Rabu, 9 Disember 2015 | 1:45pm

Teks Ucapan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan ucapan pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan ucapan pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

"WANITA TUNGGAK PENYATU UMNO"

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadarat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabat Baginda.

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato' Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed,

Yang Berhormat Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi,

Yang Berhormat Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun,

Barisan Pegawai-Pegawai, Ahli-ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,

Para perwakilan yang saya kasihi,

Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, veteran-veteran Wanita UMNO, anak-anak Nadi Negara, para pemerhati yang berada di dalam dan di luar dewan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

PEMBUKA BICARA

Bukan kacang sebarang kacang,

Kacang melilit di pohon kayu,

Bukan datang sebarang datang,

Datang demi parti yang satu.

Alhamdulillah dengan Izin dan rahmatNYA, kita dipertemukan semula di Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tahun 2015 dalam suasana penuh permuafakatan demi menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO.

Bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 983 orang perwakilan wanita dari 191 bahagian seluruh negara ke perhimpunan ini. Jangan lupa kehadiran puan-puan hari ini mewakili 1,339,268 (satu juta tiga ratus tiga puluh sembilan dan dua ratus enam puluh lapan ribu) ahli Wanita UMNO dengan membawa mesej dan harapan dari peringkat akar umbi.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

Kita mesti menerima hakikat bahawa dunia ini baharu, tiada siapa yang kekal melainkan ALLAH SWT yang Maha Esa. Saat demi saat keadaan sentiasa berubah, apatah lagi kita dalam arena politik. Perubahan itu datang dengan pelbagai rupa. Kadangkala kita yang membawa perubahan, dan ada kalanya kita terpaksa menerima perubahan. Yang pentingnya sebagai pemimpin UMNO apa jua perubahan yang kita pelopori maupun yang terpaksa kita lalui, mesti berpaksikan perjuangan kepada Agama, Bangsa dan Negara. Firman Allah dalam Surah al-Mu'min ayat 39:-

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itu sahajalah yang kekal."

Para hadirin sekalian,

Wanita UMNO kini jauh melangkah ke hadapan. Selaku Ketua Wanita, saya amat insaf bahawa saya perlu berani memimpin puan-puan untuk kita sama-sama berjuang di atas landasan yang tepat, ke arah matlamat yang jelas, bagi menentukan Wanita UMNO sentiasa dalam satu barisan dan setia kepada parti dan pemimpin sebagaimana "seikat bak sireh, serumpun bak serai".

Kita mesti menjadi Tulang Belakang yang mampu memberi kekuatan kepada perjuangan parti. Untuk terus relevan di hati rakyat, kita mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan seperjuangan dalam melayari samudera keikhlasan demi memacu wanita Malaysia ke mata dunia.Di tahun ketiga pasca PRU 13, Wanita UMNO tidak penat lelah menjalankan kerja tradisi yang kini disulami dengan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Gerak kerja Jalinan Rakyat diperincikan ke setiap seorang pengundi. Pentadbiran dimantapkan. KPI pemimpin wanita di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian saya mengikutinya. Skuad Sayang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan agar dapat bertindak pantas membantu dalam situasi yang memerlukan. Syukur Alhamdulillah, Skuad An-Nur semakin diresapi semangatnya dan dirasai kehadirannya di seluruh pelusuk negara.

Tahniah Puan-puan, saya amat berbangga di atas kekentalan semangat yang ada pada puan-puan umpama Saidatina Siti Khadijah Khuwailid, Ummul Mukminin penguat jiwa Rasulullah SAW untuk terus memimpin umat Islam di kala suka dan duka. Hakikatnya begitulah dengan kita, tiada wanita sunyilah parti, tiada wanita hilangnya seri, tiada wanita program tak menjadi.

WANITA UMNO DI ERA DIGITAL

Para hadirin yang dikasihi sekalian,

Zaman beralih, musim bertukar. Dalam mendepani era digital, wanita mesti menerima cabaran dan mendakap perubahan yang hadir bersama kemajuan teknologi. Jangan kita persia-siakan peluang ini kerana kita telah diberikan pelbagai ruang dan kesempatan untuk meletakkan UMNO dan Barisan Nasional di kedudukan yang terbaik melalui rangkaian media sosial.

