Khamis, 25 Ogos 2016 | 7:11pm

Tingkat peruntukan, insentif PKS

MENTERI Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengemukakan beberapa cadangan komprehensif membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2017.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata antara cadangan yang dititikberatkan MITI adalah meningkatkan peruntukan dan insentif kepada PKS.

Katanya, cadangan berkenaan sejajar hasrat kerajaan membantu mengembangkan PKS yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

"Kita perlu ambil contoh beberapa negara maju termasuk Jepun yang amat menitikberatkan pembanguna n PKS," katanya selepas menjadi ahli panel sesi dialog dan panel perbincangan sempena Seminar Tawaran Awam Permulaan (IPO) 2016 "Menuju ke Penyenaraian" di sini hari ini.

Sesi dialog dan panel perbincangan itu turut disertai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sedania Group, Datuk Azrin Mohd Noor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prestariang Bhd, Dr Abu Hasan Ismail; dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu'min Sdn Bhd, Datuk Zaihal Hazri Abdul Halim.

Ia turut dihadiri Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Seminar IPO 2016 anjuran SME Corp itu disertai lebih 100 peserta dari syarikat swasta dan syarikat PKS. Ia bagi menyokong agenda kerajaan dalam membantu PKS tempatan meningkatkan modal dan profil syarikat.

Antara objektif bagi seminar tahunan itu adalah bagi meningkatkan pemahaman mengenai proses dan prosedur yang terbabit dalam aktiviti meningkatkan dana awam.

Seminar itu dianjurkan bersama SME Corp, Bursa Malaysia Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Berita Harian X