Isnin, 2 March 2015 | 2:39pm

OPR dijangka 3.25 peratus tahun ini - RHB Research

KUALA LUMPUR: RHB Research Institute menjangka Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) stabil pada 3.25 peratus tahun ini, disokong oleh kekuatan pertumbuhan ekonomi.

"Kami percaya ia mungkin menjadi satu pertimbangan penting, berbanding inflasi bagi keputusan monetari pada 2015, berikutan persekitaran ekonomi global yang mencabar," kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

RHB menjangka inflasi meningkat kepada 3.6 peratus pada 2015, daripada 3.2 peratus pada 2014, dengan suku pertama tahun ini dijangka kekal rendah.

Bagaimanapun, inflasi dijangka meningkat pada bulan-bulan selepasnya berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kemungkinan kenaikan harga bahan api.

Pada Januari, pertumbuhan pinjaman menyederhana kepada 8.6 peratus tahun ke tahun selepas stabil pada 9.3 peratus, dalam bulan-bulan sebelumnya.

Ini disebabkan pertumbuhan lemah dalam pinjaman korporat dan isi rumah pada bulan itu.

"Secara keseluruhan, kami mengunjur pertumbuhan pinjaman kekal pada lapan hingga sembilan peratus pada 2015, daripada 9.3 peratus pada 2014 dan berbanding peningkatan 10.6 peratus pada 2013, berikutan lebih banyak peraturan ketat dikenakan ke atas pemberian pinjaman kepada isi rumah dan kekangan dalam pasaran hartanah," kata RHB.

Wang secara meluas (M3), pengukuran bekalan wang, turun kepada 6.1 peratus tahun ke tahun pada Januari daripada tujuh peratus, dan kenaikan 7.1 peratus pada Disember dan November 2014. - BERNAMA

Berita Harian X