Dewasa ini pengguna internet telah mencecah 2.4 bilion di seluruh dunia. Setiap hari, terdapat 1,300 pengguna baru aplikasi mudahalih didaftarkan. Setiap minit 204 emel dihantar dan jika semua video yang telah dimuatnaik di YouTube disambungkan, kita memerlukan 412 tahun untuk menonton kesemuanya. Fikirkan dan bayangkanlah betapa luasnya peluang dan cabaran yang terhidang serta betapa derasnya arus digital yang hadir dalam kehidupan seharian kita. Alangkah ruginya jika kita membiarkannya ianya berlalu begitu sahaja seperti kekabu ditiup terbang di bawa angin.

Dalam meniti kepesatan dunia komunikasi digital ini, Wanita UMNO amat berbangga menjadi sebahagian dari jawatankuasa pelaksana kepada World Communication Forum Kuala Lumpur 2015 (WCFKL 2015) pada 28 dan 29 September 2015 yang bertemakan 'Communication World: Changes, Challenges and Chances'. Penghormatan kepada Malaysia sebagai tuan rumah untuk menganjurkan forum yang berprestij ini selepas enam kali ianya berlangsung di Davos, Switzerland, membuktikan kemampuan negara kita setara dan standing dengan negara-negara lain di mata dunia.

PINDAAN AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

Sidang Perwakilan yang dihormati sekalian,

Perkembangan teknologi digital yang berlaku dengan amat pesatnya menuntut wanita untuk terus mendayaupayakan diri dan memahami penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian mereka. Internet dan ICT merupakan platform yang begitu berkuasa untuk menghubung rakyat dan membina masyarakat bermaklumat. Saya yakin era digital menyediakan peluang dan ruang yang membolehkan wanita dalam pelbagai bidang berhubung dengan lebih cepat (real time), tepat dan berkesan. Malah, ia mampu meluaskan keterangkuman rangkaian dan jaringan kerja serta hubungan di antara pemimpin dan rakyat di rantau ini.

Statistik pada tahun 2014 menunjukkan bahawa 48.6% pengguna internet di Malaysia terdiri daripada golongan wanita. Oleh itu saya menyeru agar wanita mengambil peluang dalam menggunakan internet secara optimum bagi mendapatkan maklumat pembelajaran dan berkecimpung dalam bidang perniagaan secara dalam talian yang boleh menjana pendapatan.

Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa penggunaan internet yang tidak terkawal boleh mendatangkan implikasi yang tidak baik kepada kita dan negara. Dalam hubungan ini wanita UMNO menyokong penuh usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk meminda dan menambahbaik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. Kami mendapat maklum bahawa KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengadakan pertemuan, perbincangan dan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dengan Akta ini bagi menentukan suara dan maklumbalas mereka didengar, dipertimbang dan diambil kira sebelum draf Akta dibentangkan di Parlimen nanti. Wanita UMNO memuji tindakan pro-aktif KKMM ke arah penambahbaikan Akta ini. Kami yakin engagement yang telah diadakan akan menyuburkan inklusiviti rakyat dalam bidang pembuat keputusan dimana pandangan dan suara mereka tidak diketepikan.

Kita juga menerima cadangan YAB Perdana Menteri untuk meletakkan penanda aras antarabangsa dalam meningkatkan kawal selia internet tanpa menyekat hak pengguna internet di negara ini. Ia amat penting untuk memastikan para pengguna lebih bertanggungjawab, berintegriti dan peka terhadap maklumat yang mereka siarkan di laman sosial.

