Ahad, 14 Jun 2015 | 1:48pm

Telefilem 'Travelling Beruang' jadi kempen kanser

UNGKU Ismail Aziz membintangi telefilem Travelling Beruang.
UNGKU Ismail Aziz membintangi telefilem Travelling Beruang.

KUALA LUMPUR: Daripada sebuah telefilem, Travelling Beruang kini menjadi kempen besar dan bermakna. Ungku Ismail Aziz yang memegang watak seorang ayah yang mahu menunaikan impian seorang kanak-kanak penghidap kanser, mendapat ilham untuk membawa jenama itu ke peringkat lebih jauh.

Pertemuan Ungku Ismail dengan penghidap kanser, adik Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) menyemarakkan lagi semangat hero drama bersiri slot Akasia, Teman Lelaki Upahan itu untuk membuat sesuatu yang lebih bermakna.

Lantas Kempen Travelling Beruang diwujudkan sempena telefilem itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak. Pelakon itu memulakan inisiatifnya secara kecil-kecilan dengan berkongsi maklumat menerusi Instagram (@ungkuismailaziz) serta meminta pengikut Instagram bergambar mengenakan topeng muka yang sering dipakai pesakit kanser untuk tujuan kebersihan.

Siapa sangka inisiatif itu menarik minat TV3 hingga mengatur temubual dengannya menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) bertarikh 25 Mei yang lalu dan berjaya menarik keprihatinan badan korporat dalam merealisasikan kempen ini.

"Kami tersentuh apabila Ungku Ismail yang pada mulanya diberikan watak dalam telefilem TV3 berjudul Travelling Beruang membuka hatinya dalam memulakan inisiatif ini. Niat ikhlasnya membuatkan kami terpanggil untuk memainkan peranan. Kami mula mengadakan perbincangan untuk membawa kempen ini kepada skala yang besar.

"Alhamdulillah AirAsia dan Altel turut berminat menjayakan kempen ini," kata Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin.

Kempen Travelling Beruang bertujuan memberi kesedaran mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak dan secara tidak langsung mengutip dana untuk pesakit seperti adik Mime serta ramai lagi kanak-kanak yang yang menghidapi penyakit kanser di Malaysia.

"Kami di AirAsia serta rakan kerja di Tune Insurance amat berbesar hati menjadi sebahagian penaja utama projek Travelling Beruang. Adalah besar harapan kami untuk melihat kempen ini berjaya dan seterusnya membantu kanak-kanak yang menghidap kanser. Kami juga tidak sabar untuk menerbangkan Ungku Ismail Aziz dan krew produksi ke tujuh buah destinasi dalam rangkaian kami.

"AirAsia juga akan menjual replika patung Travelling Beruang di dalam pesawat, yang mana hasil kutipan dana akan disalurkan ke tabung Traveling Beruang untuk membantu kanak-kanak yang menghidap kanser," Kata Spencer Lee, Ketua Komersil AirAsia.

Menerusi kempen itu yang akan berlangsung bermula bulan ini, Ungku Ismail akan mengembara ke tujuh buah destinasi bersama patung beruang yang pernah dihadiahkan kepada adik Mime. Memahami keadaan adik Mime, patung beruang itu bakal menjadi simbol harapan.

Patung Travelling Beruang itu dijangka di bawa ketujuh destinasi seperti Perth (Australia), Lombok (Indonesia), Siam Reap (Kemboja), Chongqing (China), Ho Chi Minh (Vietnam). Perjalanan penuh inspirasi itu akan dikemaskini di laman rasmi Travelling Beruang serta kapsul ringkas menerusi TV3.

Kempen itu yang akan berlangsung sepanjang tahun ini turut mengharapkan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia malah dunia menerusi sebuah tabung khas. Tabung yang dinamakan Travelling Beruang MAKNA akan mengutip dana buat keperluan kanak-kanak penghidap kanser di Malaysia, dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Tabung Travelling Beruang MAKNA di akaun 5140 7561 6705 (Maybank). Maklumat lanjut boleh didapati di laman website rasmi www.travellingberuang.com.my.

Berita Harian X