia lebih dekat dengan masyarakat terutama menerusi pemilihan penyanyi tempatan selain mengambil kira prestasi jualan dalam empat kategori lain.

"Secara tidak langsung pengenalan kategori baharu ini memberi pengiktirafan kepada syarikat rakaman dan mereka yang berada di belakang tabir dalam meneruskan legasi menghidupkan industri muzik negara.

"Menerusi tema Kemuncak Segala-galanya, AIM yang mula direalisasikan sejak 1993 terus memacu kegemilangan dan menjadi saksi kegigihan penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan mereka yang menghasilkan sesebuah karya," katanya.

Bagi edisi ke-22 berkenaan, sebanyak 24 kategori dipertandingkan, namun melihat kepada kesesuaian semasa, kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara digugurkan.

"Selepas perincian, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur sebulat suara menggugurkan kategori itu untuk memberi tumpuan terhadap pengiktirafan penyanyi tempatan," kata Rosmin.

Katanya, penyanyi yang disenaraikan dalam lima pencalonan terbaik untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu, sama ada lelaki atau wanita, pula layak bertanding bagi kategori Penyanyi Malaysia Terbaik.

Sementara itu, berdasarkan syarat pencalonan, lagu atau album Bahasa Malaysia dan Inggeris yang bertanding perlu diterbitkan di Malaysia dari 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016.

Tempoh pencalonan dibuka bermula 29 Jun hingga 29 Julai 2016, manakala borang pencalonan diedarkan kepada ahli RIM selain boleh dimuat turun menerusi www.aim.org.my.

AIM ke-22 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Berita Harian X