Kita juga menyedari bahawa kepesatan teknologi perkongsian maklumat dan keterujaan untuk menjalani gaya hidup digital telah mendorong kepada penyalahgunaan fakta yang boleh mewujudkan fitnah serta masalah sosial. Gara-gara mahu menjadi yang pertama berkongsi maklumat, segelintir pengguna alam siber mengabaikan kesahihan fakta yang disebarkan. Sikap ini mencetuskan krisis komunikasi. Di alam siber, wanita merupakan kumpulan yang terdedah kepada pelbagai tindakan negatif yang boleh menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik mereka. Oleh itu ingin saya mengingatkan supaya wanita sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap perkongsian maklumat dan menyuarakan pandangan atau pendapat peribadi di media sosial. Wanita jangan mudah terpedaya dengan keseronokan berkomunikasi di Internet sehingga terperangkap dalam kancah jenayah. Sesungguhnya segala bentuk perlakuan jenayah di alam siber juga boleh dikenakan tindakan sepertimana perlakuan jenayah di alam nyata.

ASEAN KOMUNITI

Malaysia mencatat sejarah apabila diberi tanggungjawab mempengerusikan ASEAN dan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN yang menyaksikan termeterainya Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi pembentukan Komuniti ASEAN. Wanita merasa bangga di atas pencapaian ini yang pastinya mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa. Syabas dan tahniah Wanita ucapkan di atas kejayaan cemerlang YAB Perdana Menteri dan jawatankuasa penganjur serta semua kementerian yang terlibat menganjurkan sidang kemuncak ASEAN pada 18 hingga 22 November 2015. Tahniah juga Wanita ucapkan kepada YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang turut menganjurkan program khas untuk wanita iaitu Program Voices of ASEAN Women 2015 dan The ASEAN Food Fiesta bersempena dengan sidang kemuncak ASEAN 2015. Kehadiran sebahagian besar Wanita Pertama dari negara-negara ASEAN ke program ini sudah semestinya dapat mengeratkan lagi hubungan wanita di rantau ini.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2015, isu wanita telah diberi perhatian, antaranya penglibatan wanita dalam bidang membuat keputusan samada dalam bidang politik atau korporat yang masih rendah. Saya bimbang jika pembabitan wanita masih kurang dalam kedua-dua bidang ini, tidak mustahil suara dan perjuangan wanita dinafikan haknya dalam pembangunan negara.

Mengambil semangat kesatuan Komuniti ASEAN, Wanita UMNO bersama rakan Wanita Barisan Nasional buat julung kalinya telah menganjurkan program ASEAN Women in Politics: Promoting Representation Through Connectivity and Innovation (WIPKL 2015) pada 17 Oktober 2015. Forum yang dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia turut disokong dengan kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Saya amat berpuas hati, WIPKL 2015 berjaya mengumpul hampir 5,000 hadirin termasuk 150 pemimpin wanita dari 25 buah parti politik negara ASEAN dan negara-negara pemerhati di antaranya China, Korea, Rusia, Palestin, Maldives dan Bangladesh.

Semasa WIPKL 2015, topik Power of 51 dan Women At The Epicentre of Winning Elections turut diperbincangkan. Walaupun kita ramai, adakalanya wanita tidak menyedari betapa besarnya kuasa yang dimiliki. oleh kita dalam memenangkan sesuatu pilihanraya atau memperjuangkan sesuatu isu. Saya mahu melihat wanita di semua peringkat lebih komited dan berani menyuarakan isu-isu yang membabitkan kehidupan wanita sama ada dalam politik, ekonomi atau mana-mana bidang yang berkait rapat dengan kehidupan wanita. Kita mesti berjuang ke arah Power of 51 di mana suara wanita akan berkumandang seantero dunia dan diberi perhatian.

WIPKL 2015 juga menyentuh tentang penggubalan undang-undang atau polisi dalam mempertingkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan. Contohnya, Filipina menyediakan kuota kepada wanita mewakili pelbagai lapisan masyarakat sebagai calon pilihanraya, dan yang terbaharu, Kanada, membariskan 50% ahli kabinetnya terdiri daripada wanita. Justeru, saya menggesa kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional memberikan perhatian kepada trend memperkasakan penglibatan wanita yang berlaku di seluruh dunia dan mempertimbangkan polisi sekurang-kurangnya 30% calon wanita untuk Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

Wanita UMNO juga menyedari pendekatan dan pemikiran anak-anak Gen Z dan Milennial jauh berbeza dari generasi sebelumnya. Keterbukaan dan pendedahan kepada pelbagai senario dunia menjadikan mereka lebih kritikal dan analitikal. Oleh itu, kita mesti memahami dan mendekati agar mereka menjadi pemimpin yang menghormati kita dan pada waktu yang sama bersedia untuk mentadbir urus negara. Jangan kita takut dengan anak-anak kita. Kita kan ibu. Kita mesti mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan. Percayalah kita mampu untuk membimbing mereka ke jalan yang baik dan diredhai.

Tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada barisan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus berkorban masa dan tenaga bagi memastikan kesempurnaan penganjuran WIPKL 2015. Alhamdulillah, satu Cadangan Bersama (Joint Recommendation) yang disepakati dalam WIPKL 2015 telah dihantar kepada Sekretariat ASEAN. In Sha Allah, WIPKL akan diteruskan pada tahun 2016.

IKLIM EKONOMI NEGARA

Para Perwakilan yang dikasihi,

Kita bersyukur pada hari ini Malaysia terus berdaya saing dalam kekuatan ekonomi di rantau Asia. Alhamdulillah ekonomi Malaysia tetap kukuh dan stabil dan mampu berkembang 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015 dan dijangka mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun dalam keadaan ekonomi dunia dijangka berkembang hanya pada kadar 3.1 peratus tahun ini. Pengalihan kebergantungan pendapatan negara daripada hasil petroleum kepada segmen lain telah terbukti satu keputusan yang tepat apabila harga minyak dunia terus tidak menentu. Sehubungan itu, Wanita UMNO akan terus memberikan sokongan penuh terhadap apa juga langkah dan usaha kerajaan untuk mengangkat kedudukan ekonomi negara.

Wanita UMNO turut mengikuti perkembangan perbincangan perjanjian mengenai Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Menyedari apa jua keputusan yang kita ambil hari ini akan dipikul kesannya oleh generasi yang akan datang. Saya menyeru kerajaan untuk meneliti dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan awal tahun ini telah mula menampakkan hasil positif kepada pendapatan negara. Hasil positif ini telah memberi keyakinan kepada YAB Perdana Menteri untuk membentangkan Bajet 2016 yang lebih mesra rakyat di mana kepentingan dan keperluan rakyat diberi keutamaan. Jangkaan pendapatan GST sebanyak 39 bilion berbanding 18 bilion jika SST terus digunapakai telah membolehkan kerajaan memberi peruntukan yang lebih besar kepada insiatif dan pelbagai bantuan terus untuk kumpulan usahawan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemupukan budaya keusahawanan, penggalakan inovasi dan mengeksport produk ke peringkat global. Wanita UMNO minta penerangan berterusan dan penambahbaikan kaedah pelaksanaan sistem percukaian GST ini lebih terancang dan teliti supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan mendera rakyat dengan harga barangan yang keterlaluan juga menyedari kebaikan sistem ini untuk jangka masa panjang.

EKOSISTEM EKONOMI UNTUK WANITA

Bagi mencapai Wawasan 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf pentingnya sumbangan wanita sebagai enjin pertumbuhan utama (Key Engine of Growth) dalam pembangunan negara. Dengan iklim ekonomi dunia yang sukar diramal, kerajaan perlu menyediakan ekosistem ekonomi yang mesra wanita sekaligus dapat merealisasikan impian setiap wanita mempunyai dompetnya sendiri. Jika tidak, pasti negara akan kehilangan aset berharga yang menjadi penjana utama ekonomi.

Saya mencadangkan Gabenor Bank Negara, yang juga seorang wanita, meneliti dan menambahbaik polisi kewangan untuk wanita terutamanya dalam bidang keusahawanan dengan mewujudkan Laluan Khas Usahawan Wanita di semua bank dan institusi kewangan. Saya yakin, jika cadangan ini dilaksanakan, ianya akan memudahkan usahawan wanita berurusan untuk membuat pinjaman perniagaan. Maklumlah naluri wanita amat pemalu, walau mempunyai bakat dan potensi, tetapi perlukan khidmat nasihat dan dorongan bagi meningkatkan keyakinan diri.

