Rabu, 10 Ogos 2016 | 5:42am
KERATAN akhbar BH.
KERATAN akhbar BH.

Pelarian Syria kesal tinggalkan tanah air

SEBAHAGIAN khemah Syria pelarian di pelabuhan Piraues. - Foto www.tovima.gr
SEBAHAGIAN khemah Syria pelarian di pelabuhan Piraues. - Foto www.tovima.gr

Jika Mustafa tahu lebih awal keadaan sebenar hidup di khemah pelarian di ibu kota Greece, Athens, dia mengaku tidak akan sekali-kali tinggalkan tanah ainya, Syria. Mustafa kini amat kesal dengan keputusannya meninggalkan kota Aleppo, empat bulan selepas tinggal dalam khemah berlubang dekat pelabuhan Piraeus, menunggu permohonan suakanya diproses.

"Mana-mana tempat lain (lebih baik daripada di sini). Tentu lebih bagus lagi," katanya sambil menitiskan air mata. Pada usia 38 tahun, Mustafa kelihatan lebih tua, seperti juga keadaan pemohon suaka lain. Begitu juga dengan isterinya, Nadia, 37, yang berada di sebelahnya, berpeluh dalam khemah kecil mereka ketika suhu mencapai lebih 35 darjah Celsius.

Pasangan itu meninggalkan kebanyakan anggota keluarga di Syria kecuali ibu bapa Mustafa yang berjaya sampai ke sebuah khemah pelarian di Turki.

"Kami tidak fikir akan berada di sini begitu lama, tetapi sehingga ini kami belum lagi ditemuramah (mengenai permohonan suaka). Sudah berkali-kali pihak berkuasa di sini menangguhkannya.

"Jika keadaan ini berlarutan, kami akan berada di sini bertahun-tahun. Ada kalanya saya fikir mahu menarik tangan isteri untuk sama-sama lemas," kata Mustafa kepada Yayasan Thomson Reuters. Sejak 2015, Greece menjadi pintu masuk ke Eropah bagi pelarian dan penghijrah yang lari dari medan konflik dan kemiskinan di Asia Barat dan kawasan lebih jauh lagi.

Satu perjanjian di antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Turki membantu memperlahan aliran masuk pemohon suaka yang melintas masuk dari kepulauan Greece. Cuma, di sebalik kawalan keselamatan, ramai lagi terus datang. Lebih 16,000 orang tiba di Greece dengan menyeberangi Mediterraneum setakat tahun ini dengan hampir 500,000 adalah dari Syria, menurut agensi pelarian PBB, UNHCR. Majoriti daripada yang baru tiba juga memohon suaka EU.

Perlu jalani pemeriksaan EASO

Untuk diberi suaka, mereka perlu menjalani pemeriksaan ketat Pejabat Sokongan Suaka Eropah (EASO). Ini membabitkan sekurang-kurangnya dua wawancara di Greece, membabitkan tempoh beberapa minggu atau bulan sebelum dua lagi wawancara tambahan di negara penerima.

"Jika anda bernasib baik, anda mungkin di Greece selama tiga bulan, jika tidak mungkin lebih lama," kata Iota Peristeri yang bertugas di pejabat perkhidmatan suaka Greece, kerana keseluruhan proses boleh ambil masa bertahun-tahun.

Bagi mereka yang tiba selepas perjanjian EU-Turki pada Mac lalu, tempoh menunggu mungkin lebih lama kerana negara EU semakin berhati-hati dalam pemberian suaka.

"Proses penempatan semula agak perlahan. Saya fikir keadaan lebih baik di Syria," kata Maha, 38, yang meninggalkan Aleppo bersama tiga anaknya pada Februari lalu selepas suaminya meninggal dunia kerana sakit jantung.

Maha menghabiskan masa di dua khemah pelarian - di sebelah sempadan Greece-Macedonia dan dekat pelabuhan Piraeus - sebelum tinggal di khemah Eleonas, Athens, yang didiami 1,500 pelarian. Mereka belum lagi diwawancara meskipun sudah berdaftar sebagai pelarian dengan EASO pada Mac lalu.

"Keadaan paling sukar di sini setakat ini. Saya mahu mereka percepatkannya atau hantar kami pulang. Makanan di sini tidak sesuai dengan kami tetapi kami tiada pilihan. Ramai kesal ada di sini dan ramai diseludup ke Turki," katanya.

Sekalipun ramai pelarian seperti Maha berada di khemah pelarian rasmi, majoriti pelarian terpaksa tidur di tepi jalan Athens sementara menunggu permohonan diproses.

Jika diterima, pemohon akan ditempatkan di sebuah rumah sebelum dihantar ke kediaman baru seperti dialami Muhammad, 24, dari Damsyik.

"...sekarang kediaman untuk pelarian semakin kurang. Itulah sebabnya ramai tidur di tepi jalan," katanya.

Apabila pemohon suaka tiba di pulau Samos atau Lesbos, Greece, mereka perlu bayar naik feri ke Athens, perjalanan yang agak mahal selepas menghabiskan wang simpanan untuk ke Eropah.

Apabila tiba, pelarian mendapati kediaman tidak diberikan sekalipun ia sepatutnya disediakan. Nama Abdullah, 28, dan tiga anaknya dari Damsyik tidak mampu membayar 178 euro (RM795) untuk ke Athens tetapi mendapat bantuan daripada pelarian lain untuk ke sana. Setibanya di Athens, mereka tidak diberi penginapan.

Tak mampu sewa bilik hotel

"Saya tidak mampu menyewa bilik hotel untuk bermalam dan semua khemah pelarian di Athens menolak kami. Tiada siapa membantu termasuk sukarelawan," kata Nama.

Nama dan tiga anaknya menghabiskan dua malam di Athens. Dalam masa itu dia mengumpul wang untuk kembali ke Lesbos dengan bantuan pelarian lain. Cuma, dia perlu kembali semula ke Athens untuk ditemuramah pada 9 September depan.

"Ramai yang berada dalam keadaan terdesak di sini hingga sanggup lakukan apa sahaja," kata Safi, bekas kakitangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bertugas sebagai penterjemah.

"Semua orang di sini berada dalam kemurungan, termasuk saya. Tiada siapa rasa gembira. Ada rakan saya yang kata mahu pulang untuk menyertai al-Qaeda atau kumpulan lebih ganas kerana mereka rasa seperti tiada pilihan lain. Kamu nak tahu apa saya rasa? Saya tidak salahkan mereka."

Penulis adalah wartawan agensi berita Reuters

Berita Harian X