Jumaat, 26 September 2014 | 9:57pm

Sofia Jane mahu tanding jawatan Presiden Seniman

Datin Sofia Jane
Datin Sofia Jane

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Datin Sofia Jane bersedia untuk memimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sekiranya diberi mandat dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 persatuan itu yang akan diadakan esok. Sofia, 42, berkata kesediaannya untuk bertanding adalah kerana mahu menjadikan Seniman sebagai persatuan yang mampu menjadi pakar rujuk serta melindungi kepentingan ahli-ahlinya.

"Untuk menjadikan pelakon kita dipandang profesional, kita seharusnya mempunyai sebuah persatuan yang dikendali secara profesional. Ketika ini masalah utama yang kami hadapi adalah dari segi hak sebagai pelakon.

"Masalah bayaran lewat, keperluan insuran, rujukan dari segi kontrak dan pelbagai lagi. Kita memerlukan sebuah persatuan yang dapat menyediakan khidmat nasihat serta rujukan supaya lebih," katanya kepada BH Online.Dengan kesediaannya untuk bertanding itu, ini bermakna kerusi presiden Seniman bakal menyaksikan perebutan tiga calon dan bukannya saingan dua penjuru seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Pelakon yang terkenal dengan watak Zaleha menerusi filem Perempuan, Isteri dan ... itu bakal berdepan dengan calon lain iaitu Datuk Mustapha Maarof dan Zed Zaidi.

"Saya sebenarnya tidak begitu gemar dengan perkataan bertanding. Lagipun bukannya saya mengejar jawatan Presiden. Diberi peluang untuk berada dalam senarai kepimpinan Seniman sudah memadai kerana siapapun yang terpilih pastikan agenda utamanya iaitu mahu melihat Seniman sebagai sebuah persatuan profesional dan berwibawa dapat dicapai," katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 yang akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ampang esok adalah aktiviti pertama selepas setahun lumpuh tanpa sebarang perancangan dan aktiviti.

Berita Harian X