Sebagai Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Ikhtisas Wanita (KIW) di Jabatan Perdana Menteri, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita di samping membantu memperkukuhkan ekosistem ekonomi keluarga. KIW telah memperkenalkan program PASARNITA yang dilaksanakan sejak tahun 2014 untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan wanita mempamer dan memasarkan produk mereka di samping melebarkan jaringan perniagaan masing-masing. Alhamdulilah program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Justeru pada 31 Mei 2015 YAB Perdana Menteri telah merasmikan PASARNITA Kebangsaan dengan mengumumkan Tapak Kekal PASARNITA di Kuala Lumpur. YAB Menteri Besar Terengganu turut menyokong usaha KIW dan berbesar hati menyediakan Tapak Kekal PASARNITA di Terengganu. Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan persekutuan dan negeri dalam membantu dan memperkasakan Wanita Malaysia. YAB-YAB negeri-negeri lain bila lagi?

Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Wanita mewakili sebanyak 53.6% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 1.2 mata peratus pada tahun 2014. Sumbangan mereka ini amat signifikan dalam menjana ekonomi negara. Namun demikian lanskap kehidupan telah berubah dengan memaksa wanita untuk mengambil pendekatan berbeza dalam menangani pelbagai isu dan kekangan masa kini. Antaranya isu pembantu rumah, kenaikan harga barang dan servis, pendapatan isi rumah rumah yang rendah termasuk tuntutan kerja kurang fleksi menjadi punca penurunan produktiviti dan hilang konsentrasi semasa bekerja. Adakalanya, wanita terpaksa membuat keputusan memilih antara keluarga atau kerjaya yang akhirnya secara tidak langsung memberi impak terhadap ekonomi negara. Wanita UMNO memandang serius isu-isu ini dan bertekad untuk memperjuangkannya sehabis-habisan.

Berdasarkan senario ini, Wanita UMNO menggesa kerajaan meneliti semula Memorandum Pelaksanaan Proses Pengambilan Pembantu Rumah Asing di Malaysia yang telah diserahkan kepada YB Menteri Sumber Manusia untuk membantu mempercepatkan solusi isu pembantu rumah. Selain itu, Wanita UMNO juga mendesak semua agensi kerajaan dan swasta untuk melaksanakan kaedah waktu kerja anjal bagi memudahkan wanita menguruskan kerjaya dan keluarga.

KESELAMATAN & UNDANG-UNDANG JENAYAH

Sidang Perwakilan yang dihormati,

Keganasan tiada agama. "Terrorism has no religion". Tidak kira di mana kita berada, keganasan seolah-olah mengekori kita. Hari demi hari, dunia semakin dikejutkan dengan episod-episod keganasan yang merencatkan impian, peluang dan perancangan dunia untuk maju. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Iraq, Mesir, Paris, Syria, Yemen, Mali dan negara-negara lain. Demokrasi, hak asasi dan kebebasan yang dilaungkan beradun dendam dan bermatlamatkan peribadi akhirnya menjadi api meranap keindahan yang lahir dari penat jerih pejuang-pejuang negara terdahulu.

Justeru itu, Wanita UMNO mengucapkan syabas kepada Kementerian Dalam Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana bertindak tegas mengambil langkah pencegahan dalam memusnahkan benih-benih keganasan dan elemen ekstremisme.

Wanita UMNO sedar akan ada gerakan dan komplot yang ingin menjatuhkan kerajaan juga campur tangan orang asing, tidak kira mereka dari kumpulan mana, parti apa, sama ada ahli atau bukan ahli, mereka mesti ditentang sekeras-kerasnya. Tugas ini tidak mudah, adakalanya keputusan yang tidak popular perlu dibuat demi menyelamatkan negara. Ketika ini pengorbanan perlu dilakukan demi memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Sidang hadirin sekalian,

