Jumaat, 17 Februari 2017 | 1:30pm

Ekonomi Singapura berkembang 2.0 peratus tahun lalu

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang 2.0 peratus pada 2016 dan dijangka tumbuh antara 1.0 dan 3.0 peratus tahun ini, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI).

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 2.9 peratus tahun ke tahun pada suku keempat, lebih cepat berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Ekonomi republik itu berkembang 1.9 peratus pada 2015, kata MTI dalam satu kenyataan hari ini.

Sektor perkilangan Singapura meningkat 3.6 peratus tahun lalu berbanding penurunan 5.1 peratus pada 2015.

Pertumbuhan dalam sektor ini didorong terutama oleh kluster elektronik dan pembuatan bioperubatan, walaupun kluster kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am menguncup, katanya.

Sektor pembinaan meningkat 0.2 peratus, menyederhana berbanding pertumbuhan 3.9 peratus pada 2015, disebabkan kelembapan dalam kerja pembinaan sektor swasta, kata MTI.

Industri pengeluaran perkhidmatan berkembang 1.0 peratus. Pertumbuhan ini disokong terutama oleh industri perkhidmatan lain dan sektor pengangkutan dan penyimpanan, yang masing-masing berkembang 3.1 peratus dan 2.3 peratus, katanya.

Mengenai unjuran ekonomi bagi 2017, kementerian itu berkata, pertumbuhan global dijangkakan meningkat sedikit.

Secara khususnya, pertumbuhan di Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama ASEAN dijangka bertambah baik walaupun pertumbuhan di China terus menyederhana.

Ekonomi AS dijangkakan tumbuh pada kadar yang lebih cepat pada 2017, disokong oleh permintaan domestik dan rangsangan fiskal di bawah pentadbiran baharu AS.

Sebaliknya, pertumbuhan di Zon Euro dijangkakan kekal sederhana, dengan pertumbuhan penggunaan mungkin terjejas disebabkan kedudukan pasaran buruh yang lembap.

Di Asia, pertumbuhan ekonomi China dijangkakan terus lembap, disebabkan pertumbuhan pelaburan terus perlahan susulan kelembapan dalam pasaran perumahan dan usaha berterusan untuk mengurangkan lebihan kapasiti dalam industri berat.

Sementara itu, ekonomi utama ASEAN dijangkakan mencatat peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pada 2017, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, serta permintaan eksport yang dijangkakan meningkat hasil daripada jangkaan pertumbuhan global.

Bagaimanapun, ketidaktentuan dan risiko dalam ekonomi global masih wujud.

MTI berkata, walaupun United Kingdom meneruskan Brexit, pilihan raya akan datang di negara zon Euro utama boleh mewujudkan ketidaktentuan terhadap masa depan kewangan di kesatuan itu.

Kementerian itu juga menegaskan bahawa tanda peningkatan sentimen antiglobalisasi semakin jelas, dan jika pendekatan perlindungan menjadi kebiasaan, dagangan global akan terjejas, dengan kesan lanjutan ke atas pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

Risiko politik dan kurang jelas mengenai dasar baharu pentadbiran AS turut meningkatkan ketidaktentuan ekonomi global dan menjurus kepada turun naik pasaran kewangan.

Ketidaktentuan ini mungkin menjejaskan keyakinan perniagaan dan pengguna, sekali gus menjejaskan pelaburan dan penggunaan, dan menyebabkan pertumbuhan ekonomi menguncup.

Jika keadaan monetari semakin ketat di China dan menyebabkan pengetatan kredit dan perbelanjaan pelaburan, pertumbuhan di China akan menjadi lebih perlahan daripada yang dijangkakan.

Berdasarkan kedudukan global ini dan mengambil kira risiko penurunan, sektor luaran berorientasikan pembuatan dan pengangkutan & sektor penyimpanan mungkin menyediakan sokongan kepada pertumbuhan dalam ekonomi Singapura pada 2017, kata MTI.

Secara khususnya, momentum yang semakin baik yang dilihat dalam sektor pembuatan pada akhir 2016, dijangkakan dapat dikekalkan pada 2017, disokong oleh pemulihan berterusan dalam permintaan global ke atas peralatan separa konduktor dan semikonduktor.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan juga mungkin mendapat manfaat daripada peningkatan dalam unjuran aliran perdagangan global.

Pada masa yang sama, sektor maklumat & komunikasi dan pendidikan, kesihatan & sektor perkhidmatan sosial, dijangkakan kekal berdaya tahan.

Sebaliknya, prospek bagi sektor pembinaan dijangkakan terus lemah ekoran penurunan dalam kontrak yang diberikan dalam tempoh dua tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan sektor swasta yang lembap.

Sektor seperti marin dan perkhidmatan luar pesisir, runcit dan makanan juga dijangkakan terus berhadapan kekangan, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X