Rabu, 20 April 2016 | 3:42pm

Malaysia, EU sambung semula rundingan FTA

 KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) akan menyambung semula perundingan teknikal mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mulai Mei ini.

Beberapa mesyuarat ditangguhkan sebelum ini untuk memberi laluan kepada Malaysia bagi menumpukan sepenuhnya rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kata Duta dan Ketua Delegasi EU, Luc Vandebon.

"Ketika itu, Malaysia dalam keadaan untuk mendapatkan mandat politik baharu bagi meneruskan rundingan berkenaan.

"Ia ditunda beberapa kali memandangkan Malaysia terlibat sepenuhnya dengan TPP, dan rundingan FTA EU telah ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Dewan Perdagangan dan Perindustrian EU-Malaysia (EUMCCI) di sini, hari ini.

EU adalah pelabur kedua terbesar di Malaysia dan rakan dagang ketiga teratas dengan dagangan keseluruhan sebanyak RM150 bilion tahun lepas, kata Vandebon.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria berkata Malaysia banyak mengambil pengajaran daripada rundingan TPP yang boleh diguna pakai semasa rundingan FTA EU.

Beliau berkata satu perkara penting ialah kerajaan perlu mendengar pandangan masyarakat awam apabila ia memulakan semula rundingan.

Sementara itu, Pengerusi EUMCCI, Fermin Fautsch berkata lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia dan 11,000 syarikat di ASEAN.

"Kami bekerjasama dengan kedua-dua kerajaan mengenai isu yang paling menarik perhatian perniagaan kerana ia penting supaya kedua-dua pihak melangkah maju dengan rundingan itu," katanya.

Fautsch berharap Malaysia tidak akan ketinggalan memandangkan EU telah meneruskan rundingannya dengan rakan dagang ASEAN yang lain.

"EU masih merupakan blok perdagangan terbesar di dunia dan tidak dinafikan TPP penting kepada Malaysia dan pada masa yang sama keutamaan diberikan kepada FTA EU," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X