KUALA LUMPUR: Walaupun beberapa kali memenangi trofi pada anugerah komedi, Sharifah Sakinah tetap lebih selesa untuk mengkelaskan dirinya hanya sebagai pelakon.
Menurut artis wanita ini, beliau ialah pelakon yang cuba menggalas apa saja bentuk lakonan diserahkan kepadanya dengan sebaik mungkin.
Pelakon ini pernah memenangi trofi Artis Lawak Wanita Paling Popular, Anugerah Lawak Warna 2014 dan 2015. Terbaharu, beliau dicalonkan dalam kategori Artis Lawak Meletop, Anugerah Meletop Era 2016.
Pada acara sama, beliau dan suami, Aliff Adha, dicalonkan dalam kategori Couple Meletop.
"Memang saya bukan pelawak atau pelakon komedi. Saya sebaliknya hadir atas tiket sebagai pelakon. Kalau diberikan watak lawak, saya akan cuba jadi pelawak dan kalau perlu watak menangis pula, saya akan buat sehabis baik.
"Cuma, apabila saya berlakon komedi, akan ada yang melabel saya sebagai pelakon lawak. Sedangkan, daripada skrip dan keupayaan membuat adlib, saya akan cuba mewarnakan apa saja watak, tidak kiralah apa genrenya sekalipun.
"Ketika berlakon, jika keutamaan saya adalah untuk membuat orang ketawa, maka saya akan cuba serap roh lawak itu. Bagaimanapun yang peliknya, kalau saya dicampak ke atas pentas, saya memang tak boleh berlawak secara spontan. Saya hanya jadi lawak apabila berlakon," katanya ketika ditemui pada majlis persandingan pelakon, Nad Zainal, di Bukit Jelutong, kelmarin.
Sakinah bagaimanapun tetap bersyukur apabila orang ramai berpendapat dirinya melucukan sehingga dicalonkan dalam kategori komedi.
"Saya anggap semua itu sebagai bonus. Terima kasih di atas pencalonan awal ini. Selain anugerah berpaksikan lawak, saya juga seperti pelakon lain yang teringin dicalonkan dalam kategori lakonan serius. Apa yang penting, tawaran berlakon untuk saya ketika ini tidak pernah putus," katanya yang sedang melunaskan baki penggambaran drama Isteri Vs Tunang di samping Scha Alyahya dan Hisyam Hamid.