Sabtu, 11 Oktober 2014 | 5:43am
HARGA petrol RON95 kini RM2.30 seliter. Pengurangan subsidi bahan api boleh cegah kes seludup bahan api. - Gambar hiasan
HARGA petrol RON95 kini RM2.30 seliter. Pengurangan subsidi bahan api boleh cegah kes seludup bahan api. - Gambar hiasan

Pengurangan subsidi bahan api demi kesejahteraan rakyat

PENGURANGAN subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter pada 2 Oktober lalu menjadi bahan perbincangan hangat masyarakat, termasuk yang pada hakikatnya mampu membayar harga lebih tinggi untuk membeli petrol dan diesel untuk kenderaan mewah mereka.

Tambahan lagi, ada pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap kerajaan kononnya kerajaan melakukan demikian dengan tujuan mengkayakan khazanahnya tanpa mengira kesannya kepada rakyat.

Ada pihak mendakwa kerajaan menyusahkan rakyat dengan menarik balik subsidi petrol dan diesel. Ada yang menyoal apakah kerajaan tidak prihatin terhadap rakyat, khususnya golongan pendapatan rendah.

Susulan pengurangan subsidi itu, petrol RON95 kini dijual pada harga RM2.30 sen seliter, manakala diesel pula RM2.20. Pada harga berkenaan, kerajaan masih memberikan subsidi 28 sen seliter untuk RON95 dan 32 sen untuk diesel.

Sebelum 2 Oktober 2014, harga pasaran sebenar petrol RON95 adalah RM2.73 seliter, tetapi pengguna dapat membelinya di stesen minyak pada harga RM2.10 kerana kerajaan memberikan subsidi 63 sen. Harga pasaran sebenar diesel pula adalah RM2.80 seliter, tetapi harga di stesen minyak ialah RM1.80 susulan subsidi sebanyak 80 sen seliter.

Hasrat kerajaan menyediakan subsidi bahan api adalah untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah membeli bahan api berkenaan. Persoalannya, adakah kumpulan golongan berpendapatan rendah menikmati kemudahan subsidi bahan api sepenuhnya seperti diharapkan kerajaan?

Untuk menjawab soalan ini, kita tinjau senario realiti penggunaan petrol dan diesel di Malaysia. Mengikut kajian, golongan berpendapatan rendah menggunakan purata 150 liter petrol sebulan, golongan sederhana menggunakan 300 liter dan golongan berpendapatan tinggi pula sebanyak 600 liter sebulan.

Berdasarkan harga seliter petrol RON95 dan diesel di stesen minyak pada tahun 2013 dan sebelum penarikan subsidi 20 sen seliter, golongan pendapatan rendah hanya menikmati faedah RM94.50, golongan sederhana RM189 dan golongan berpendapatan tinggi sebanyak RM378 sebulan. Ini bermakna, penyediaan subsidi secara pukal kurang mendatangkan manfaat kepada kumpulan sasar, malah lebih menguntungkan kumpulan yang berpendapatan tinggi.

Subsidi petrol dan diesel bukan dinikmati oleh kumpulan sasar yang ditujukan. Sebahagian besar yang bukan kumpulan sasar seperti pendatang asing, pelancong, dan rakyat negara jiran turut menikmati kemudahan subsidi ini. Malah kegiatan penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel didapati meningkat kerana harga diesel di negara kita lebih murah daripada negara jiran.

Elak salah guna subsidi

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah wajar untuk memastikan subsidi kerajaan lebih dinikmati oleh golongan yang wajar menerima bantuan. Antara langkah bijak menjamin kumpulan sasar menikmati dan mengelakkan salah guna subsidi adalah mengurangkan subsidi yang disediakan untuk bahan api dan menyalurkan penjimatan daripada subsidi bahan api itu terus kepada golongan sasar secara langsung iaitu golongan berpendapatan rendah rakyat Malaysia.

Sambil itu, penyediaan subsidi untuk barangan dan perkhidmatan lain diteruskan seperti biasa agar harga barangan dan perkhidmatan asas kekal pada paras berpatutan, malah menambahkan jumlah bantuan disediakan dan bilangan penerima pelbagai bantuan.

Subsidi adalah wang yang dibayar kerajaan kepada perbadanan atau syarikat tertentu yang membekal bahan keperluan asas harian rakyat bertujuan untuk menstabil atau menurunkan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan berbanding dengan harga pasaran barangan dan perkhidmatan itu agar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah mampu membelinya.

