Khamis, 19 Mei 2016 | 3:17pm

KPJ peruntuk RM500 juta untuk capex

Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Datuk Amiruddin Abdul Satar.

JOHOR BAHRU: KPJ Healthcare Bhd (KPJ), antara pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di negara ini, memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM500 juta untuk tempoh dua tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Amiruddin Abdul Satar, berkata ia termasuk bagi pembinaan tiga hospital baharu dan menambah baik beberapa hospital sedia ada.

Katanya, tiga hospital baharu berkenaan ialah di Bandar Dato Onn, Johor Bahru; Kuching dan Perlis yang dijangka siap serta beroperasi pada tahun depan.

"Kami yakin prospek penjagaan kesihatan swasta di Malaysia masih lagi menggalakkan dan berkembang seiring pertumbuhan ekonomi negara," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPJ di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, selain Kuala Lumpur dan Johor Bahru, pihaknya melihat wujud keperluan untuk membuka rangkaian hospital di negeri lain susulan permintaan yang semakin meningkat.

Berita Harian X