Khamis, 10 November 2016 | 9:56pm

Portfolio pinjaman SME Bank cecah RM5.9 bilion

Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.
Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

KUALA LUMPUR: Portfolio terkini pinjaman SME Bank Bhd sudah mencecah sekitar RM5.9 bilion, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Beliau berkata, nilai itu termasuk pembiayaan RM200 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi program SME Bank XCESS 2016 dilancarkan Mac lalu, yang disasar membantu kira-kira 450 syarikat PKS.

"Kita sudah melepasi sasaran pembiayaan RM200 juta itu, yang mana ia juga sudah diagihkan. Sebahagian besarnya adalah dalam sektor perkhidmatan," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Pengerusi SME Bank, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Program SME Bank XCESS adalah program tahunan selaku platform kepada usahawan PKS untuk mendapat perundingan berhubung keperluan modal kerja dan pemprosesan permohonan pinjaman dalam tempoh hanya 72 jam.

Sementara itu, Faizah berkata, pada tahun ini SME Bank menerima 88 penyertaan bagi Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 46 daripadanya adalah sekolah yang pertama kali menyertai.

Juara Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge tahun ini dimenangi Sepintar Young Inventors yang mewakili Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang.

Ia menghasilkan Essential Fan, kipas tangan bagi mengatasi masalah seperti pening kepala dan mengantuk.

Sebagai juara, pasukan itu membawa pulang tunai RM15,000 bagi kumpulan, RM5,000 untuk sekolah, trofi dan sijil penyertaan, serta piala pusingan.

Ia juga menerima tiket penerbangan bernilai RM25,000 untuk empat orang bagi menyertai pertandingan di luar negara. Hadiah disampaikan Mahadzir.

Faizah berkata, melihat kepada kejayaan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge, SME bank mengembangkan program keusahawanan itu dengan memperkenalkan Program Usahawan Muda SME Bank 90-Days Business Challenge dengan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Bermula tahun ini, program keusahawanan Y-Biz Challenge dan 90-Days Business Challenge akan diadakan secara bergilir-gilir. Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge akan kembali pada 2018," katanya.

Info

Pertandingan program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge

* Tawar hadiah keseluruhan berjumlah RM91,000

* Juara pertandingan bawa pulang tiket penerbangan bernilai RM25,000 bagi menyertai pertandingan di luar negara

* Anjuran SME Bank dengan kerjasama Bahagian Ko-kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan

* Terbuka kepada semua sekolah mengah di bawah kementerian berkenaan.

SME Bank

--------

. Institusi kewangan pembangunan (DFI)

. mula operasi 3 Oktober 2005

. diberi mandat khusus oleh Kerajaan bagi membimbing dan membangun usahawan PKS

Berita Harian X