Selasa, 18 April 2017 | 8:30pm

Perniagaan yakin dengan persekitaran ekonomi 2017 - MIER

PENGARAH Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid. - Foto Halim Salleh
PENGARAH Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Segmen perniagaan Malaysia adalah optimistik dengan persekitaran ekonomi tahun ini, menurut satu kajian ke atas sentimen perniagaan yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata ini dapat dilihat dalam Indeks Keadaan Perniagaan MIER (BCI) yang merekodkan 112.7 mata, paling tinggi sejak 10 suku sebelum ini.

"Peningkatan ketara dalam indeks banyak disumbangkan oleh lonjakan dalam lapan komponen BCI," katanya semasa Taklimat Ekonomi Korporat ke-22 institut itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam komponen IKB, seperti jualan semasa, tempahan eksport baharu dan jualan eksport dijangka menyumbang kepada pemulihan BCI.

Zakariah menambah pengeluaran semasa, tempahan domestik yang baharu, pelaburan modal dan penggunaan kapasiti juga meningkat pada kadar sederhana.

Katanya, kajian ini juga menunjukkan unjuran yang positif untuk sektor pembuatan dalam tempoh tiga bulan.

"Respon keseluruhan dalam sektor pembuatan menunjukkan keadaan perniagaan sekarang ini adalah amat baik," katanya.

Mengenai ramalan ekonomi pula, institut itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi Malaysia pada tahun ini, naik berbanding 4.2 peratus sebelum ini, didorong oleh permintaan domestik.

Katanya, permintaan domestik menyumbang 91.6 peratus daripada KDNK pada 2015 dan 91.8 peratus dalam tahun lalu, dan trend itu dijangka berterusan untuk tempoh dua tahun akan datang.

"Pertumbuhan dalam permintaan domestik tahun ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam perbelanjaan peribadi," katanya.

Penggunaan swasta dijangka menokok 5.8 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding 6.1 peratus pada tahun lalu manakala inflasi dijangka berkembang pada kadar sebanyak tiga peratus tahun ini, daripada purata sebanyak 2.1 peratus tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X