Ahad, 19 Jun 2016 | 4:58pm

Izreen raya dengan lebih 20 pasang baju

PELAKON Izreen Azminda pada majlis pelancaran koleksi terbaru Mek Kembang Cotton. - Foto Rohanis Abdul Shukri
PELAKON Izreen Azminda pada majlis pelancaran koleksi terbaru Mek Kembang Cotton. - Foto Rohanis Abdul Shukri

KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda, memberikan tumpuan kepada anak tunggal tersayang, Adrian Umar, dalam membuat persiapan menyambut Lebaran.

Kali kedua berpuasa dan meraikan Aidilfitri sebagai ibu tunggal, Izreen mengaku permata hatinya itu lebih diutamakan apabila tiba hari mulia.

Begitupun, persiapan diri sendiri tidak kurang hebat apabila bercerita mengenai sambutan 1 Syawal kerana wanita cantik ini mempunyai lebih 20 helai baju raya untuk digayakan.

Katanya, dia tidak perlu pening kepala memikirkan soal berkenaan kerana sebagai duta kepada Mek Kembang Cotton, pakaiannya sering kali ditaja jenama fesyen terbabit.

"Setiap baju yang dihasilkan untuk saya, termasuk pakaian yang ditaja bagi penggambaran drama, telefilem atau menghadiri acara akan diberi terus kepada saya.

"Jadi, saya agak beruntung kerana tidak perlu bersusah payah mencari atau menempah baju raya. Inilah yang dikatakan rezeki," katanya.

Sementara itu, Izreen berkata, bergelar ibu tunggal bukan lagi menjadi tekanan buat dirinya. Selain gembira dan selesa hidup bersendirian, dia juga enggan lagi memikirkan sejarah silam.

"Saya tidak lagi sedih atau sunyi selepas hidup sendirian tanpa suami. Umpamanya, saya kini kembali kepada zaman anak dara. Bezanya, saya sekarang mempunyai anak selain memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepadanya," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa tahun ini pula, Izreen memberitahu, ada masanya dia berbuka bersama keluarga.

"Bagaimanapun, ibu saya kebiasaannya gemar berbuka di masjid. Jadi, saya makan saja bersama anak atau mengajak kawan turut serta. Selain memasak sendiri, ada kalanya kami makan di luar saja," katanya yang sempat juga berbuka puasa bersama rakan pelakon lain di lokasi penggambaran.

Di samping melunaskan penggambaran telefilem Kak Marr Raya di Perlis, Izreen juga ketika ini terikat dengan jadual penggambaran drama Mamat Muka Selenga, bersama Azrel Ismail.

Berita Harian X