Selasa, 24 Mei 2016 | 6:49pm

PROTON lancar semula model di Chile, Sabtu ini

SANTIAGO: Proton Holdings Bhd (PROTON) bersedia untuk memasuki kembali pasaran Chile dengan pelancaran semula model keretanya di sini, Sabtu ini selepas hampir dua dekad terhenti.

Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya, berkata PROTON akan membawa masuk 1,000 unit model terpilih ke dalam pasaran Chile dan menjangkakan menjana jualan bernilai RM68 juta.

"Ini menunjukkan hubungan Malaysia-Chile terus berkembang kukuh," katanya semasa berucap pada 'Seminar Peluang Perniagaan dengan Malaysia' anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, semalam.

Beliau berkata, Chile adalah satu-satunya negara Amerika Latin yang menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia, sekali gus menjadikannya sebagai rakan dagang lebih utama bagi syarikat Malaysia yang merancang untuk meneroka ke benua itu.

Mohamad Rameez berkata, PROTON melantik Andes Motor, syarikat di bawah Kaufman Group, sebagai pengedar di sini. Kaufman Group adalah pengedar kereta utama di Amerika Latin.

Pada 1 Mac lalu, PROTON mengumumkan ia akan memasuki semula pasaran Chile tahun ini selepas eksport terakhir, Proton Wira, pada 1998.

Ia akan bermula dengan pelancaran jualan Proron Preve dan Exora pada Mei, disusuli dengan Proton Saga pada November 2016.

Mengenai prospek dagangan antara dua negara, Mohamad Rameez berkata, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Chile dijangka berkembang lagi memandangkan kedua-dua negara terbabit dengan perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik.

"Lebih banyak peluang bagi kedua-dua negara untuk meneroka, dan Chile akan kekal sebagai antara negara perdagangan utama Malaysia di Amerika Latin memandangkan ia adalah negara paling stabil dari segi politik, kebebasan ekonomi, ketelusan dan berdaya saing," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X