Saya masih ingat, pertemuan saya dengan Puan Rosna Shariff, yang telah dipenjara selama 7 tahun di Peru akibat ditipu oleh teman lelakinya yang menjadikannya keldai dadah pada tahun 2012. Beberapa tahun telah berlalu, modus operandi dalang-dalang pengedar dadah ini kian menakutkan. Bukan hanya wanita berusia yang dieksploitasi, malah kini sindiket dadah semakin berani memperdaya pelajar-pelajar perempuan yang masih mentah untuk dipergunakan sebagai pengedar dadah tanpa pengetahuan mereka. Dengan diumpan wang ringgit dan dijanjikan kebahagiaan palsu, mangsa-mangsa ini berdepan dengan tindakan undang-undang yang membawa hukuman berat sekiranya tertangkap, sedangkan penjenayah yang sebenar lepas bebas menikmati keseronokan dunia dan mengaut keuntungan dari kesengsaraan mangsa.

Cuba puan-puan bayangkan jika mangsa ini anak atau keluarga kita. Nauzubillah bagaimana trauma dan fobianya mereka serta keperitan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga. Kesannya bukan sahaja menggugat aktiviti harian malah menyekat perhubungan sosial dan membantutkan pertumbuhan ekonomi.

Sudah tiba masanya kerajaan perlu memperketatkan undang-undang jenayah agar rakyat dilindungi dari sebarang ancaman jenayah. Selain itu, saya juga meminta semua Pengerusi Sekretariat di bawah Wanita UMNO Malaysia, mengambil langkah pro aktif melalui program atau kempen untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada akar umbi tentang peri pentingnya menjaga keselamatan diri dan keluarga. Saya yakin gerakan bersepadu mengikut variasi keperluan sekretariat dapat menjadikan masyarakat lebih peka dengan kemungkinan berlakunya jenayah di sekeliling kita.

MENYUBURKAN INTEGRASI NASIONAL (KAWAN)

Para Perwakilan dan siding hadirin sekalian,

Kita sedar bahawa perpaduan kaum amat penting bagi rakyat Malaysia. Segala-galanya bermula dengan perpaduan. Malaysia akan hancur jika kita benarkan anasir-anasir yang mengganggu gugat perpaduan kaum. Saya amat bimbang dengan insiden yang mencemarkan perpaduan antara kaum. Walhal sebenarnya di akar umbi, jika tidak ada yang mengusik, Malaysia masih bersatu padu. Walau berbeza budaya dan agama, kita tak boleh rasis. Dal hal ini, marilah kita berganding bahu dan bekerjasama memastikan integrasi sosial diamal dan dikekalkan.

Saya ada menyatakan pada perhimpunan tahun lalu, "alangkah indahnya jika kita dan anak-anak kita dapat menguasai pelbagai bahasa kerana bahasa merupakan pengikat kepada keharmonian bangsa". Malah penguasaan pelbagai bahasa adalah salah satu cara untuk menjayakan diri kita, terutama di peringkat global. Menyedari hakikat ini, Wanita UMNO telah melancarkan Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN). KAWAN berpaksikan kepada 2 elemen utama iaitu pendidikan dan sosial ke arah integrasi nasional.

Pelancaran KAWAN pada 18 November 2015 oleh YB Dato' Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah turut mencatat sejarah baru. Peringkat pertama menyaksikan seramai 46 orang ahli Wanita UMNO sekitar Lembah Klang berjaya menamatkan Program Mandarin Journey For Wanita (MJ4W) yang diadakan selama tiga bulan mulai Jun hingga Ogos 2015. Projek percubaan (pilot project) ini bukan sahaja memberikan kemahiran asas memahami dan bertutur bahasa Mandarin, malah pelajar dan guru-guru turut berkongsi pelbagai pengetahuan mengenai budaya masing-masing. In Sha Allah, pada tahun hadapan Wanita UMNO akan mulakan English Journey For Wanita (EJ4W), Arab Journey For Wanita (AJ4W) dan Tamil Journey For Wanita (TJ4W), serta meneruskan pembelajaran MJ4W peringkat kedua. Wanita UMNO juga akan memperluaskan MJ4W ke negeri-negeri lain.

