Khamis, 7 Mei 2015 | 2:26pm

M Nasir bakal gegar empat konsert solo

M Nasir berjaya mengolah imej serta kerjaya seninya ke suatu tahap yang dikagumi serta dihormati ramai. - Foto Kamarulzaman Ariffin
M Nasir berjaya mengolah imej serta kerjaya seninya ke suatu tahap yang dikagumi serta dihormati ramai. - Foto Kamarulzaman Ariffin

KUALA LUMPUR: Hampir menjangkau empat dekad perjuangan seninya, Datuk M Nasir masih utuh di liganya yang tersendiri.

Malah seakan tidak nampak insan yang digelar 'sifu' ini untuk menoktahkan perjalanan seninya begitu sahaja.

Keseimbangan berkarya dan populariti saling lengkap melengkapi.

M Nasir berjaya mengolah imej serta kerjaya seninya ke suatu tahap yang dikagumi serta dihormati ramai.

Ia menjadi satu penanda aras bagi semua generasi dan mungkin tidak keterlaluan kalau beliau dianggap hero muzik yang hebat.

Malah kembara seninya hingga saat ini masih terus berjalan. Sekilas pandang beliau seperti dilihat sudah mencapai banyak kejayaan di dalam karier seni, keluarga, individu dan perniagaan, M Nasir masih gah.

Tahun ini M Nasir sekali lagi meneruskan pengembaraannya. Peminatnya di luar Kuala Lumpur menjadi sasaran.

Menemui dan mendekati mereka yang telah menyokong beliau sekian lama, sekali gus mendekati mereka yang kerap mengikuti perkembangan beliau yang selama ini hanya melalui kaca tv, radio mahupun akhbar serta majalah dan yang terkini di laman media sosial.

M Nasir bakal muncul dengan konsert solo terbaharunya di empat lokasi berbeza tahun ini. FIRST oleh CELCOM akan mempersembahkan kepada peminat konsert hebat ini mewakili Zon Timur, Selatan, Utara dan Sentral.

Bandar Kuantan, Pasir Gudang, Pulau Pinang dam Shah Alam bakal menerima 'aura sifu' penyanyi serta komposer agam tanah air ini.

Konsert pertamanya akan bermula 23 Mei ini di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Diikuti 13 Jun di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor Darul Takzim, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan 7 November melabuhkan tirai konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

M Nasir tidak berseorangan di dalam pengembaraannya ini kerana kumpulan Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati turut akan menemani beberapa siri konsert yang dijadualkan sebagai pembuka konsert berkenaan.

Tiket dijual bermula dari harga RM65 hingga RM155.

Rebutlah peluang awal membeli segera tiket konsert melalui atas talian mulai di www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600 atau 019-211 1600 (Zul).

Sebuah karnival juga diatur di perkarangan luar stadium setiap lokasi bermula 10 pagi hingga malam pada hari konsert diadakan.

Luncai Emas turut mengadakan pencarian bakat penyanyi baru untuk menjadi pelapis artis rakamannya pada masa hadapan dengan jenama pencarian 'LETS NYANYI'.

Gerai jualan cenderahati selebriti, pameran produk baharu penaja, gerai lukisan serta beberapa gerai lagi turut disediakan.

LETS NYANYI mempelawa anak muda berusia 16 hingga 25 tahun yang mahu menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman M Nasir dan bolehlah mendaftar dan hadir seawal 10 pagi di karnival konsert nanti.

Celcom bakal memberikan layanan ekslusif dan istimewa pada hari konsert seperti beberapa pas VIP kepada pelanggan dan pada masa sama pelanggan First dan peminat yang bertuah juga dapat menikmati kemudahan yang eksklusif dan bersantai sebelum konsert bermula.

Berita Harian X