Selasa, 1 November 2016 | 9:39pm

'Reimagining TNB' ubah cabaran kepada usaha niaga baharu

Tenaga Nasional Bhd (TNB) melaksanakan program transformasi bertemakan 'Reimagining TNB', yang bertujuan mengubah cabaran besar yang menjejaskan utiliti elektrik kepada peluang usaha niaga baharu bagi syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, 'trilemma' tenaga dan gangguan yang timbul ekoran kewujudan pelbagai teknologi merubah kebiasaan turut mengubah landskap utiliti.

"Kami di TNB melihat perubahan besar ini sebagai peluang dan bersedia menghadapinya dengan strategi tertentu di bawah program transformasi 'Reimagining TNB'," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Semasa Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik kali ke-21 (CEPSI 2016) di Bangkong, Thailand baru-baru ini, beliau menekankan bahawa industri kini berhadapan 'trilemma'.

Katanya, 'trilemma' itu merangkumi cabaran untuk menangani keselamatan tenaga; menyediakan akses kepada perkhidmatan tenaga pada harga berpatutan; serta pengeluaran dan penggunaan tenaga mesra alam.

Mengenai teknologi disruptif, Azman berkata, cabaran timbul berikutan wujudnya persaingan sengit antaranya daripada tenaga boleh diperbaharu; bateri penyimpan tenaga yang semakin cekap; Internet Kebendaan (Internet-of-Things); grid pintar dan bandar raya pintar; serta keperluan untuk menggabungkannya menjadi perniagaan dan operasi.

Beliau berkata, dalam mengubah cabaran kepada peluang melalui 'Reimagining TNB', ia membabitkan empat teras utama iaitu meneroka sumber generasi masa hadapan secara aktif terutamanya sumber tenaga boleh diperbaharu, dan memberi tumpuan kepada grid masa hadapan termasuk grid pintar.

Antara teras utama lain ialah memenangi hati pelanggan dengan pelbagai perkhidmatan dan produk yang dipertingkatkan; serta peraturan, khususnya di bawah Kawal Selia Berdasarkan Insentif, katanya.

CEPSI 2016 yang diadakan dihadiri negara pengasas Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) iaitu Australia, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Thailand, Papua New Guinea dan Singapura; serta Korea Selatan. - Bernama

INFO:

Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif AESIEAP 2017

Tarikh: 23 hingga 25 Oktober

Lokasi: Pulau Pinang

CEPSI 2018

Tarikh: 17 hingga 23 September 2018

Lokasi: Kuala Lumpur.

Berita Harian X