Rabu, 24 Mei 2017 | 3:09pm

Kesedaran awam terhadap PIDM meningkat

Pengurus Besar Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Pengurus Besar Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran awam terhadap Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meningkat enam peratus kepada 59 peratus tahun lalu, berbanding 53 peratus pada 2015.

Menurut kaji selidik dijalankan perbadanan itu, tahap kesedaran mengenai Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful serta Insurans masing-masing meningkat kepada 50 peratus dan 34 peratus.

"Ia meningkat berbanding masing-masing 41 peratus dan 26 peratus yang dicatatkan pada 2015," kata Laporan Tahunan 2016 PIDM yang dikeluarkan, hari ini.

Laporan tahunan bertemakan 'Melindungi Pengguna Kewangan' itu mengetengahkan bagaimana PIDM menyediakan perlindungan deposit dan manfaat insurans serta takaful kepada rakyat di negara ini.

Ia juga memberi penekanan mengenai bagaimana perbadanan itu menumpukan usaha berterusan bagi memastikan kesediaan menyumbang kepada kestabilan dalam sistem kewangan.

Pengurus Besar Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah, berkata tahun lalu, PIDM menjalankan simulasi pembayaran balik bagi andaian pembubaran bank ahli bersaiz sederhana.

"Kejayaan kami menyempurnakan latihan ini menunjukkan sistem dan kakitangan boleh melaksanakan pembayaran balik deposit dengan pantas serta tepat kepada pendeposit, sekiranya diminta berbuat demikian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PIDM mengusahakan rangka kerja perancangan resolusi utama yang membolehkan resolusi secara teratur bagi semua institusi ahli tanpa mengira saiz atau kerumitan, tanpa gangguan sistemik terhadap kestabilan sistem kewangan.

"Ia bertujuan memastikan ada rancangan boleh dilaksana untuk memastikan resolusi teratur bagi semua institusi ahli tanpa memberi kesan serius ke atas sistem kewangan secara keseluruhan," katanya.

Tahun lalu, PIDM mencatat pendapatan RM557.4 juta dengan lebihan bersih operasi RM458.5 juta, meningkatkan jumlah dana dan rizabnya kepada RM3.1 bilion.

INFO:

* Laporan Tahunan 2016 boleh didapatkan di laman web PIDM di www.pidm.gov.my.

Berita Harian X