Rabu, 9 March 2016 | 9:39pm

Chevron kurang perbelanjaan modal sehingga 36 peratus

NEW YORK: Gergasi minyak dan gas, Chevron Corp, akan mengurangkan perbelanjaan modalnya sehingga 36 peratus pada 2017 dan 2018, satu langkah penjimatan tunai bagi mengekalkan dividen selama 90 tahun dalam usahanya menangani harga minyak mentah yang mencecah paras terendah 10 tahun.

Tinjauan yang dibuat kelmarin mewujudkan suasana bimbang dalam industri tenaga dengan eksekutif syarikat minyak dan gas cuba menyesuaikan diri dengan unjuran harga minyak mentah di bawah AS$50 setong sehingga akhir dekad ini.

Wall Street memberi tekanan kepada pengeluar minyak supaya mengurangkan dividen suku tahunan sebagai salah satu cara menyerap harga minyak rendah.

Syarikat seperti Noble Energy Inc, ConocoPhillips dan Anadarko Petroleum Corp sudah berbuat demikian.

Dividen Chevron, sama seperti pesaingnya, Exxon Mobil Corp dianggap sebagai sesuatu yang wajib diterima oleh pelabur runcit dan pengurus dana kekayaan kerana menjadi sumber tunai yang stabil dalam suasana kadar faedah rendah serta gaji yang tidak berkembang.

"Kami mempunyai asas pemegang saham yang menghargai pendapatan semasa," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, John Watson kepada pemberita pada hari pelabur tahunan syarikat itu di New York.

"Kesinambungan dividen adalah penting bagi mereka dan kami yakin dapat mengekal serta menaikkan jumlahnya."

Chevron yang berpangkalan di San Ramon, California membayar dividen sejak 1926 dan menaikkannya setiap tahun sejak lebih 28 tahun. Ia membayar AS$8 bilion (RM33 bilion) kepada pemegang saham tahun lalu.

Exxon membayar dividen AS$12 bilion (RM49.5 bilion) tahun lalu dan juga tidak mengurangkan pembayarannya.

Kedua-dua syarikat bagaimanapun tidak lagi membuat belian balik saham. Ketua Pegawai Kewangan Chevron, Pat Yarrington, berkata syarikat itu tidak merancang meneruskan belian balik saham.

Chevron membayar sebahagian dividennya dengan hutang. Walaupun eksekutifnya menggariskan rancangan untuk membayar dividen dengan aliran tunai tahun depan, ia memerlukan harga minyak berada AS$50 setong, iaitu kira-kira AS$12 setong lebih tinggi daripada paras semasa.

Chevron merancang membelanjakan antara AS$17 bilion (RM70 bilion) hingga AS$22 bilion (RM90.75 bilion) setahun pada 2017 dan 2018. Bagi tahun ini, syarikat sudah mengumumkan untuk membelanjakan AS$22.6 bilion (RM93.2 bilion).

Isnin lalu, Chevron berkata ia sudah memulakan pengeluaran LNG di kemudahan Gorgon di barat Australia dan akan mula membuat penghantaran minggu depan. Ia satu pencapaian penting bagi sebuah projek yang lama tertangguh dan menelan belanja berlebihan. - Reuters

Berita Harian X