PEMBANGUNAN SYARIAH DI MALAYSIA

Para Perwakilan yang dihormati,

Kita harus bersyukur kerana kerajaan sekarang tidak pernah alpa membela hak-hak semua rakyat dan pada masa yang sama menegakkan syiar Islam yang termaktub sebagai agama rasmi negara ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana pada Februari 2015 yang lalu, telah melancarkan Indeks Syariah yang pertama seumpamanya di dunia. Merangkumi aspek perundangan, politik, kesihatan, infrastruktur dan alam sekitar, pendidikan, budaya, sosial dan ekonomi, Malaysia akan menjadi penanda aras tahap patuh syariah yang lebih objektif dan menyeluruh. Insyaallah, kemaslahatan umat Islam di negara ini akan terus terpelihara.

MAJLIS PEGUAM SYARIE DAN AKTA GUAMAN SYARIE

Sebagai seorang peguam, isu-isu perundangan Islam dan di mahkamah syariah sentiasa dekat di hati saya. Cerita dari rakan-rakan peguam syarie sering sampai ke telinga dan menarik perhatian saya. Banyak rungutannya sama ada dari Peguam-peguam Syarie sendiri mahupun dari klien-klien mereka. Satu perkara yang amat jelas ketika ini adalah ketiadaan satu badan khusus yang mengurustadbir profesion Peguam Syarie ini.

Seperti mana peguam di Mahkamah Sivil, fungsi Peguam Syarie tidak sekelumit pun kurang untuk membantu hakim menghukum dengan adil, tepat dan berkesan. Jika peguam di Mahkamah Sivil diurustadbir oleh Bar Council yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, Peguam Syarie hanya mempunyai Kaedah-Kaedah atau Peraturan yang berbeza-beza di setiap negeri yang mengawal selia Peguam Syarie. Sudah banyak gesaan yang saya dengar dari pelbagai pihak supaya penubuhan Majlis Peguam Syarie (Syariah Bar Council) direalisasikan secepat mungkin.

Wanita UMNO juga menggesa pihak yang bertanggungjawab melihat kepada pentingnya menyegerakan kewujudan Akta Guaman Syarie agar dapat memantau dan mengawalselia peguam syarie dari pelbagai aspek. Jika dua perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat, bukan sahaja kepentingan anak guam dapat dilindungi dan dibela, malah martabat dan kedudukan Peguam Syarie turut dapat dipertingkat dan dimuliakan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

Puan-Puan dan sidang hadirin,

Peranan Skuad An-Nur sebagai Sahabat Mahkamah Syariah yang menjadi mata dan telinga dalam membantu Mahkamah Syariah akan dipertingkatkan lagi. Wanita UMNO berhasrat memperlengkapkan ahli Skuad An-Nur dengan kemahiran dan pengetahuan dalam undang-undang syariah dengan harapan dapat membantu ahli keluarga yang tidak berkemampuan mendapat keadilan.

Sebagai contoh, Skuad An-nur yang menziarahi isteri yang kematian suami, mampu memberi nasihat dan maklumat mengenai siapa dan ke mana mereka harus pergi untuk menguruskan isu berkaitan anak-anak dan harta pusaka. Selain membantu proses undang-undang, Skuad An-nur juga akan menyalurkan informasi berkenaan bantuan yang disediakan oleh badan-badan atau agensi agama seperti Pusat Zakat, Baitulmal dan JAKIM kepada mereka yang memerlukan bantuan. Alhamdulillah senyuman insan-insan yang dibantu menjadi manisan kepada kami yang menjalankan tugas demi meringankan beban masyarakat.

Saya merancang pada tahun hadapan, In Sha Allah Sekretriat Agama akan bergabung dengan Skuad An-Nur untuk menganjurkan satu konvensyen syariah di mana isu-isu wanita dan syariah mesti diberi perhatian dan penyelesaian.

