Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:08am

Perubahan struktur kukuh sistem kewangan

PERUBAHAN struktur yang dilaksanakan sejak beberapa tahun bagi mempelbagaikan ekonomi dan memperkukuh sistem kewangan berjaya meletakkan ekonomi negara pada landasan pertumbuhan lebih kukuh serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran luar.

Secara keseluruhannya, prestasi dan prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berhadapan persekitaran luar yang mencabar dengan pertumbuhan global sederhana, kejatuhan harga komoditi dan volatiliti atau ketidaktentuan pasaran kewangan.

Ia dapat dilihat berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar yang meningkat 5.3 peratus dalam tempoh separuh pertama (H1) 2015, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik, terutama perbelanjaan sektor swasta.

Meningkat 5.5 peratus

Malah, KDNK benar dijangka mencatat pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun 2015 disokong aktiviti ekonomi domestik berdaya tahan.

Pendapatan negara seperti diukur melalui Pendapatan Negara Kasar (GNI) dijangka meningkat 5.5 peratus kepada RM1.13 trilion, dengan pendapatan perkapita mencatat kadar pertumbuhan 4.2 peratus kepada RM36,397.

Pada 2014, GNI adalah 8.6 peratus dengan nilai RM1.07 trilion dan pendapatan perkapita pada kdar 7.2 peratus degnan nilai RM34,945.

Sementara itu, jika KDNK diukur mengikut sektor, semua sektor mencatat pertumbuhan positif dalam tempoh H1 2015, kecuali sektor pertanian. Ia lebih banyak dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat 5.7 peratus. Sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti penggunaan dan pelaburan mapan.

Perkhidmatan perantara

Pada tahun 2015, sektor perkhidmatan dijangka mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, merangkumi 53.8 peratus daripada KDNK yang mana perkhidmatan perantara dijangka meningkat 5.7 peratus, disokong subsektor komunikasi dan maklumat serta hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Dalam pada itu, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan sederhana yang mana ia berkembang pada kadar lebih perlahan sebanyak 4.9 peratus.

Sektor pertanian pula mencatatkan pertumbuhan komoditi makanan lebih kukuh, namun nilai tambah sektor berkenaan merosot 4.7 peratus dalam tempoh suku pertama 2015 akibat banjir besar, tetapi meningkat semula sebanyak 4.6 peratus dalam suku kedua.

Walaupun begitu, pengeluaran komoditi makanan berkembang kukuh dalam tempoh H1 2015 berikutan usaha kerajaan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

Sektor pembinaan berkembang pada kadar sederhana iaitu 7.7 peratus disebabkan aktiviti kejuruteraan awam dan kediaman yang perlahan. Sektor perlombongan menunjukkan prestasi semakin kukuh iaitu 7.8 peratus yang sebahagian besarnya dipacu pengeluaran minyak mentah.

Pengeluaran minyak mencatat pertumbuhan 12.3 peratus kepada 665,876 tong sehari dalam tempoh lapan bulan pertama 2015.

Dengan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, unjuran pertumbuhan pada julat berkenaan boleh dianggap sebagai pertumbuhan kukuh.

Berita Harian X