Selasa, 12 Januari 2016 | 5:52pm

Pengubahsuaian bajet elak negara hadapi peningkatan defisit

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong. - Foto Yazit Razali
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong. - Foto Yazit Razali

TELUK INTAN: Kerajaan boleh mengambil langkah untuk tidak mengubah suai Bajet 2016, namun negara mungkin berhadapan dengan peningkatan defisit sehingga 3.7 peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata rakyat perlu melihat langkah kerajaan itu secara realistik, termasuk dari sudut ketidaktentuan ekonomi global, kesan daripada kejatuhan harga minyak, yang boleh menjejaskan hasil kerajaan.

"Banyak faktor luaran yang dilihat memberi impak kepada ekonomi negara tahun ini, dan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah tepat.

"Saya berharap semua pihak janganlah membuat sebarang spekulasi mengenai pengubahsuaian bajet 2016 sehingga ia diumumkan," katanya kepada pemberita selepas melawat banggunan baharu Sekolah Menengah San Min di sini hari ini.

Beliau berkata ketidaktentuan harga minyak global sejak tahun lepas, bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah terhadap beberapa negara pengeluar bahan itu.

"Begitu juga kedudukan ekonomi China yang tidak menentu tahun ini, terutama sekali Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkenaan yang dijangkakan tidak mencapai 6.5 peratus.

"Negara itu merupakan rakan dagang utama Malaysia, jadi faktor berkenaan turut menjejaskan pendapatan negara," katanya.

Pada 8 Januari lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibentangkan tidak lama lagi setelah mengambil kira senario ekonomi semasa supaya lebih realistik dalam keadaan mencabar tahun ini.

Najib berkata pengubahsuaian itu antara lain akan melibatkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X