Jumaat, 23 Oktober 2015 | 3:38pm

5 cawangan baharu Ar-Rahnu Bank Rakyat setahun mulai 2016

PENGARAH Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak (tiga dari kanan) bersama Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Seri Ibrahim Kader (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian perniagaan francais di antara Pengurus Besar Rakyat Management Services Sdn Bhd, Dr Mokhrazinim Mokhtar (dua dari kanan) dan Pengerusi Koperasi KIMMA (KOPKIMMA), Prof Datuk Dr Mohd Hairunizam Abdullah (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Francais Ar-Rahnu X'Change di Menara Berkembar Bank Rakyat hari ini.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rakyat Management Services Sdn Bhd (RManagement), anak syarikat Rakyat Holdings Sdn Bhd di bawah kumpulan Bank Rakyat, akan membuka lima cawangan perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahnu setahun mulai tahun depan. 

Pengurus Besar, Dr Mokhrazinim Mokhtar, berkata ia merangkumi kedua-dua rangkaian Ar-Rahnu X'Change yang dimiliki koperasi secara francais dan yang dimiliki sepenuhnya oleh Bank Rakyat. 

"Selain bertindak sebagai francaisor Ar-Rahnu X'Change, RManagement turut agresif dalam mengembangkan cabang perniagaan yang selari perniagaan terasnya seperti aktiviti perniagaan emas, perundingan, latihan, serta pembekalan sistem teknologi maklumat operasi Ar-Rahnu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change antara RManagement dan Koperasi Kimma Malaysia Bhd (KOPKIMMA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Holdings Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Syed Hassan; Presiden KOPKIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Pengerusi KOPKIMMA, Profesor Datuk Dr Mohd Harun Nizam dan Ketua Pegawai Eksekutif KOPKIMMA, Amiruddin Mohamad Dunia. 

Mokhrazinim berkata, setakat ini 95 cawangan Ar-Rahnu X'Change sudah dibuka di seluruh negara dengan jumlah capaian baki pinjaman hingga September 2015 berjumlah RM464.071 juta. 

Beliau berkata, daripada jumlah cawangan berkenaan, 52 diuruskan 35 koperasi manakala selebihnya di bawah Bank Rakyat. 

"Ini menunjukkan perniagaan membabitkan pajak gadai emas mempunyai permintaan tinggi dan kurang risiko serta menawarkan pulangan yang baik," katanya. 

Menerusi francais itu, Bank Rakyat membenarkan KOPKIMMA memegang hak sebagai francaisi bagi menjalankan perniagaan pajak gadai Islam. 

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, KOPKIMMA bercadang membuka lima cawangan Ar-Rahnu dalam tempoh dua tahun. 

Katanya, cawangan pertama akan dibuka pada 1 Januari 2016 membabitkan pelaburan awal RM500,000 bagi pengubahsuaian dan kelengkapan perniagaan. 

"Pembukaan cawangan di Jalan Haji Bunus ini diharapkan dapat memberi kemudahan kepada pelanggan termasuk peniaga untuk menjalankan urus niaga dengan mudah dan lancar," katanya.

Berita Harian X