WANITA TUNGGAK PENYATU UMNO

Sidang Perwakilan yang dikasihi,

Adat resam parti politik, sentiasa berhadapan dengan cabaran. UMNO sebenarnya sedang menghadapi ujian dan ini bukan sesuatu yang asing kepada ahlinya yang setia. Bermula sejak zaman awal penubuhannya, UMNO sering diuji seperti pengunduran pengasasnya Datuk Onn Jaafar. UMNO pernah diduga dengan pengharaman UMNO pada tahun 1988. Perletakan jawatan Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa beliau memgang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998 dan pelbagai lagi peristiwa kelabu dan hitam yang dilalui oleh UMNO. Kala ini kita sedang melalui saat-saat getir umpama langit akan runtuh, bumi akan rebah, sungai akan kering, laut akan kontang. Namun begitu acap kali kita menghadapi cabaran, dugaan, tentangan, tregedi, trauma, kita masih bersatu menghadapinya, ibarat Setempuh lalu, sebondong surut dan berkat kesatuan ini kita dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

UMNO matang dengan jiwa yang besar, penuh dengan pengalaman yang mendewasakan, tenang dalam kesatuan yang diwariskan. Kita ikut tradisi. Kita sokong Presiden kita. Kita sokong pemimpin-pemimpin kita. Maka pada akhirnya kita mampu keluar daripada kemelut dan krisis dengan mencapai kejayaan yang membanggakan. Mentaati pemimpin menjadi kekuatan yang dicemburui mereka yang ingin memusnahkan parti yang subur dengan pejuang bangsa yang berjiwa kental. Kita mesti memberi kekuatan kepada Presiden kita supaya pembangkang di luar atau dalam parti tidak dapat melemahkan Presiden kita. Kita ibu yang menjadi tulang belakang parti. Tidakkan haus kepercayaan kami, tidakkan usai perpaduan kami demi parti UMNO yang telah banyak berbakti kepada rakyat.

Saya nak mengajak puan-puan semua marilah kita bersatu teguh berdiri disisi YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia serta memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada beliau dengan menghayati maksud Surah An Nissa ayat 59:-

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".

Mari kita wanita terus bekerja kuat dengan penuh komitmen, membela nasib rakyat, menyuburkan semangat perpaduan, eratkan tali silaturrahim, mengubah cara yang lama dengan penuh keberanian dan membawa transformasi dan inovasi di dalam UMNO seperti mana wanita dahpun mulakan. Kita sama-sama memperkuatkan kesatuan kita sendiri. Nyahlah kepada pembangkang yang tungging langgang sekarang menghadapi pelbagai masalah mereka.

Para Perwakilan Wanita yang disayangi,

Hari ini genap 69 tahun usia UMNO. Dalam menyusuri perjuangan diulit suka dan duka, tidak pernah sekali kami derhaka kepada parti. Kata keramat BERSETIA disemat erat membalut jiwa. Wanita sabar mencari cahaya yang pasti bersinar. Wanita percaya UMNO dikurniakan barakah, pemimpinnya hadir tepat untuk mengemudi zaman. Sokongan kita bukan membuta tuli, dukungan kita menyemarak bangsa. Jika runtuh institusi ketuanan parti, di mana letaknya kekuatan hakiki?.

Biar Wanita mendahului memberi kekuatan kepada YAB Dato' Sri Najib mengemudi parti. Biar wanita menjadi benteng mempertahankan parti. Kita adalah Srikandi yang mewarisi pusaka turun temurun sebagai penyatuan ummah. Kita ampuh diduga untuk terus setia, diduga untuk terus istiqamah, diduga untuk mencari yang sohih. Kala disakiti, menangislah di dalam hati. Di kala sangsi, carilah petunjuk Ilahi. Di kala marah, carilah penyejuk hati. Kuatlah Wanita. Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? In Sha Allah, Wanita UMNO akan terus kukuh mempertahankan parti, pemimpin dan membela nasib rakyat.

Kita Wanita nadinya satu,

Kita Wanita hatinya padu,

Kita Wanita jiwanya tak seteru,

Kita Wanita sentuhnya ke kalbu,

Kita Wanita geraknya jitu,

Kita Wanita prinsipnya terakru,

Wahai Wanita kekal bersatu, demi perjuangan yang tak pernah layu, demi negara tanahairku!!

Hidup Wanita!

Hidup Wanita!

Hidup Wanita!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabaratuh

Berita Harian X