Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:18am

Laksana konsolidasi fiskal capai bajet berimbang

CUKAI adalah penyumbang utama hasil kepada kerajaan. - Foto hiasan
CUKAI adalah penyumbang utama hasil kepada kerajaan. - Foto hiasan

KERAJAAN komited melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mencapai bajet berimbang pada tahun 2020, dengan menyasarkan pengurangan defisit dan hutang, selain meningkatkan hasil berterusan serta berbelanja berhemah.

Sehubungan itu, sejajar dengan langkah peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan, defisit dijangka berkurang kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2015.

Pada tahun 2015, kutipan hasil dijangka berkurang 5.4 peratus atau 0.8 peratus daripada KDNK berbanding unjuran asal berikutan penurunan mendadak hasil petroleum.

Bagaimanapun, kesannya diimbangi dengan anggaran kutipan GST lebih tinggi. Peratusan jumlah perbelanjaan berdasarkan KDNK dianggarkan berkurang 0.6 peratus berbanding unjuran asal.

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat marginal 0.8 peratus kepada RM222.5 bilion, manakala peratusannya kepada KDNK dijangka kekal 19.2 peratus.

Cukai adalah penyumbang utama hasil Kerajaan Persekutuan meliputi 76.4 peratus, dijangka meningkat 3.5 peratus pada tahun 2015 kepada RM170 bilion dan kekal tinggi pada 15.1 peratus pada KDNK.

Hasil bukan cukai pula dijangka menurun sebanyak 7.1 peratus kepada RM52.4 bilion yang mana ia disebabkan penerimaan lebih rendah royalti petroleum.

Jumlah perbelanjaan dijangka meningkat sederhana 0.6 peratus kepada RM260.7 bilion manakala peratusan KDNK pula dijangka berkurang kepada 22.5 peratus pada tahun 2015.

Perbelanjaan mengurus

Perbelanjaan mengurus diperuntukkan RM213.3 bilion, manakala baki RM47.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Dalam usaha ke arah perkhidmatan awam kejat, pewujudan jawatan baharu dibekukan dan kekosongan jawatan diisi melalui pengagihan semula kakitangan.

Perbelanjaan subsidi mewakili 12.3 peratus perbelanjaan mengurus dijangka mengurang kepada RM26.2 bilion pada tahun 2015.

Sektor ekonomi pula diperuntukkan RM28.3 bilion, sejajar dengan usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi.

Subsektor ekonomi pengangkutan kekal penerima terbesar pada jumlah RM8.7 bilion bagi membiayai pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan dan landasan kereta api.

Sementara itu, sektor sosial menerima RM12.5 bilion terutama untuk pendidikan dan latihan. Sektor keselamatan mendapat peruntukan RM4.9 bilion yang menumpukan usaha memperkasa unit beruniform serta pembelian peralatan ketenteraan.

Berita Harian X