Dalam konteks inilah kerajaan menyediakan subsidi berbilion ringgit untuk membantu meringankan beban rakyat. Pada tahun 2013, sebanyak RM46.6 bilion dibelanjakan untuk menampung subsidi barangan dan perkhidmatan keperluan asas rakyat. RM528 juta disediakan sebagai subsidi beras, RM1.5 bilion sebagai subsidi minyak masak, RM150 juta sebagai subsidi membantu rakyat membayar perkhidmatan elektrik, RM321 juta sebagai subsidi untuk menyediakan insentif dan bantuan kepada nelayan, RM563 juta sebagai subsidi untuk insentif penanam padi dan RM4.6 bilion sebagai bantuan BRIM.

Dalam pada itu, kita difahamkan penggunaan minyak petrol dan diesel sebulan di Malaysia adalah sebanyak dua bilion liter atau 24 bilion liter setahun. Kerajaan menyediakan lebih RM2 bilion sebulan untuk subsidi bahan api termasuk petrol dan diesel. Ini bermakna hampir RM24 bilion dibelanjakan untuk subsidi petrol dan diesel setahun.

Jika 10 sen seliter dapat dijimatkan, kerajaan boleh menjimatkan RM2.4 bilion setahun dan RM4.8 bilion setahun yang boleh dibelanjakan untuk melaksanakan pelbagai projek dan program ekonomi dan sosial dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, hampir 40 peratus penduduk yang berada dalam lingkungan kumpulan berpendapatan rendah yang benar-benar disasarkan sebagai kumpulan menikmati bantuan kerajaan boleh menikmati faedah daripada penjimatan berkenaan dengan memperoleh bantuan kewangan secara langsung seperti bantuan rakyat 1Malaysia (BRIM). Hampir 4.8 juta keluarga yang kini menikmati bantuan BRIM boleh mendapat tambahan bantuan BRIM daripada penjimatan subsidi bahan api.

Penjimatan daripada subsidi bahan api boleh di belanjakan untuk membina banyak lagi sekolah, klinik, hospital, jalan raya, malah menyediakan insentif dan bantuan khas kepada golongan sasaran tertentu dalam usaha meningkatkan kualiti hidup mereka. Jumlah BRIM boleh ditambah daripada RM650 kepada yang lebih tinggi kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Usah terpengaruh dakyah

Strategi merasionalisasi dalam pengurusan dan pengagihan subsidi akan menjamin keadilan rakyat. Jika kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab terhadap negara memahami dan menghayati hasrat kerajaan merasionalisasi subsidi ini, maka kita tidak akan terpengaruh dengan dakyah setengah pihak kononnya kerajaan menjerut leher rakyat dengan menarik balik subsidi.

Rakyat perlu berwaspada terhadap golongan yang sengaja menaikkan harga barang dengan alasan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Berhubung isu mampu beli, tidak dinafikan bahawa pendapatan rakyat Malaysia meningkat berpuluh kali ganda berbanding dengan tahun 80-an atau 90-an. Purata pendapatan isi rumah meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,919 pada tahun 2014. Pendapatan median pula meningkat daripada RM2,830 (2009) kepada RM4,258 pada tahun 2014. Ini jelas menunjukkan pendapatan rakyat Malaysia meningkat purata lebih 10 peratus sementara inflasi dapat dikawal dalam lingkungan 3.3 peratus.

Dengan peningkatan kadar pendapatan dan rendahnya inflasi, maka tidaklah keterlaluan jika dibuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan rendah masih mampu membeli petrol dan diesel untuk kegunaan kenderaan masing-masing dengan kadar harga ditetapkan.

Harga petrol di Malaysia lebih murah

Ada yang bersungut kenapa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak tidak menetapkan harga lebih rendah? Benar Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Malaysia mengeluarkan minyak jenis tapis 'blend' berkualiti tinggi yang dapat dipasarkan dengan harga yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan harga petrol di Malaysia lebih murah daripada beberapa negara pengeluar minyak. Malaysia menggunakan petrol yang diimport dari luar negara dan harganya sudah pasti bergantung kepada harga pasaran petrol di dunia.

Namun, kejatuhan dan kenaikan harga petrol dunia tidak semestinya mengurang atau menaikkan harga petrol di stesen minyak di Malaysia. Kerajaan perlu mengawal harga minyak dengan pelbagai kaedah termasuk strategi subsidi agar petrol dan diesel mudah diperoleh di pasaran tempatan dengan kadar harga berpatutan dan mampu beli.

Rasionalisasi subsidi bahan api adalah langkah bijak untuk menjamin keadilan kepada rakyat Malaysia, malah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah menikmati bantuan kerajaan secara langsung.

Penulis ialah Panel Pemikir JASA.

Berita Harian X